Tuesday, August 4, 2009

Pinjaman Ceti Haram dan Kesannya

MEMINJAM DARIPADA CETI HARAM DAN KESANNYA.
(Huraikan isi karangan supaya menjadi lebih panjang sesuai dengan SPM)

............Kegiatan ceti haram sememangnya tidak asing lagi pada masa kini. Malah, kegiatan ini juga sering dikaitkan dengan unsur-unsur jenayah berat seperti pengedaran dadah, serta pil-pil khayal, sindiket pelacuran, dan pembunuhan. Kegiatan ini sekiranya tidak diatasi dengan segera, boleh mengundang padah bukan sahaja kepada masyarakat, bahkan juga kepada pembangunan negara. Kini, dalam era yang lebih moden, kegiatan ceti haram lebih terkenal dengan jolokan "along" dan kegiatan mereka kebiasaannya bertumpu di semua bandar di negara kita.

............Isu ceti haram boleh dilihat sebagai kegiatan sekumpulan manusia menjalankan urusan meminjamkan wang haram hasil curian, pengedaran dadah dan sebagainya kepada sesetengah masyarakat yang ‘terdesak’. Pinjamannya mudah diperoleh dengan cepat kerana tidak memerlukan cagaran, penjamin, serta tidak perlu mengikut prosedur tertentu, seperti mana di institusi kewangan yang lain. Hal ini menyebabkan sesetengah masyarakat tidak berfikir panjang untuk meminjam wang daripada ceti haram.

............Kesempitan hidup atau masalah beban kewangan juga turut menjadi faktor orang ramai meminjam daripada ceti haram. Hal ini dikaitkan juga dengan kos hidup yang tinggi, perbelanjaan yang melebihi pendapatan dan kerugian yang dihadapi dalam perniagaan. Tambahan pula, bagi mereka yang sememangnya berpendapatan kecil turut menganggap ceti haram sebagai jalan pintas untuk penyelesaian masalah kewangan mereka. Lantas, mereka bertindak dengan meminjam wang daripada ceti haram dan tidak memikirkan risiko yang bakal dihadapi kelak.

............Namun begitu, terdapat implikasi buruk daripada kegiatan ceti haram ini. Bagi ceti haram, mereka akan menjejaki si penghutang sehingga ke ‘lubang cacing’ dan akan memberikan amaran pertama, kedua dan seterusnya kepada si penghutang. Sekiranya si penghutang tidak mampu untuk melangsaikan hutangnya, maka ceti haram tidak akan teragak-agak untuk mencetuskan keganasan berupa penderaan dan juga pembunuhan. Malahan yang lebih menakutkan, ceti haram juga akan menjejaki keluarga si penghutang untuk dijadikan tebusan bagi mendapatkan semula wang mereka. Jika tidak pun, rumah mereka akan disimbah cat atau keluarga mereka dimaki hamun sebagai cara untuk memalukan si peminjam agar melangsaikan hutang mereka. Malangnya, tindakan ganas ini bagaimanapun masih tidak menyedarkan ramai pihak agar menjauhi ceti haram berkenaan.

............Bagi si penghutang, ancaman berterusan yang diterima daripada penceti haram menyebabkan mereka semakin tertekan dan bagi mereka yang lemah dari segi iman dan pendidikan, mereka akan mengambil jalan mudah dengan membunuh ahli keluarga sebelum bertindak membunuh diri sendiri supaya penceti haram tidak dapat menjejaki mereka sekeluarga. Apa tidaknya, bunga yang dikenakan oleh ceti haram bukanlah calang-calang tingginya. Pinjaman seribu dua mungkin boleh mencecah puluhan ribu dalam tempoh yang singkat sehingga menyebabkan si penghutang tidak mampu membayar hutang mereka. Hal seperti inilah yang sepatutnya menjadi perkiraan utama kepada orang ramai sebelum membuat keputusan untuk melibatkan diri dengan ceti terbabit.

............Intihanya, masyarakat hari ini hendaklah bersatu tenaga bersama-sama pihak berkuasa untuk menangani kegiatan jenayah ini daripada berleluasa. Hal ini perlu untuk menjaga keharmonian, keamanan dan kestabilan dalam negara. Pihak berkuasa perlulah bertindak tegas kepada ceti haram dan juga pihak yang membuat pinjaman kepada ceti haram berkenaan. Kerajaan telah menyediakan pelbagai alternatif agar orang ramai meminjam daripada institusi kewangan yang diiktiraf seperti pihak bank. Jadi, tidak timbul isu mengapa kita tidak boleh melepaskan diri daripada cengkaman ceti haram demi mengatasi masalah kewangan kita.
....................................kembali ke tajuk lain ................................
.........................................................................................................