Monday, June 1, 2009

Latihan Pemahaman Cerpen SPM

Latihan Pemahaman Cerpen 1:

Buchanan memejamkan matanya. Ada perasaan sedih yang mengelus-elus jiwanya. Hampa. Anak-anak kandungnya jauh. Terlalu jauh daripadanya. Lima orang anaknya itu mempercapak usaha gigihnya di kebun itu.
“Ayah sibuk dengan epal-epal ni juga. Sedarlah ayah dah tua. Mengapa ayah masih mempertahankan kebun ini? Mengapa ayah masih degil?”
Buchanan menahan pedih. Hatinya berketai-ketai kini. Hancur remuk. Bagaikan kaca terhempas ke batu lalu berderai kecil.
“Kalian tidak sedar bahawa epel-epal ini sangat bererti. Kebun ini pusaka. Nostalgia. Nenek moyang kalianlah yang mempertahankan epal golden grimes suatu ketika dahulu. Kalau tidak kerana usaha mereka itu kalian tidak akan dapat mengecapi keenakan gravenstein, maiden blish, balwin, ribston atau red astrakhan.” Buchanan menjerkah anak-anaknya. Kecewa menjalar laju dalam urat-urat di tubuhnya.
“Lagipun mendiang ibu kalian sangat menyayangi kebun ini.”
Lamunan Buchanan mati andar. Matanya kembali menangkap Mazlina. Gadis itu sedang membelek-belek buah epal di dalam bakul. Sopan gerak-gerinya. Salah seorang daripada cucunya sebaya dengan Mazlina. Namun perbezaan mereka melangit. Cucunya tidak pernah menunjukkan minat pada kebun epal ini, berbanding dengan Mazlina yang sentiasa mengambil berat keperluan cahaya setiap pokok epal. Dia sentiasa menjaga pohon-pohon di kebun ini supaya tidak dijangkiti kuman. Dia sering gusar pada serangan serangga. Ah, betapa jauhnya sifat mereka!

(Petikan cerpen : Kerana Manisnya Epal)

Jawab soalan-soalan di bawah dengan menggunakan ayat anda sendiri.
1. Mengapakah Buchanan berasa sedih? (2 markah)

2. Mengapakah Buchanan masih mengambil berat kebun epal itu meskipun usianya sudah tua? (3 markah)

3. Jika anda anak Buchanan, adakah anda akan memelihara dan memajukan kebun epal itu? Beri alasan anda. (3 markah)

4. Apakah maksud gaya bahasa personafikasi? Beri satu contoh ayat yang menunjukkan gaya bahasa personafikasi dalam petikan di atas. (2 markah)

5. Nyatakan 2 nilai yang terdapat dalam petikan di atas dan 2 nilai lain dalam cerpen tersebut. (4 markah)

(Jawapan)
___________________________________________________________________
Latihan Pemahaman Cerpen 2:

Murni mendapatkan suaminya yang sudah di dalam bilik.
“Orang rajin! Tapi sayang rajin tak bertempat,’ sindirnya. Murni merenung suaminya dengan amat kesal. Sakit telinganya mendengar sindiran yang sejuring itu. Tetapi dia tidak menyerang balas. Suami yang panas baran tidak harus dilayan bertengkar. Nanti buruk padahnya.
Waktu makan tengah hari itu masing-masing menyuap. Tidak ada tanya itu ini dari Jemah. Begitu juga Murni dan Jamal. Kesan-kesan marah masih nyata di muka Jamal. Puas juga dia memaniskan muka. Tapi tak Berjaya. Jemah masih berfikir, “Rumput dibeli dan ditanam?”. Soalan bertalu-talu di kepala. Aneh, sungguh aneh. Di kampung tidak begitu. Rumput tidak dibagi hidup di tanah aku. Ubi keladi yang mesti hidup, dia berfikir sendiri. Murni cuba juga bergurau kecil dan jenaka sedikit untuk memulihkan suasana kaku itu. Tapi tidak Berjaya. Sudahnya dia menyumpah dalam hati.
Setelah makan tengah hari itu mereka berdua ke pejabat lagi. Di muka pintu Murni berpesan kepada ibunya.
“Mak jangan buat apa-apa. Rehat-rehat saja. Nanti petang Murni bawak mak makan angin,” pesannya bersungguh-sungguh.

(Petikan cerpen : Budi Yang Tak Terbeli)

Jawab soalan-soalan di bawah dengan menggunakan ayat anda sendiri.
1. Apakah yang dimaksudkan dengan frasa “rajin tak bertempat”? ( 2 markah )

2. Pada pendapat anda, apakah masalah yang dihadapi oleh Jemah semasa tinggal bersama-sama Murni dan Jamal di kota? ( 3 markah )

3. Bagaimanakah keadaan di rumah Jamal ketika makan tengah hari itu sedang berlangsung? (3 markah)

4. Sekiranya anda Murni, apakah perkara yang dapat anda lakukan untuk menggembirakan hati ibu anda yang tinggal bersama anda di kota? (3 markah)

5. Huraikah 2 perwatakan Murni dalam petikan di atas dan 2 perwatakan Murni yang lain dalam cerpen tersebut.

(Jawapan)


__________________________________________________________________
Latihan Pemahaman Cerpen 3:

Akhirnya kuperoleh juga kesempatan yang telah kuintai hampir sekian lama untuk meluahkannya. Meluahkan segalanya kepada abah. Rupanya aku masih gagah untuk mencapai kesempatan ini buat mencungkil resah kalut abah selama ini, lebih-lebih lagi tentang mama. Sesungguhnya sejak dulu lagi lubuk hatiku terbeban dengan saratnya timbunan persoalan tentang mama-abah. Malah kurang lebih lewat sepuluh tahun lalu aku mula mencipta, mencanai, mentafsir tentang mereka. Apalagi dengan keresahan dan nanarnya aku memastikan jawapan terbaik untuk kawan-kawan sekolah yang kerap menujah aku dengan deretan soalan yang menyentuh, menggigit dan menghiris, malah harus saja menyeksa perasaan anak gadis seperti aku yang tidak mengerti apa-apa ketika itu. Apa yang abah cuba cipta sebagai penyelesaian ialah:
“Memang itu kenyataannya. Zel perlu berterus-terang kepada kawan-kawan zel yang antara mama dan abah memang dah tiada jodoh. Zel tidak perlu berdalih, mencipta sesuatu lain yang tidak benar. Abah tidak pernah mengajar Zel untuk berbohong.”
Ah, abah tidak pernah hendak mengetahui, apa lagi memahami tentang itu semua sejak sepuluh tahun lalu hingga detik ini! Mudahnya abah menuturkan itu semua. Tetapi bagaimana Zel harus terima renungan maha pelik daripada kawan-kawan yang turut tidak pernah mahu mengerti.

(Petikan cerpen : Virus Zel Untuk Abah)

Jawab soalan-soalan di bawah dengan menggunakan ayat anda sendiri.
1. Berdasarkan petikan di atas, apakah masalah yang sedang dihadapi oleh Zel? (3 markah)

2. Pada pendapat anda, bagaimanakah Zel dapat mengatasi masalah keresahan jiwa yang sedang melanda hidupnya? (3 markah)

3. Apakah yang dimaksudkan dengan gaya bahasa metafora? Beri satu contoh gaya bahasa metafora yang terdapat dalam petikan di atas. (2 markah)

4. Huraikan 2 perwatakan Zel dalam petikan di atas dan 2 perwatakan Zel yang lain dalam cerpen tersebut. (4 markah)

(Jawapan)


__________________________________________________________________
Latihan Pemahaman Cerpen 4:

Beberapa bulan berselang, kes kemalangan Iswan diputuskan oleh mahkamah. Kes itu dikatakan sebagai langgar dan lari. Pelakunya seorang belia berumur 16 tahun. Puncanya dia mabuk setelah minum-minum di rumah temannya semasa merayakan hari ulang tahun. Kerana dia masih di bawah umur, hukumannya dia tidak dipenjarakan, Cuma tidak dibenarkan memandu kereta selama lima tahun. Dia juga diarahkan selalu menemui kaunselor psikologi bagi menguji sikap dan tindakannya. Dia tidak dibenarkan meminum minuman keras.
Hukuman disambut dengan tenang oleh Pak Ismawan. Padanya hukuman itu rasional. Anak bawah umur memand tidak dapat memikirkan akibat perbuatannya. Dia Cuma menyesali sikap ibu bapanya.
“Saya George Bulang, teman baik Iswan. Kami sepersekolahan, malahan dialah satu-satunya teman yang terdekat dan mesra dengan saya. Tapi saya telah berdosa kepadanya. Saya telah membunuhnya!”
“Kalau begitu anda yang menabrak Iswan?” suara Pak Ismawan kedengaran meninggi.
“Saya tidak sengaja, Pak. Kami berlima di dalam kereta itu. Kami bergelak ketawa sesudah makan minum di rumah teman yang menyambut hari jadinya. Ketika melintasi Iswan dengan rakannya, kereta yang saya pandu terbabas. Saya tidak dapat mengawalnya dan saya menabrak Iswan, sahabat baik saya itu. Pada mulanya saya tidak memikirkan yang saya tabrak itu ialah sahabat karib saya, Iswan. Saya memecut kereta tambah laju. Saya jadi takut. Saya bersembunyi di rumah rakan saya di Penampang. Esoknya barulah saya tahu bahawa saya telah membunuh teman baik saya. Maafkan saya, Pak!”

(Petikan cerpen : Tragedi)

Jawab soalan-soalan di bawah dengan menggunakan ayat anda sendiri.
1. Nyatakan hukuman yang telah dikenakan oleh mahkamah terhadap pemuda yang telah melanggar Iswan. (3 markah)

2. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang sepatutnya diambil bagi memastikan remaja yang masih di bawah umur supaya tidak memandu kereta atau menunggang motosikal? (3 markah)

3. Huraikan 2 nilai kemanusiaan yang terdapat dalam petikan di atas dan 2 nilai lain dalam cerpen tersebut. (4 markah)

5. Sekiranya anda Pak Ismawan, sanggupkan anda menerima kemaafan yang diberi oleh George Bulang? Beri alas an terhadap pendapat anda itu. (3 markah)

(Jawapan)
__________________________________________________________________
Latihan Pemahaman Cerpen 5:

Apabila kaki dan tangan aku cacat, aku masih terbayang keadaan darah yang melumuri keseluruhannya. Tulang kaki patah. Aku dijumpai jatuh pengsan di dalam gaung yang curam. Ekspedisi di hutan itu sukar kulupakan. Dalam tahun itu aku akan menduduki SPM.
Aku bukan lagi Muliati dulu – gadis kecil molek yang lincah. Olahragawati sekolah. Aku bukan lagi pelajar yang ringan tulang membantu cikgu. Sejak kejadian itu, aku jadi pendiam. Menyisihkan diri. Aku malu. Diriku tidak lepas daripada dilambung-lambung ketentuan hidup ini.
Sebagai manusia yang bernaluri, jiwa mana yang tidak mudah tersentuh digugah sedih pedih yang berbaur melebarkan kesayuan, saat berselisih dengan kegetiran ujian-Mu, Tuhan. Aku hampir ketandusan iman dan pertimbangan. Syukurlah, sekali lagi cikgu datang memenjarakan keyakinanku.
Cikgu berpesan, “Muliati kecundang dalam percubaan pertama…tapi Muliati jangan mudah menyerah kalah. Muliati bangunlah kembali di atas tapak itu. Bina tinta-tinta harapan yang baru. Dengan berkat ketabahan dan usaha, pasti Muliati akan berjaya juga. Teruskanlah perjuangan.”
Begitulah dorongan cikgu. Setiap butir peluh yang cikgu titiskan menjadi mutiara yang menerangi hidupku. Tapi, di sebalik perjuangan itu, banyak onak dan duri yang menanti di hadapan. Kadang-kadang bisanya melemahkan semangatku.

(Petikan cerpen : Menatap Wajahnya)

Jawab soalan-soalan di bawah dengan menggunakan ayat anda sendiri.
1. Siapakah Muliati? ( 3 markah )

2. Beri maksud frasa “dilambung-lambung ketentuan hidup” dalam petikan di atas. ( 2 markah )

3. Pada pendapat anda, bagaimanakah caranya untuk membantu rakan yang bernasib malang seperti Muliati? ( 3 markah )

4. Huraikan dua persoalan yang terdapat dalam petikan dan dua persoalan lain berdasarkan keseluruhan cerpen ini. ( 4 markah )

5. Apakah maksud gaya bahasa personafikasi? Beri contoh gaya bahasa personafikasi yang terdapat dalam petikan di atas. (2 markah)

(Jawapan)


__________________________________________________________________
Latihan Pemahaman Cerpen 6:

Hujung minggu, aku, Kris dan Kristal sering menghabiskan masa di Barry Island, dua kilometer dari Bandar Cardiff. Bersenda gurau menikmati keindahan alam yang amat mempersonakan. Berkongsi tawa dan berderai gelak diiringi ciut beburung riang mengembangkan sayap sambil menaiki longflume (sejenis permainan berperahu). Seringnya aku bersama Kris. Dan Kristal hanya menjadi pemerhati yang setia, mengambil gambar-gambar kami.
Penat berjalan, kami bertiga duduk bersantai di tepi Jambatan Pulteney di Bath, memerhatikan perahu yang mudik dan member makan itik-itik. Paling tidak pun, menyaksikan keindahan bunga-bunga tulip mekar berkembangan di Taman Roath. Alangkah indahnya waktu itu. Sesungguhnya saat itu amat manis, amat indah. Keindahan dan kemanisan itu tidak mungkin dapat kukongsikan bersama orang lain. Itulah yang bakal menemani sepiku, mengubat rinduku kepada tanah air, kepada keluarga.
Entahlah! Meski mereka baik, namun antara kami masih ada jurang pemisah. Aku, Kris dan Kristal, masing-masing terikat pada adat resam masing-masing. Aku tidak mungkin akan mengikut mereka ke disko atau ke parti yang mereka anjurkan. Aku anak Timur yang dibesarkan berlandaskan ciri-ciri etika ketimuran yang murni dan unggul. Aku hidup berpegang pada ajaran agama yang luhur. Air mata mak sering kujadikan peringatan. Amanat abah tetap kuselit baik-baik.

(Petikan cerpen : Aku, Kris dan Kristal)

Jawab soalan-soalan di bawah dengan menggunakan ayat anda sendiri.
1. Apakah maksud rangkai kata “menemani sepiku” dalam petikan cerpen di atas? (2 markah )

2. Bagaimanakah hubungan di antara “aku”, “Kris” dan “Kristal”? (3 markah)

3. Pada pendapat anda, apakah tindakan yang wajar kita lakukan bagi mengekalkan hubungan persahabatan agar sentiasa erat? ( 3 markah )

4. Huraikan 2 pengajaran yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan dua pengajaran lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen tersebut. (4 markah)

(Jawapan)


___________________________________________________________________
Latihan Pemahaman Cerpen 7:

Mak macam terpinga-pinga membiarkan kepergian Fuad. Mak tahu benar, anak bongsu mak yang bertubuh tinggi jangkung berkulit hitam manis itu, yang baru menjangkau usia 27 tahun, sangat tegas dan keras hati.
Sehingga saat itu mak masih belum benar-benar mengerti apa sebenarnya yang telah terjadi. Apa yang mak ingat, mak serahkan geran tanah itu kepada Datuk Sukar. Apabila Datuk Sukar suruh mak turunkan cap jari atas sekeping kertas, mak turunkan saja. Mak tak tahu apa. Mak percaya benar terhadap kejujuran Datuk Sukar.
Namun buat Fuad, telah diputuskan dalam hatinya, sejengkal tanahpun tidak akan dilepaskan, meskipun dibayar sejuta ringgit. Fuad merasa dirinya telah begitu dihina, seolah-olah dianggap macam sampah, macam daun kering; sedikit pun tak berharga untuk dibawa bermaufakat.
Apa hal Datuk Sukar berbuat sesuka hatinya begitu?
Fuad melangkah dengan rimas melalui lorong yang sempit itu. Tidak ada lampu yang menerangi jalan, kecuali tempias sinar dari rumah-rumah yang murung dan sepi.
Apa hak Datuk Sukar untuk bermain kayu tiga begitu?
Kini Fuad berdiri di tepi jalan raya, di bawah suluhan lampu jalan yang samar. Mulanya ingin saja Fuad naik bas untuk ke rumah Datuk Sukar. Tetapi setelah menunggu beberapa minit, Fuad pun menggamit sebuah beca yang kebetulan lalu di situ. Fuad tahu, pergi dengan beca akan memakan waktu. Tapi itu adalah lebih baik daripada terus tidak pergi.

(Petikan cerpen : Sebutir Pasir di Kaki)

Jawab soalan-soalan di bawah dengan menggunakan ayat anda sendiri.
1. Bagaimanakah reaksi dan sikap Fuad terhadap tindakan Datuk Sukar mengambil geran tanah milik keluarganya tanpa bermaufakat dengannya terlebih dahulu? (3 markah)

2. Pada pendapat anda, mengapakah masalah yang melibatkan penipuan hak milik tanah sering terjadi dalam kalangan masyarakat? (3 markah)

3. Jelaskan 2 pengajaran yang terdapat dalam petikan di atas dan 1 pengajaran lain dalam keseluruhan cerpen tersebut. (3 markah)

4. Apakah maksud gaya bahasa simile? Beri satu contoh gaya bahasa simile yang terdapat dalam petikan di atas. (2 markah)

(Jawapan)

___________________________________________________________________
Latihan Pemahaman Cerpen 8:

“Nen ada Tuk Juma, Nen ada Rinda,” kata Jumari Jipan.
“Nen Cuma ada Tuk Juma. Nen nak ikut Tuk Juma. Kita …. Kita ikut Tuk Juma, ya Rinda?”
Jumari Jipan tidak dapat dan tidak sanggup berhujah selepas itu. Segala-galanya tidak bererti pada waktu itu kerana memang nyata Deliah kini piatu. Dengan kematian Ripin, bererti seluruh keluarga anak itu sudah terkorban. Dan Deliah yang petah bercakap, mula kerap bercakap sendirian atau dengan kucingnya. Dan bila anak itu membawa bungkusan kecil dengan topi datuknya, Jumari Jipan lesu sendirian, apa lagi Rinda sengaja kelihatan pilu dan melelap-lelapkan matanya. Kini selain Rinda, nampaknya dirinya saja menjadi teman atau penjaga Deliah. Pilu menyeluruhi nadinya. Kebetulan memang dia sendiri pun tidak pernah mempunyai cucu, dan tidak mungkin mempunyainya, setelah dua orang anaknya mati muda. Sebelum botnya bergerak, Jumari Jipan sendiri melompat ke jeti dan cepat-cepat merangkul anak itu, dan melompat semula bersamanya di atas dek. Kemudian dia cepat-cepat melompat lagi mengambil Rinda yang sedang mengiau bimbang. Teman-teman kelasi menggeleng-geleng, tetapi mengerti. Jumari Jipan merenung mata belolok anak itu, lalu memeluknya seihsan hati sambil sama-sama menangis beberapa ketika. Dia membawa Deliah dengan rasa amat pilu dan bertambah bencinya terhadap perang.

(Petikan cerpen : Di Sisi Rinda)

Jawab soalan-soalan di bawah dengan menggunakan ayat anda sendiri.
1. Apakah maksud rangkai kata “pilu menyeluruhi nadinya” dalam petikan di atas? (2 markah)

2. Siapakah Deliah seperti yang dinyatakan dalam petikan tersebut? (3 markah)

3. Pada pendapat anda, apakah implikasi peperangan selain menyebabkan kehilangan nyawa orang yang tidak berdosa? (3 markah)

4. Jelaskan 1 nilai kemanusiaan yang terdapat dalam petikan di atas dan 2 nilai kemanusiaan yang lain dalam keseluruhan cerpen tersebut. (3 markah)

(Jawapan)


___________________________________________________________________
Latihan Pemahaman Cerpen 9:

“Jangan pecah di mulut” katanya berulang kali.
“Mariah!”
Mariah tersentak seperti tersentuh periuk panas.
“Apa hal, cikgu?” Mariah Berjaya memulihkan perasaannya. Buat pertama kali dalam beberapa minit dalam bilik itu, Mariah menatap wajah Cikgu Tini setepat-tepatnya.
“Cikgu jemput Mariah ke bilik ini bertujuan murni. Anggaplah pertemuan ini sebagai seorang kakak dengan adiknya.”
Kata-kata itu dirasakan oleh Mariah seperti kemasukan beberapa teguk air zamzam ke dalam kerongkong yang kehausan.
“Maksud cikgu?”
Cikgu Tini mengambil sekeping kad berwarna merah jambu. Dia meletakkan kad itu di hadapannya. Dia merenung beberapa tulisan di atas kad itu beberapa saat.
“Cikgu lihat keputusan ujian Mariah bulan lalu cukup mengecewakan.”
Mariah tersedak. Cikgu telah memulakan satu perbicaraan mencari puncanya, fikirnya. Sekali lagi dia diduga sama ada belajar berbohong atau menentang kemungkaran itu. Sekali gus juga Mariah berasa dia dicabar supaya memaniskan kata-kata supaya cikgunya itu tidak berasa kecil hati.

(Petikan cerpen : Mariah)

Jawab soalan-soalan di bawah dengan menggunakan ayat anda sendiri.
1. Apakah maksud rangkai kata “kemasukan beberapa teguk air zamzam ke dalam kerongkong yang kehausan” dalam petikan di atas? (2 markah)

2. Pada pendapat anda, mengapakah peranan guru kaunseling amat penting di sekolah? (4 markah)

3. Nyatakan satu persoalan dalam petikan di atas dan dua persoalan lain dalam keseluruhan cerpen tersebut.

(Jawapan)


__________________________________________________________________
Latihan Pemahaman Cerpen 10: