Monday, December 21, 2020

BAHASA MELAYU - TATABAHASA AYAT CAKAP AJUK DAN AYAT CAKAP PINDAH:

 BAHASA MELAYU

TINGKATAN : 4 AL-GHAZALI & 4 AL-FARABI

TAJUK : AYAT CAKAP AJUK & AYAT CAKAP PINDAH.

__________________________________________________________

Latihan A:

Baca petikan yang diberi di bawah, kemudian kelaskan ayat-ayat tersebut dalam kumpulan ayat cakap ajuk atau ayat cakap pindah.

Di sebuah hutan tinggal sepasang sahabat. Mereka ialah seekor arnab dan seekor tupai. Setiap hari mereka menghabiskan masa bersama-sama. Pada suatu hari, tupai berkata kepada arnab, “Mari kita buat sarang. Sekarang dah tiba musim hujan. Apabila hujan, kita ada tempat berteduh.” “Ya, betul kata awak. Tapi biarlah saya berehat dulu,” jawab arnab. Pada petang itu, hujan turun dengan lebatnya. Tupai dan arnab berteduh di bawah pokok. Mereka basah dan kesejukan.”Jika kita ada sarang, tentu kita tak akan basah begini,”kata tupai. “Ya, betul kata awak,” jawab arnab. “Pagi esok kita akan buat sarang,” kata arnab lagi.

                 Keesokan pagi, cuaca sungguh baik. Tupai mengajak arnab menbuat sarang. “Lebih baik kita pergi cari kayu untuk membuat sarang,” kata tupai. “Tapi bukan sekarang,” jawab arnab. “Kita masih ada banyak masa lagi. Marilah kita pergi cari makanan. Saya sungguh lapar!” Tupai menggeleng-geleng melihat sikap sahabatnya itu. Pada petang itu, hujan turun lagi. Tupai dan arnab basah kuyup kerana tiada tempat berteduh. “Alangkah baiknya jika kita ada sarang,” kata tupai. “Esok kita mesti buat sarang. Saya tak mahu terus basah seperti ini sewaktu hujan.” Arnab yang pemalasitu tidak menghiraukan rungutan sahabatnya. “Kita tunggu esok sahajalah,” kata arnab.

Latihan B:

Tukarkan perbualan di bawah supaya menjadi ayat cakap pindah.

1. Redwan dan Kamarul berkawan baik. Mereka sangat rapat dengan Cikgu Hassan.
“ Oh, cikgu, kami ada di rumah ! “ Sahut Kamarul setelah mendengar sapaan Cikgu Hassan di halamannya.
Cikgu Hassan sudah berada di tangga rumah Redwan. “ Jemputlah naik, cikgu. Redwan ada di dalam, “ pelawa Kamarul dengan hormat.
“Naik. Mestilah naik, kalau tidak buat apa datang, “ gurau Cikgu Hassan
“Rumah kami berselerak. Tak sempat nak berkemas, “ Redwan mencelah.
“ Manalah sempat nak berkemas, kerja-kerja menuai baru selesai dua hari yang lepas, “ Kamarul memberikan alasan.

2. “ Bagaimana dengan rancangan awak ? “ tanya Salleh.

“ Rancangan apa? “ jawab Ani.
“ Rancangan mendaki gunung yang awak kata pada saya tempoh hari, “ kata Salleh.
“ Oh, itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Sabtu depan. “ jelas Ani.
“ Bagus Ani, bagus. Saya sokong rancangan itu ! “
Ani tersenyum puas apabila mendengar kata-kata sahabat karibnya itu.

3. “Ani tak ada sapa-sapa. Ani sorang.......”
“Ani tak boleh tinggal sini.Di sini bahaya,” kata Tuk Yahya sambil meneliti mata belolok anak itu.
“Ani tak ada sapa-sapa,” rengek Ani lagi.
“Ya, Tuk Yahya tahu.........”
“Ani tak mahu tinggal di rumah lagi.Nanti bom jatuh lagi. Datuk tak ada, datuk tak ada”,jelas anak itu hampir meraung.
“Ani ada Tuk Yahya, Ani ada comot,” pujuk Tuk Yahya

Latihan C:

Tukarkan ayat-ayat karangan pendek di bawah supaya menjadi ayat cakap ajuk.

1. Mak Limah bertanya arah tujuan suaminya setelah melihat suaminya itu dalam keadaan tergesa-gesa hendak keluar. Pak Usop mengatakan bahawa dia hendak berjumpa dengan ahli-ahli jawatankuasa Koperasi Maju. Mak Limah mencadangkan agar suaminya makan nasi dahulu walaupun sibuk dengan kerja kerana dia takut suaminya akan berasa lapar . Pak Usop memberitahu ii itsterinya bahawa dia hendak meletakkan jawatan sebagai pemandu bas koperasi itu. Mak Limah bertanya cara suaminya hendak mendapatkan pekerjaan sekiranya dia berhenti kerja. Pak Usop menjelaskan bahawa dia hendak memohon pinjaman daripada pihak MARA untuk membeli sebuah bas.

2. Azman bertanya kepada Yahya tentang keputusan muktamadnya hendak ke bandar. Yahya mengiyakannya dan menyatakan bahawa dia sudah nekad dan tidak mahu Azman memujuknya lagi. Azman cuba menyedarkan Yahya bahawa kampung mereka pun tiada kurangnya berbanding dengan bandar. Yahya menegaskan bahawa dia sudah bosan hidup di kampung yang bergelumang dengan lumpur sawah. Azman cuba menyedarkan Yahya bahawa mereka lulusan bidang pertanian dan bekerja sebagai petani iatulah yang sepatutnya menjadi pilihan mereka. Sekali lagi Yahya menegaskan bahawa Azman sahajalah yang mengerjakan sawah tetapi dia tetap hendak ke bandar. Azman tetap mengajaknya mengerjakan tanah terbiar di kampung mereka kerana hasilnya tentu lumayan. Yahya tetap berkeras dan menyuruh Azman sahaja mengerjakannya, manakala dia hendak bekerja makan gaji di bandar.

3. Redwan dan Kamarul berkawan baik dan hubungan mereka dengan Cikgu Hassan sangat rapat.Kamarul telah menyahut sapaan Cikgu Hassan yang berada di halaman rumah dengan mengatakan bahawa mereka berada di dalam rumah.Setelah berada di tangga rumah Redwan, Kamarul dengan hormat mempersilakan Cikgu Hassan naik ke rumah dan/ sambil mengatakan bahawa Redwan berada di dalam rumah.Dengan nada mengusik Cikgu Hassan membalas ajakan itu dengan mengatakan bahawa dia tentu akan naik kerana kalau tidak masakan dia datang ke situ.Redwan memohon maaf kerana keadaan rumahnya belum berkemas. Kamarul pula menjelaskan bahawa mereka tidak berkesempatan mengemas rumah kerana kerja-kerja menuai padi baru selesai dua hari sebelumnya.

TAMAT