Pengangkutan awam merupakan salah satu pengangkutan yang amat penting di negara kita. Namun begitu, masih banyak kelemahan yang kerap menjadi sungutan orang ramai. Terangkan kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam di negara ini.
.
.
..........Dalam sistem perhubungan, pengangkutan awam menjadi pilihan orang ramai untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Sistem pengangkutan ini turut menjadi pilihan golongan marhaen khususnya bagi mereka daripada golongan masyarakat pertengahan dan yang kurang berkemampuan. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita adalah seperti pengangkutan bas awam, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), monorel dan sebagainya. Memang sudah banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan sekian lama.
.
..........Dalam sistem perhubungan, pengangkutan awam menjadi pilihan orang ramai untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Sistem pengangkutan ini turut menjadi pilihan golongan marhaen khususnya bagi mereka daripada golongan masyarakat pertengahan dan yang kurang berkemampuan. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita adalah seperti pengangkutan bas awam, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), monorel dan sebagainya. Memang sudah banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan sekian lama.
.
..........Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam kita ialah kos atau tambangnya yang agak mahal. Kadar tambang terutamanya bagi penumpang teksi dan LRT adalah dianggap mahal terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah serta menghalang mereka daripada menggunakan sistem pengangkutan itu dengan lebih kerap. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh. Kebanyakan daripada mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya apabila terdesak atau hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun menggunakan pengangkutan awam tersebut.
.
.
...........Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan dengan amalan pengurusannya yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam terutamanya bas awam tidak boleh diharap dari segi ketepatan waktu operasinya. Kelewatan bas kerap berlaku dan tidak mengikut jadual perjalanan yang ditetapkan. Hal ini menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah kelewatan sampai ke tempat kerja menjadi isu utama akibat kegagalan pihak pengurusan mengatasi masalah tersebut. Masalah penjagaan bas awam, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori yang mengecewakan kerana penyelenggaraannya yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja kecewa melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadual perjalanan malah pada masa yang sama kegagalan untuk menjaga kualiti perkhidmatan pengangkutan awam turut dirasai.
.
.
..........Kita juga sering terdengar rungutan orang awam yang mengatakan bahawa tumpuan perkhidmatan awam di negara kita tidak menyeluruh. Kemudahan stesen LRT umpamanya hanya terletak di kawasan tertentu yang kadang-kala menyukarkan orang ramai tiba ke pejabat. Hal ini bertambah rumit kerana masalah kekurangan pengangkutan tambahan atau “fider bus” di kawasan itu. Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan, contohnya di antara stesen monorel dengan stesen LRT atau di antara stesen bas dengan tesen monorel. Hal ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang bersepadu harus diadakan oleh kerajaan sebelum kemelut ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.
..
..
..........Malah, pengangkutan awam turut turut terjejas akibat tindakan segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara kerana seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit. Ada di antara mereka yang masih mengamalkan sikap ingin menjadi sang juara di jalan raya. Hal ini bukan sahaja membahayakan penumpang kenderaan tersebut malah pada masa yang sama turut membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Justeru, semua pekerja pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan serta masyarakat awam yang lain.
.
.
..........Banyak juga aduan yang sering kita baca di dada-dada akhbar mengenai rungutan orang awam tentang kekurangan tempat letak kereta di stesen LRT dan komuter. Hal ini berlaku kerana kurangnya perancangan yang teliti sebelum projek tersebut dilaksanakan. Kelemahan ini bukan sahaja menyukarkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka malah menghalang orang ramai untuk menaiki kemudahan awam tersebut. Di beberapa buah stesen komuter dan LRT di ibu kota Kuala Lumpur umpamanya, kekurangan tempat untuk meletakkan kenderaan menyebabkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka sesuka hati atau di tepi-tepi jalan. Hal ini bukan sahaja menyebabkan berlakunya kesesakan malah kadang-kala boleh menyebabkan berlakunya kemalangan. Lebih malang pula, ada sebahagian kenderaan tersebut turut di saman oleh pihak polis biarpun masalah ini timbul akibat kelemahan pengurusan terbabit. Jelasnya, rungutan pengguna pengangkutan awam tersebut perlu ditangani dengan baik agar pengangkutan awam di negara kita tidak menjadi “indah khabar dari rupa”.
.
.
..........Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam di negara kita amat perlu diambil berat oleh pihak yang terbabit. Sekiranya perkara tersebut masih terus didiamkan tanpa sebarang tindakan, kita bimbang hasrat kerajaan untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai salah satu pengangkutan utama di negara kita akan terkubur. Kesungguhan pihak kerajaan untuk mengambil langkah awal dalam menangani masalah ini amat ditagih dan pihak berwajib tidak harus bertindak hanya apabila isu itu menjadi tatapan masyarakat dalam media massa negara. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas dalam kemelut ini dan bukan bersikap “sudah terhantuk baru terngadah”.
..