Friday, September 11, 2009

Trial BM K2 MRSM 09

MAKTAB RENDAH SAINS MARA
PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2009
BAHASA MELAYU KERTAS 2

.................................................Soalan 1 : Rumusan
......................................................[ 30 markah ]

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian tulis satu rumusan tentang langkah-langkah kerajaan meringankan beban rakyat dalam menghadapi kegawatan ekonomi dan kesan-kesan pemulihan ekonomi kepada rakyat. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
............Usaha membasmi kemiskinan tegar menjadi agenda utama kerajaan menjelang 2010. Bagi meringankan beban rakyat, usaha diambil dengan memperuntukkan RM214 juta bagi pelaksanaan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat untuk tujuan pembasmian kemiskinan. Langkah ini juga akan memastikan agenda masyarakat penyayang terus diamalkan walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

............Kerajaan dalam usaha meringankan beban rakyat telah memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi pertama khusus untuk meningkatkan pemilikan rumah oleh rakyat. Oleh itu, bagi merangsang sektor perumahan kerajaan mencadangkan supaya pembeli diberi pelepasan cukai atas faedah pinjaman. Kerajaan juga telah membantu rakyat dengan menambah baik infrastruktur awam. Dalam hal ini, kerajaan telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta untuk menambah baik infrastruktur yang rosak serta menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian, menyelenggara dan membaik pulih pelbagai kemudahan dan prasarana awam. Bon Simpanan Kerajaan telah diterbitkan untuk menjanakan pendapatan rakyat. Bon ini bertujuan memberi peluang kepada rakyat untuk memperoleh pendapatan tambahan. Bon ini dibuka kepada setiap rakyat berusia 21 tahun ke atas dengan nilai minimum pelaburan sebanyak RM1,000.

............Selain itu, kerajaan menaik taraf pelbagai kemudahan asas di luar bandar seperti bekalan elektrik dan air terutama di Sabah dan Sarawak. Usaha ini akan meningkatkan ekonomi rakyat melalui pengambilan kontraktor kecil dan pekerja tempatan di kawasan luar bandar. Di samping itu, pelbagai program dan projek dirancang oleh kerajaan untuk meningkatkan ekonomi rakyat di Sabah dan Sarawak seperti pembesaran Lapangan Terbang Sibu, Sarawak dan Projek Sistem Penghantaran Elektrik Kota Kinabalu, Sabah.

............Kini, terdapat beberapa program mikrokredit tanpa cagaran disediakan oleh pelbagai pihak seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, AgroBank dan TEKUN. Program ini bertujuan untuk membantu peniaga kecil di bandar dan luar bandar. Kaedah lain yang dilaksanakan adalah dengan memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik seperti warga emas, golongan kurang upaya dan ibu tunggal. Bantuan yang diberikan adalah seperti program jaringan keselamatan sosial, bantuan kewangan dan bilangan tenaga kerja, meningkatkan kemudahan pusat penjagaan warga tua, memantapkan pengurusan rumah perlindungan wanita dan menambahkan kemudahan pusat asuhan kanak-kanak.

............Bagi mengurangkan tanggungan orang ramai, kerajaan mengambil langkah pengecualian cukai yang diberikan atas bayaran pampasan kehilangan pekerjaan. Langkah ini diambil bertujuan untuk menjaga kebajikan pekerja yang diberhentikan. Di samping itu, kerajaan menggalakkan pihak bank untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman perumahan.

............Kesimpulannya, kerajaan yakin usaha yang dirangka dan dilaksanakan adalah komprehensif dan menyeluruh untuk menghindarkan ekonomi negara daripada terjerumus dalam kancah kemelesetan yang mendalam sehingga memberi kesan kepada rakyatnya. Dengan landasan kukuh yang telah kita bina, kita yakin dapat mencipta kejayaan lebih besar.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana ‚‛Pakej RM60b
Perkukuh Ekonomi Negara Hadapi Kegawatan Global’,
Berita Harian, 11 Mac 2009)
---------------------------------------------------------------------------

............................................Soalan 2 : Pemahaman
.....................................................[ 35 markah ]

..........................................Soalan 2 (a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


(i) Apakah maksud rangkai kata membasmi kemiskinan tegar? [2 markah]

(ii) Bagaimanakah peruntukan tambahan yang disediakan oleh kerajaan dibelanjakan? [3 markah]

(iii) Nyatakan empat cara rakyat dapat menangani krisis ekonomi negara. [4 markah]
----------------------------------------------------------------------------------

............................................Soalan 2(b) – Petikan Drama

Baca petikan drama di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

SAFIAH : Piah tahu kerana salah Piah suka bertengkar denganmu.
UMAR : Dan kau terlalu cemburu…..
SAFIAH : Kerana kasihku padamu terlalu besar.
UMAR : Ingat apa katamu ketika kita berjalan di tepi Selat Teberau dulu?
SAFIAH : Ingat, tapi tak mahu Piah katakan.
UMAR : Biar aku yang mengatakannya, “Piah cuba mengubah perangai Piah. Piah cuba mengerti.”
SAFIAH : (Manja) Ahh…!
UMAR : Ketika aku berdiri di depan bangunan pejabat pos menelefonmu,
kubayangkan kecantikan Selat Teberau. Kukatakan keinginan untuk berkayuh di atasnya. Dan kau melonjak kesukaan. Dapat kubayangkan cahaya riang dari matamu.
SAFIAH : Mar….. kenapa kau ulangi peristiwa lama?
UMAR : Supaya kita dapat pengertian baru. Dan peristiwa yang telah dilalui selalu menimbulkan rasa indah. Ingat kau lagu kita?
SAFIAH : “Serunai Malam” !
UMAR : Ingat peristiwa yang merangkainya?
SAFIAH : Pesta Malam Pelajar.
UMAR : Bermula dari…..
SAFIAH : Kau menyatakan pada Piah “Serunai Malam” lagu kesukaanmu.

(Dipetik daripada drama ‘Serunai Malam’oleh Usman Awang dalam
antologi Anak Laut,Dewan Bahasa dan Pustaka)


(i) Apakah kenangan indah antara Umar dan Safiah? [2 markah]

(ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah percanggahan pendapat antara pasangan dapat diselesaikan? [3 markah]

(iii) Huraikan satu perwatakan Safiah daripada petikan dan satu perwatakan lain daripada keseluruhan drama? [4 markah]
------------------------------------------------------------------------------

.....................................Soalan 2 (c) – Petikan Prosa Klasik

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

............Maka Hang Jebat pun memekis, katanya, “Cih! Si Jebat dengan Si Tuah hulubalang raja Melaka tiada berguna! Jika Si Jebat dengan Si Tuah gerangan dititahkan raja Melaka menyerang negeri orang, aku dua orang itu pun alah.” Maka kata Laksamana, “Sungguh seperti katamu itu; pada hatiku pun demikianlah. Sayang engkau berdosa. Jika lain daripada dosa ini, tiada engkau mati, barang tipunya dayaku pun kuperlepaskan juga engkau dari mati.” Maka Hang Jebat pun menangis mendengar kata Laksamana demikian itu. Maka Laksamana pun menangis kasihan hatinya akan Hang Jebat.
............Maka kata Hang Jebat, “Aku pun kerana melihat engkau dibunuh oleh Bendahara tiada dengan dosanya; sebab itulah maka sakit hatiku. Akan istimewa aku pula orang permainan tiada akan dibunuhnya, kerana raja itu membunuh tiada dengan periksanya. Pada bicara hatiku, sedang engkau banyak kebaktianmu dan jasamu lagi dibunuhnya oleh raja, istimewa aku pula. Sebab pun kuperbuat demikian ini, sepala-pala nama jahat jangan kepalang, seperti pantun Melayu, rosak bawang ditimpa jambaknya; maka sempurnalah nama derhaka dan nama jahat”. Maka kata Laksamana, “Sungguhnya seperti katamu itu, tetapi akan kita diperhamba raja ini hendaklah pada barang sesuatu pekerjaan itu bicarakan sangat-sangat, seperti kata orang tua-tua: Baik mati dengan nama yang baik, jangan hidup dengan nama jahat, supaya masuk syurga jemah.”

(Dipetik daripada ‛Pertarungan Tuah Dengan Jebat’, Hikayat Hang Tuah
dalam antologi Anak Laut, Dewan Bahasa dan Pustaka)



(i) Berikan maksud rangkai kata kuperlepaskan juga engkau dari mati. [2 markah]

(ii) Mengapakah Hang Jebat menderhaka kepada raja? [3 markah]

(iii) Sekiranya anda salah seorang sahabat Hang Tuah atau Hang Jebat, apakah tindakan anda untuk meleraikan perbalahan mereka? [3 markah]
--------------------------------------------------------------------------------

............................................Soalan 2(d) – Syair

Baca syair di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


SYAIR KELEBIHAN ILMU

Ilmu itulah gemala sakti,
Sinarnya cerah cahaya sejati,
Asal puncanya lamun didapati,
Sukar bercerai sehingga mati.

Harganya tidak dapat dinilaikan,
Sebuah dunia belinya bukan,
Kuasanya besar sukat digunakan,
Di laut di darat di rimba di pekan,

Masa seorang ialah taulan,
Teman berbeka suluh berjalan,
Masa berhimpun ia pengenalan,
Hias penyata polan si polan,

Bagi yang duka ia penghibur,
Ia penerang bagi yang kabur,
Ialah kandil di dalam kubur,
Lamun dengannya beramal subur.

Ia penerang jalan ke syurga,
Ia pemuas tekak yang dahaga,
Ialah sungai ialah telaga,
Laut yang luas ialah juga.

Ialah alat sangat berguna,
Idaman orang yang bijaksana,
Hamparnya luas amat saujana,
Tepinya ajal sempadannya fana.

ZA’BA
Antologi Kerusi,
Dewan Bahasa dan Pustaka.

(i) Nyatakan kelebihan orang yang berilmu. [3 markah]

(ii) Sebagai pelajar, bagaimanakah cara anda boleh memanfaatkan ilmu yang dipelajari? [3 markah]

(iii) Nyatakan tiga pengajaran yang terdapat dalam syair tersebut. [3 markah]
-----------------------------------------------------------------------------------


...................Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa
...................................................[ 30 markah ]

Jawab semua soalan.

(a) Tulis satu ayat bagi tiap-tiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i) perilaku
(ii) prabayar
(iii) poliklinik
(iv) pancaindera
(v) prokerajaan
(vi) pascamerdeka....................................[6 markah]

(b) Tulis semula cakap ajuk di bawah ini dalam bentuk cakap pindah dengan mengekalkan maksud asalnya.

Cikgu Ani : Kenapa awak tak datang latihan bola jaring petang semalam?
Sara : Sssaya... minta maaf cikgu. Saya ada hal penting di rumah.
Cikgu Ani : Patutnya awak beritahu saya lebih awal. Taklah saya tertunggu-tunggu awak.
Sara : Er...! Saya betul-betul dalam kecemasan.
Cikgu Ani : Sebenarnya apa yang berlaku, Sara?
Sara : Mak saya tiba-tiba jatuh sakit dan terpaksa dibawa ke hospital.
............................................................................[6 markah]


(c) Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i) Darah merah manusia mengandungi pigmen hemoglobin iaitu molekul protin yang besar dan amat penting dalam penghidupan.

(ii) Kitar semula dapat menjimatkan kegunaan sumber semulajadi di samping menjamin kebersihan alam sekitar.

(iii) Sastrawan mendapat kepuasan dan keseronokkan jika buah fikiran mereka dihargai oleh masyarakat.
.....................................................................[6 markah]


(d) Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i) Novel itu mempamerkan tema permasalahan sosial di dalam kalangan remaja di ibu kota.

(ii) Guru menyapa perlakuan pelajarnya yang agak kurang sopan bila bercakap dengan orang yang lebih tua.

(iii) Bersesuaian dengan kedudukan kampung kami di kawasan lapangan padi, semua para petani mengusahakan sawah yang diwarisi turun-temurun.
..........................................................[6 markah]

(e) Baca ayat yang mengandungi peribahasa di bawah dengan teliti, kemudian kemukakan peribahasa lain yang setara maksudnya dengan peribahasa tersebut.
(i) Pasangan pengantin yang sedang bersanding itu kelihatan seperti cincin dengan permata kerana kedua-duanya sama cantik dan sama padan.

(ii) Sikap Liza yang melupakan jasa ibu angkatnya Marina, tidak ubah seperti ulat lupa akan daun kerana dia sanggup mengikut ibu kandungnya berpindah ke luar negara.

(iii) Walaupun Tan Sri Johan telah dilantik menjadi Pengerusi Syarikat Daya Maju yang terkenal di Asia Tenggara, beliau masih mengamalkan sikap rendah diri dan senang bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat.
.....................................................[6 markah]
-------------------------------------------------------------------------

...............................................Soalan 4 (a) : Novel
.....................................................[15 markah ]

Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:

(i) Terminal Tiga karya Othman Puteh

(ii) Perlumbaan Kedua karya Marwilis Hj. Yusuf

(iii) Di Hadapan Pulau karya A. Samad Said

(iv) Bukit Kepong karya Ismail Johari

(v) Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain

(vi) Seteguh Karang karya Tuan Faridah Syed Abdullah

(vii) Julia karya Abu Hassan Morad

(viii) Putera Gunung Tahan Karya Ishak Hj.Muhammad


(a) Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan dua peristiwa yang menunjukkan nilai kebijaksanaan. [7 markah]

(b) Watak sampingan memainkan peranan yang penting dalam perkembangan plot sesebuah novel.

Huraikan dua perwatakan bagi satu watak sampingan dalam dua buah novel yang anda pelajari.
.........................................................[8 markah]


.............................................KERTAS SOALAN TAMAT
...