Wednesday, April 15, 2009

Novel: Tingkatan 5

Tajuk: Kaedah menjawab soalan novel bentuk bandingan.

Langkah menjawab soalan novel bentuk bandingan.
i.Namakan 2 novel dan penulisnya yang dijadikan rujukan.
ii.Beri dua perbezaan aspek yang ditanya dan huraiannya bagi kedua-dua novel.
iii.Beri satu persamaan aspek yang ditanya dan huraiannya bagi kedua-dua novel.

Contoh 1:
Kegigihan merupakan salah satu persoalan penting dalam dua buah novel yang telah anda kaji. Bincangkan.

Novel yang telah saya kaji ialah Bukit Kepong karya Ismail Johari dan Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain. Kedua-dua novel menjadikan kegigihan sebagai salah satu persoalan dalam karya tersebut.

Watak Hilmi dalam novel Konserto Terakhir begitu gigih kerana sanggup menghadapi penghinaan daripada Datin Salmah yang disebabkan dia datang dari kampung dan hanya berkelulusan sekolah rendah. Watak Osman dalam novel Bukit Kepong pula ternyata gigih berusaha mencapai cita-citanya sebagai anggota polis walaupun menghadapi tentangan daripada kedua-dua orang tuanya.

Selain itu, kegigihan juga dapat dilihat melalui watak Hilmi yang sanggup bersusah payah bekerja di stesen minyak dan dalam masa yang sama belajar muzik daripada Encik Bakar. Kegigihan ini adalah disebabkan cita-citanya untuk menjadi seorang ahli muzik yang terkenal. Osman pula gigih menghadapi kesukaran sepanjang bertugas sebagai anggota polis di kawasan pedalaman dan berhadapan dengan ancaman komunis.

Kegigihan juga dapat dilihat melalui sikap kesungguhan Hilmi berlatih dan membuat persediaan tanpa mengira waktu agar Konsert Perdana yang dirancangnya dapat berjalan dengan lancar. Sementara itu, kegigihan dalam novel Bukit Kepong pula dapat dilihat melalui kesungguhan anggota polis yang jumlahnya hanya 18 orang menentang pihak komunis yang terlalu ramai demi menjaga kedaulatan negara.

Contoh 2:
Bandingkan persoalan yang terdapat dalam dua buah novel yang telah anda kaji.

Novel yang telah saya kaji ialah Bukit Kepong karya Ismail Johari dan Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain. Persamaan persoalan yang terdapat dalam kedua-dua novel ini ialah semangat kegigihan untuk mencapai sesuatu yang dicita-citakan. Hal ini dapat dilihat melalui watak Osman dalam Bukit Kepong yang begitu gigih berusaha untuk mencapai cita-citanya menjadi anggota polis walaupun tidak dipersetujui oleh ibu bapanya. Dalam novel Konserto terakhir pula, Hilmi begitu gigih berusaha berlatih muzik daripada Encik Bakar kerana cita-citanya untuk menjadi seorang ahli muzik.

2 Persamaan yang kedua ialah semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat. Hal ini dapat dilihat melalui tindakan Encik Bakar yang mengajar muzik kepada Hilmi secara petcuma dan Hayati yang sanggup menggantikan Tempat Hilmi memimpin Konsert Perdana ketika Hilmi terlantar di hospital. Kerjasama dalam novel Bukit Kepong pula dapat dilihat melalui usaha Penghulu Ali dan anak buahnya yang cuba membantu polis ketika diserang oleh komunis, tetapi sayangnya usaha ini tidak berhasil.

Dari segi persoalan pula, novel Bukit Kepong menampilkan persoalan tentang kekejaman pihak komunis dalam usaha memerintah negara. Hal ini dapat dilihat melalui kekejaman yang dilakukan oleh komunis terhadap pihak yang enggan membantu sehingga ada dalam kalangan mereka yang dibunuh. Sementara itu, novel Konserto Terakhir pula menampilkan persoalan yang berbeza iaitu sikap mementingkan pangkat dan kedudukan sehingga sanggup menghina keluarga sendiri. Sebagai contohnya, Datin Salmah sanggup menghina Hilmi disebabkan Himli datang dari kampung dan miskin.

Contoh 3:
Berdasarkan dua buah novel yang telah anda kaji, bandingkan latar budaya yang terdapat dalam kedua-dua novel tersebut.

Novel yang telah saya kaji ialah Bukit Kepong karya Ismail Johari dan Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain. Latar budaya bermaksud golongan masyarakat yang terlibat dalam sesuatu cerita. Dari segi persamaan, kedua-dua novel memperlihatkan golongan masyarakat desa sebagai latar budaya dalam cerita tersebut. Dalam novel Bukit Kepong, Osman berasal dari kampung dan bekerja sebagai penoreh getah. Begitu juga dengan Hilmi dalam novel Konserto Terakhir yang juga berasal daripada masyarakat desa yang hidup dalam keadaan miskin.

Selain itu, kedua-dua novel juga memeparkan latar budaya masyarakat yang saling bekerjasama dan saling membantu. Hal ini dapat dilihat melalui watak Penghulu Ali dan anak buahnya yang cuba memberi pertolongan kepada anggota polis ketika Balai Polis Bukit Kepong diserang Komunis. Dalam novel Konserto pula, golongan ini diwakili oleh Mamat yang memperkenalkan Hilmi kepada Encik Bakar, dan Encik Bakar sendiri yang membantu Hilmi belajar muzik tanpa meminta sebarang bayaran.

Dari segi perbezaan pula, novel Bukit Kepong memaparkan latar budaya masyarakat daripada golongan anggota polis. Ini dapat dilihat melalui watak Osman dan Sarjan Jamil yang sedia bekorban untuk negara. Novel Konserto Terakhir pula memaparkan golongan masyarakat seniman yang diwakili oleh Hilmi. Hilmi merupakan ahli muzik yang terkenal di samping pandai mencipta lagu.

Contoh 4:
Berdasarkan dua buah novel yang telah anda kaji, bandingkan perwatakan watak wanita sampingan dalam kedua-dua novel tersebut.

Novel yang telah saya kaji ialah Bukit Kepong karya Ismail Johari dan Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain. Watak wanita sampingan dalam novel Bukit Kepong ialah Limah manakala watak sampingan wanita dalam novel Konserto Terakhir ialah Hayati.

Dari segi persamaan, kedua-dua watak wanita tersebut mempunyai hubungan yang rapat dengan watak utama dalam novel tersebut. Dalam novel Bukit Kepong, Limah merupakan isteri kepada watak utama iaitu Osman. Dalam novel Konserto Terakhir pula Hayati merupakan kekasih kepada watak utama iaitu Hilmi.

Selain itu, kedua-dua watak sampingan wanita itu ialah watak yang patuh akan perintah ibu bapa dan agama. Limah contohnya tidak membantah apabila dijodohkan dengan Osman malah seorang yang kuat agama dan pandai mengajar mengaji kepada anak-anak anggota polis di Pagoh. Hayati pula patuh dengan arahan ibu bapanya supaya dia berkahwin dengan Mohsin walaupun dia lebih mencintai Hilmi. Hayati juga seorang yang kuat pegangan agama kerana selalu bersembahyang dan berdoa.

Dari segi perbezaan pula, Limah dalam novel Bukit Kepong merupakan seorang isteri yang taat akan agama dan terlalu menyayangi suaminya. Hal ini dapat dilihat apabila dia sanggup mengikut Osman bertugas di kawasan pedalaman malah menjagi gila apabila mendapat berita bahawa Osman telah terkorban. Hal ini berbeza dengan Hayati yang masih menjalin hubungan dengan Hilmi walaupun dia telah bersuami. Perkara ini dapat dilihat apabila Hayati menemui Hilmi dan menyatakan perasaan cintanya kepada Hilmi sebelum dia mengikut suaminya ke luar negara.

Contoh 5:
Berdasarkan dua buah novel yang telah anda kaji, bandingkan nilai yang terdapat dalam kedua-dua novel tersebut.

Novel yang telah saya kaji ialah Bukit Kepong karya Ismail Johari dan Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain. Kedua-dua novel mempunyai persamaan dan perbezaan dari segi nilai. Persamaan nilai yang terdapat dalam kedua-dua novel tersebut ialah ketabahan menghadapi cabaran. Dalam novel Bukit Kepong, Osman sentiasa tabah menghadapi kesukaran dan bahaya ancaman daripada komunis apabila ditugaskan di kawasan pedalaman seperti di Pagoh dan Bukit Kepong. Dalam novel Konserto Terakhir pula, nilai ketabahan dapat dilihat melalui watak Hilmi yang sentiasa tabah menghadapi pelbagai rintangan termasuk penghinaan daripada Datin Salmah ketika beliau tinggal dan bekerja sebagai tukang kebun di rumah Datuk Johari.

Persamaan yang kedua ialah dari segi nilai kasih sayang. Dalam novel Bukit Kepong, Limah amat sayang akan suaminya, Osman sehingga sanggup mengikutnya bertugas di kawasan pedalaman. Nilai ini juga terdapat dalam novel Konserto tyerakhir. Hal ini dapat dibuktikan melalui perasaan sayang Hilmi kepada Hayati sehingga Hilmi berasa cemburu apabila melihat Hayati berbual dengan tunangnya, Mohsin.

Sementara itu, terdapat juga perbezaan nilai di antara kedua-dua novel tersebut. Dalam novel Bukit Kepung, terdapat nilai cinta akan negara dan tidak terdapat dalam novel Konserto Terakhir. Hal ini dapat dilihat melalui usaha pihak polis yang diketuai oleh Sarjan Jamil yang bermati-matian mempertahankan Balai Polis daripada ditawan oleh komunis. Dalam novel Konserto terakhir pula terdapat nilai kejujuran yang tidak terdapat dalam novel Bukit Kepong. Nilai kejujuran dalam novel Konserto Terakhir dapat dilihat melalui perlakuan Hayati yang dianggap tidak jujur kerana masih berhubungan dan menemui Hilmi walaupun dia telah bersuamikan Mohsin.