Banjir di Mata Emak
Sinopsis
Watak
“saya” hendak menelefon temannya tetapi tersalah tekan nombor telefon rumah Mak
Piah. Mak Piah menyangka orang yang membuat panggilan itu ialah anaknya, Nana.
Mak Piah memberitahu “Nana” (saya) bahawa dia tidak ada bekalan makanan
disebabkan banjir yang melanda kampungnya sudah sampai ke paras dada. Mak Piah
berterima kasih kepada “Nana” kerana menelefon untuk bertanyakan khabarnya.
Malangnya, abang Nana yang tinggal berdekatan tidak menjenguk Mak Piah langsung
dan tidak menghiraukan keadaan Mak Piah semasa banjir tersebut.
Belum
sempat “saya” hendak memberitahu Mak Piah tentang dirinya yang sebenar, talian
telefon sudah terputus. Sudah empat hari empat malam hujan turun. “Saya” cuba
menelefon Mak Piah sekali lagi tapi tiada jawapan. “Saya” bimbang akan keadaan
Mak Piah. Banjir pada kali ini telah meragut dua nyawa. Mengikut cerita Mak
Piah tadi, bekalan makanannya sudah habis. Jiran-jirannya sudah berpindah ke
pusat pemindahan mangsa banjir. Mak Piah seorang sahaja yang tidak mahu pergi
ke pusat pemindahan. “Saya” tertanya-tanya sebab Mak Piah tidak mahu berpindah.
“Saya“ membuat andaian bahawa mungkin Mak Piah sedang menunggu kedatangan anak
lelakinya. Namun begitu, menurut Mak Piah, anak lelakinya sudah tiga bulan
tidak menelefon untuk bertanyakan khabarnya. Apatah lagi, pulang untuk
menjenguk ibunya itu.
“Saya” mendail nombor telefon Mak Piah sekali lagi. Mak Piah menjawab
panggilan “saya”. Mak Piah meminta “saya” yang disangkakannya Nana agar tidak
bimbang tentangnya. Mak Piah sempat berpesan kepada “saya” agar menjaga anak
dan suaminya baik-baik.
“Saya” ingin bertemu dengan Mak Piah supaya “saya” dapat melepaskan rindu
terhadap ibunya yang telah meninggal dunia. Mak Piah merindui anak-anaknya.
“Saya” merindui ibunya. “Saya” memperoleh alamat rumah Mak Piah dalam buku
panduan telefon. “Saya” pergi ke rumah Mak Piah dengan membawa makanan. Mak
Piah menyambut kedatangan “saya” dengan gembira.
Kerja
“saya” menjadi senang kerana Mak Piah sangat peramah. Daripada Mak Piah, “saya”
mendapat tahu bahawa Nubhan, abang Nana takut akan isterinya, manakala Nana
pula takut akan suaminya. “Saya” bertanyakan sebab Mak Piah tidak berpindah ke
pusat pemindahan. Mak Piah mengatakan bahawa semasa banjir dahulu dia berpindah
juga ke pusat pemindahan tetapi dia berasa susah. Hal ini berlaku demikian
kerana dia kerap membuang air kecil sehinggakan kadang-kadang tidak sempat ke
bilik air. “Saya” berjanji akan menemani Mak Piah selagi banjir tidak surut.
Mak Piah memeluk “saya” lantas mengucapkan terima kasih.
“Saya” mengajak Mak Piah makan. Mak Piah bertanya sama ada Nana yang
memasak makanan itu dan menyuruh “saya” menghantar makanan tersebut. “Saya”
mengangguk sambil tersenyum. “Saya” terpaksa berbohong. Selepas makan, “saya”
menolong Mak Piah mencuci dan menyimpan barang-barang makanan yang dibawanya ke
dalam peti sejuk.
“Saya” minta diri untuk pulang dan berjanji untuk datang menziarahi Mak
Piah lagi. Mak Piah meminta “saya” menyampaikan salam kepada anak perempuannya,
Nana. “Saya” demam panas selama lima hari. Setelah sihat, “saya” pergi ke rumah
Mak Piah seperti yang dijanjikannya sebelum ini. “Saya” berasa hairan apabila
melihat orang ramai membanjiri pekarangan rumah Mak Piah. Rupa-rupanya Mak Piah
telah meninggal dunia. Mak Piah tergelincir jatuh dan kepalanya cedera semasa
hendak membersihkan rumahnya selepas banjir. Nana dan Nubhan menyesal. Kata
Nana dua hari sebelumnya, Mak Piah bercerita kepada jiran-jiran bahawa Nana
telah mengirim makanan kepadanya semasa banjir. Mak Piah sangat gembira. Nana
menyatakan bahawa dia tidak pernah mengirim apa-apa kepada emaknya. Dia tidak
pernah menelefon emaknya juga kerana emaknya tidak berapa dengar. Nana mengakui
betapa mulia hati emaknya kerana sanggup berbohong kepada masyarakat untuk menjaga
maruah dan namanya. Nana amat menyesal.
Tema
Kehilangan sesuatu yang bermakna meninggalkan
kesan yang mendalam dalam kehidupan seseorang.
Persoalan
(a) Nasib ibu tua yang tidak mendapat perhatian
daripada anak-anak.
(b) Kasih ibu tidak berbelah bagi.
(c) Menyesal kemudian tiada gunanya.
(d) Anak-anak yang tidak bertanggungjawab.
(e) Rasa simpati yang wujud dalam diri
seseorang.
Watak dan
Perwatakan
“Saya”
(a) Anak yatim piatu.
(b) Seorang yang sensitif.
(c) Seorang yang prihatin.
(d) Mudah bersimpati.
(e) Baik hati.
(f) Terlalu merindui ibunya.
(g) Mengambil berat terhadap kehidupan Mak Piah.
(h) Sanggup berbohong kerana hendak melihat Mak
Piah bahagia.
Mak Piah
(a) Hidup seorang diri di rumah usang di sebuah
kampung.
(b) Mempunyai dua orang anak, iaitu Nana dan
Nubhan.
(c) Seorang yang peramah.
(d) Seorang ibu yang penyayang.
(e) Seorang yang taat akan perintah Tuhan.
(f) Kurang pendengaran.
(g) Sangat merindui anak-anaknya.
Nana
(a) Anak bongsu Mak Piah.
(b) Takut akan suami.
(c) Tidak bertanggungjawab.
Unsur Gaya Bahasa
(a) Bahasa Arab. Contohnya, Ya Allah; zuhur;
assalamualaikum; alhamdulillah; insya-Allah.
(b) Metafora. Contohnya, lembah kepiluan;
bungkusan takdir; lautan fikir.
(c) Simile. Contohnya, Ataukah agaknya dia
bimbangkan bil telefon “anak” ini akan menjadi seperti harga ikan di pasar
kami?
(d) Personifikasi. Contohnya, banjir kali ini
menelan dua nyawa; getar suaranya menggegarkan perasaan.
(e) Peribahasa. Contohnya, isi hati.
(f) Sinkope. Contohnya, Tak apa
Mak Piah, selagi banjir tak surut, insya-Allah, saya akan
temankan Mak Piah.
(g) Repetisi. Contohnya, Saya yakin sungguh.
Benar-benar yakin!
Nilai
(a) Kasih sayang.
(b) Keprihatinan.
(c) Baik hati.
(d) Simpati.
Pengajaran
(a) Kita hendaklah bertanggungjawab terhadap ibu
bapa kita.
(b) Kita mestilah menghargai kasih sayang ibu
bapa terhadap kita.
(c) Kita hendaklah mengamalkan sikap
perikemanusiaan dan tolong-menolong sesama manusia.
(d) Kita hendaklah menjaga nama baik seseorang,
terutamanya nama baik ahli keluarga sendiri.
(e) Kita mestilah berpendirian tegas dalam
hal-hal tertentu terutamanya tentang hak terhadap ibu bapa kita.