Wednesday, May 6, 2009

Petikan Soalan Rumusan

Soalan Rumusan 1:

Baca petikan yang diberi di bawah, kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan langkah memperbaiki program ini. Panjang 120 patah perkataan.
____________________________________________________
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2002. Pada setiap tahun, program ini dilaksanakan sebanyak dua kali bagi membolehkan lebih ramai remaja menyertainya. Golongan remaja yang diwajibkan untuk menyertai program PLKN ini adalah terdiri daripada lepasan sekolah iaitu sebaik sahaja mereka menamatkan peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia. Dengan menyertai PLKN ini, para peserta akan dapat mengisi masa lapang mereka dengan berfaedah sambil menunggu keputusan peperiksaan. Dengan masa lapang yang sentiasa terisi, remaja akan terhindar daripada melakukan jenayah yang tidak berfaedah seperti menyertai perlumbaan motosikal haram, menyalahgunakan dadah, menyertai kumpulan haram dan sebagainya.

Peserta PLKN adalah terdiri daripada remaja pelbagai kaum. Di kem-kem PLKN, remaja tersebut yang terdiri daripada remaja Melayu, Cina dan India ditempatkan di dalam satu kawasan yang sama. Oleh itu penyertaan mereka dalam PLKN dapat menyemai semangat perpaduan di antara pelbagai kaum. Semangat perpaduan ini amat penting bagi membentuk Malaysia yang aman dan harmoni. Penyertaan mereka dalam PLKN juga menggalakkan mereka untuk belajar berdikari tanpa mengharapkan pertolongan daripada orang lain. Sebagai contohnya, mereka dikehendaki untuk mengemas dan mencuci pakaian mereka sendiri ketika berjauhan daripada keluarga. Hal seperti ini mungkin tidak akan berlaku sekiranya golongan remaja tidak didedahkan dengan program PLKN.

Semasa berada di kem latihan, pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk golongan remaja tersebut. Antaranya termasuklah ceramah, motivasi, latihan ketenteraan dan sebagainya. Dengan cara ini, penyertaan mereka akan dapat menanamkan semangat cinta akan negara kita. Program yang diatur dikendalikan oleh jurulatih yang terdiri daripada pakar-pakar alam bidang ketenteraan dan kepolisian. Oleh itu, tidak hairanlah apabila sebahagian besar peserta yang ditemui menjelaskan bahawa penyertaan mereka telah dapat meningkatkan semangat keyakinan dan jati diri yang tinggi dalam diri mereka. Semangat seperti inilah yang perlu sentiasa ada dan disemai dalam jiwa setiap remaja di negara kita. Hal ini adalah amat penting memandangkan golongan remaja inilah yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan.

Selain itu, program PLKN juga disertai oleh golongan remaja dari seluruh pelosok negara. Peserta dari Perlis hinggalah Sabah dan Sarawak ditempatkan di dalam beberapa buah kem latihan di seluruh negara. Dengan cara ini para peserta yang menyertai program PLKN akan dapat mengenali di antara satu dengan yang lain di samping dapat mempelajari pelbagai budaya yang menarik. Hal seperti ini tidak mungkin dapat dirasai sekiranya remaja tidak menyertai program PLKN sehingga ada golongan remaja yang bersikap seperti “katak di bawah tempurung”. Dalam masa yang sama juga, para peserta akan dapat mencari rakan-rakan yang baru dari seluruh negara bagi bertukar-tukar pendapat. Mereka dapat berbincang mengenai perkara yang berkaitan dengan pelajaran mahupun tentang isu-isu semasa.

Memandangkan penyertaan remaja dalam program PLKN memberi pelbagai faedah, maka golongan remaja tidak harus melepaskan peluang ini. Justeru, ibu bapa pula tidak harus berasa bimbang ketika anak-anak mereka mengikuti program ini kerana keselamatan mereka adalah terjamin. Mereka sentiasa dikawal selia dan dijaga dengan baik oleh jurulatih yang sentiasa komited dengan tugas dan tanggungjawab mereka.
____________________________________________________


Soalan Rumusan 2:

Rumuskan sebab-sebab berlakunya pencabulan bahasa kebangsaan dan usaha-usaha memperkasakannya. Panjang 120 patah perkataan.
__________________________________________________
Sejak berabad-abad dahulu, bahasa Melayu atau bahasa Malaysia telah berkembang dan menggunakan istilah asing untuk memperkaya kosa katanya. Malah sebelum era penjajahan, bahasa Malaysia telah meminjam istilah daripada bahasa Sanskrit dan bahasa Arab. Perkembangan ini lebih ketara apabila kita memasuki zaman teknologi maklumat. Dari sudut peminjaman bahasa, kini kedudukan bahasa Malaysia agak kritikal kerana sebahagian daripada bahasa asing sudah menodai kemurniannya. Kini semakin banyak premis perniagaan dan swasta tidak peka terhadap penggunaan bahasa kebangsaan yang betul.

Kebanyakan istilah dan kata yang dipaparkan di premis tersebut menggunakan bahasa rojak. Perbuatan ini memperlihatkan sikap tidak peka terhadap usaha untuk memertabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan. Selain suasana di atas, kita mendapati masih banyak papan tanda iklan yang menggunakan bahasa asing atau bahasa kacukan. Tindakan tidak bertanggungjawab ini sedikit demi sedikit mengikis dan melunturkan keistimewaan bahasa Malaysia sebagai bahasa sanjungan rakyat negara ini. Sementara itu, pihak media pula menyiarkan iklan yang mencampuradukkan penggunaan bahasa Malaysia dengan bahasa Inggeris. Hal seperti ini akan mengelirukan golongan kanak-kanak dan remaja sama ada sesuatu kata itu berasal daripada bahasa ibunda mereka atau celupan bahasa asing.

Kesalahan penggunaan bahasa Malaysia dapat dilihat dengan ketara menerusi khidmat pesanan ringkas yang mediumnya ialah telefon bimbit dan ruangan sembang siber di internet. Menerusinya, singkatan kata, lambang, angka atau kod tertentu telah digunakan untuk menggantikan maksud sebenar lambang tulisan. Makalah dalam majalah pun tidak mengendahkan kemurnian bahasa Malaysia malah turut dirojakkan bahasanya secara sesuka hati. Selain itu, penggunaan bahasa rojak juga telah digunakan secara meluas dalam akhbar dan majalah. Penggunaannya telah tersebar ke dalam lubuk hati rakyat. Bukan setakat itu sahaja, bahkan tajuk cerita dan drama, serta nama kumpulan muzik menggunakan bahasa Inggeris juga. Dengan itu, jelaslah bahawa wujud kalangan yang sengaja memperlekehkan bahasa sendiri atau masih menganggap bahasa Malaysia tidak global sifatnya. Sikap ini ada kaitannya dengan amalan pemujaan bahasa Inggeris sebagai bahasa teknologi dan boleh membawa kemajuan kepada penggunanya.

Pada masa ini, sebahagian daripada kita masih beranggapan bahawa tiada undang-undang yang boleh diguna pakai secara berkesan bagi menyekat kegiatan penyangak bahasa ini. Selain itu, bahasa Malaysia turut hilang sebahagian daripada daya tahan apabila ada pihak yang beranggapan bahawa bahasa Malaysia hanya milik orang Melayu. Anggapan seperti ini tidak dapat membantu dalam kemajuan bahasa Malaysia sebagai bahasa Kebangsaan yang menjadi lambang penyatuan rakyat negara ini.
___________________________________________________


Soalan Rumusan 3

Baca petikan di bawah dan buat satu rumusan tentang faktor-faktor yang menyebabkan penghijrahan dari luar bandar ke bandar dan kesan-kesannya. Panjang rumusan mestilah tidak lebih 120 patah perkataan.

____________________________________________________
Penghijrahan bermaksud perpindahan penduduk dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Biasanya, golongan yang selalu berpindah ialah orang-orang muda atau remaja yang baru tamat persekolahan. Kebanyakan remaja berpindah dari kawasan luar bandar atau kampung menuju ke bandar besar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Johor Bahru dan lain-lain.

Sebab atau faktor utama mereka berhijrah ke bandar adalah disebabkan untuk mencari pekerjaan yang lebih baik. Sektor pertanian di luar bandar iaitu pertanian tidak menggalakkan remaja menceburi bidang ini. Remaja lebih tertarik pada sektor industri atau perkilangan yang banyak terdapat di bandar-bandar. Penghijrahan mereka ke bandar-bandar juga disebabkan ingin mencari pendapatan yang lebih tinggi berbanding dengan pendapatan yang boleh didapati di luar bandar. Justeru, faktor tarikan ini telah menggalakkan lebih banyak penghijrahan jenis ini berlaku.

Bagi golongan dewasa, kebanyakan mereka berpindah keluar dari kawasan luar bandar adalah bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing. Peluang pekerjaan yang terhad biasanya menyebabkan pendapatan mereka rendah. Hal seperti ini mengakibatkan berlakunya masalah penggangguran dan kadar kemiskinan yang tinggi di kawasan tersebut. Bagi golongan pekerja pula, penghijrahan mereka ke bandar selalunya disebabkan oleh arahan untuk bertukar tempat kerja oleh majikan. Perpindahan seperti ini selalunya berlaku di kalangan pekerja awam seperti polis, guru, pegawai kerajaan dan lain-lain.

Memandangkan kawasan luar bandar masih kekurangan kemudahan awam seperti pusat pendidikan tinggi, sebahagian penduduk dari kawasan ini berhijrah ke bandar untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat yang lebih tinggi. Dasar awal kerajaan yang menempatkan universiti di bandar-bandar besar seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan sebagainya, telah menggalakkan perpindahan jenis ini berlaku. Bagi generasi kedua pula, mereka turut berpindah ke kawasan bandar sama ada disebabkan oleh perkahwinan atau mengikut keluarga yang berpindah. Fenomena seperti banyak berlaku di kebanyakan negara-negara sedang membangun seperti Malaysia dan Indonesia.

________________________________________________


Soalan Rumusan 4:

Baca petikan di bawah dan rumuskan masalah perkembangan sistem jalan raya di negara kita dan langkah mengatasinya. Panjang ringkasan hendaklah tidak lebih 120 patah perkataan. Gunakan ayat anda sendiri.

_____________________________________________________
Sistem jalan raya di negara kita semakin baik dari setahun ke setahun. Perkembangan jalan raya di negara kita bermula sejak kedatangan British ke Tanah Melayu iaitu bagi memudahkan pihak peperintah membawa keluar hasil ekonomi negara. Antara hasil tersebut termasuklah bijih timah dan getah yang menjadi keperluan utama penjajah ke Malaysia. Revolusi perindustrian di Eropah menggalakkan negara tersebut merantau jauh bagi mencari bahan untuk perkembangan industri mereka.

Menjelang sekitar tahun 1970-an, perkembangan sistem jalan raya di negara kita bertambah maju apabila beberapa batang lebuh raya utama dibina. Tujuan pembinaan lebuh raya tersebut adalah bagi menampung kekurangan sistem pengangkutan negara. Sebagai contohnya, kerajaan telah menswastakan Lebuh Raya Utara Selatan dan Lebuh Raya Karak. Hal ini telah memudahkan orang ramai di samping mengurangkan beban kewangan kerajaan.

Sama juga dengan jalan kereta api di Malaysia, pembinaan jalan raya menyebabkan pelbagai fenomena alam sekitar akibat penebangan hutan dan jumlah kenderaan yang semakin bertambah. Banyak kawasan hutan diterokai untuk dimajukan dengan sistem jalan raya. Kesannya berlakulah tanah runtuh dan meningkatkan kadar hakisan. Jumlah asap yang dikeluarkan oleh kenderaan juga secara langsung menggalakkan berlakunya pencemaran udara di negara kita.

Memandangkan kebanyakan pengguna di Malaysia kurang bertamnggungjawab, pembinaan jalan raya tersebut mengundang kepada pelbagai masalah. Masalah paling serius ialah kadar kemalangan jalan raya yang semakin meningkat dari semasa ke semasa. Banyak sudah langkah dilaksanakan oleh kerajaan tetapi jalan raya masih menjadi tempat yang kerap berlakunya kematian umum.

Kita masih mampu berbangga kerana jalan raya di negara kita adalah antara yang terbaik di Asia. Langkah meningkat mutu sistem jalan raya sering dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk kemudahan orang ramai. Antara usaha tersebut termasuklah membaiki kerosakan, menanam rumput di tebing jalan raya serta menambahbaikkan kemudahan rehat dan rekreasi di seluruh jalan raya di negara kita.
____________________________________________________


Soalan Rumusan 5:
Baca petikan di bawah dan buat satu rumusan tentang kesan pembangunan sektor perindustrian di Malaysia dan langkah mengatasinya. Gunakan ayat anda sendiri dan jangan lebih 120 patah perkataan.

____________________________________________________
Penekanan kerajaan dalam usaha membangunkan sektor perindustrian adalah disebabkan oleh daya saing yang berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi. Usaha kerajaan membangunkan bidang perindustrian di samping melakukan penyelidikan dan pembangunan yang lebih giat membolehkan sektor perindustrian memperbaiki keluaran yang sedia ada di samping memperkenalkan produk baru yang lebih berdaya saing dalam pasaran.

Kerajaan berusaha memperkukuh asas sektor pembuatan dengan membangunkan kelompok industri teguh, dan memperkukuh perkhidmatan yang berkaitan dengan pembuatan. Bagi mencapai tujuan itu kerajaan telah menyediakan insentif bagi meningkatkan bidang perindustrian di Malaysia.

Perkembangan sektor perindustrian tidak dapat mengelakkan masalah pencemaran alam sekitar yang disebabkan oleh pembuangan sisa-sisa kilang secara tidak terkawal daripada berlaku. Hakisan tanah dan juga banjir kilat berlaku akibat pembukaan tanah untuk tujuan perindustrian. Kesihatan penduduk setempat turut terancam akibat pencemaran udara. Sisa toksid turut dibuang ke dalam sungai daripada kilang perindustrian, ladang dan kebun, makmal, hospital dan sebagainya.

Pelbagai langkah dijalankan untuk mengelakkan fenomena seperti ini daripada terus berlaku. Antaranya dengan mengadakan sistem pembuangan sisa kilang dan sampah yang sistematik serta selamat. Pihak berkuasa juga harus mengenakan hukuman berat kepada pengusaha kilang yang membuang sampah atau sisa toksid yang berbahaya. Pengusahaq kilang digalakkan agar memasang alat penapis bahan kimia sebelum melepaskan asap ke atmosfera. Kawasan pelupusan sampah yang diselia dengan rapi oleh pihak berkuasa tempatan atau pihak swasta harus segera disediakan. Pendidikan dan kempen ”Cintai Alam Sekitar” di sekolah atau di media massa bagi menyedarkan orang ramai akan bahaya pencemaran alam sekitar harus diadakan dengan lebih kerap.
__________________________________________________
Soalan Rumusan 6:
Baca petikan dan buat satu rumusan tentang faedah pengiklanan di media masa dan masalah yang timbul. Panjang rumusan mestilah tidak melebihi 120 patah perkataan.
____________________________________________________
Kini, pengiklanan merupakan keperluan biasa dalam bidang mempromosikan sebarang jenis pengeluaran. Setiap masa dan di mana-mana sahaja, pengiklanan sudah menjadi satu trend yang memperlihatkan kepentingan yang tidak dapat disingkirkan dalam aspek kehidupan masyarakat. Jelasnya, pengiklanan dapat membantu pihak pengeluar untuk melariskan hasil keluaran mereka kepada orang ramai. Secara tidak langsung, penggunaan pengiklanan di media masa tersebut turut dapat mengurangkan kos mempromosikan barang-barang keluaran seseorang. Hal ini bermula sejak dahulu lagi iaitu apabila media masa mula berkembang pesat dan kepentingannya diakui oleh masyarakat di seluruh dunia.

Antara media masa yang menjadi tumpuan pengeluar untuk mempromosikan barangan keluaran mereka ialah televisyen dan akhbar tempatan. Hal ini disebabkan media tersebut mendapat liputan yang lebih meluas berbanding dengan media masa yang lain. Seperkara yang menarik, pengiklanan yang dibuat di media ini membolehkan sesuatu barangan dikenali oleh orang ramai di seluruh negara. Pada masa yang sama keadah pengiklanan ini membolehkan para pengguna membuat penelitian awal sebelum sesuatu pembelian dibuat. Dengan itu, pengiklanan dapat membantu orang ramai agar mereka dapat membeli sesuatu keluaran yang paling baik ataupun paling sesuai dengan kehendak serta keperluan mereka.

Tidak menghairankan jika kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa hampir 80 peratus pengeluar barangan di negara kita menggunakan kaedah pengiklanan di media masa untuk melariskan jualan mereka. Hal ini berkait rapat dengan keperluan pengguna bahawa mereka boleh membuat perbandingan dan meneliti kandungan sesuatu barangan dengan baik. Melalui kajian yang dijalankan, pembelian melalui iklan di media masa juga memberi kepuasan yang lebih tinggi kepada pembeli, berbanding dengan pengguna yang membeli tanpa merujuk pada iklan terlebih dahulu. Sementara itu, bagi pihak media pula mereka dapat meningkatkan pendapatan berasaskan iklan yang disiarkan oleh media mereka. Hal ini akan dapat membolehkan hasil pendapatan syarikat media berterusan dan operasi syarikat media berjalan lancar.

Selain itu, memandangkan keperluan syarikat media seperti televisyen untuk mengadakan siaran langsung semakin meningkat, penyertaan syarikat pengeluar dalam urusan pengiklanan adalah amat diperlukan. Dengan adanya pendapatan yang diperoleh daripada pengiklan, sesuatu siaran langsung akan dapat dilaksanakan. Sebagai contohnya, siaran langsung berkaitan dengan sukan pada peringkat tempatan atau pada peringkat antarabangsa, kerap mendapat bantuan kewangan melalui pengiklanan oleh syarikat besar seperti Milo, Adidas dan sebagainya. Pada masa yang sama, syarikat pengiklanan tumbuh seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Secara tidak langsuang, hal ini akan menyediakan peluang pekerjaan kepada orang ramai khusus sebagai pelakon dan penyampai iklan.
___________________________________________________
Soalan Rumusan 7:
Baca petikan di bawah dan buat rumusan tentang punca-punca peningkatan jenayah di kalangan remaja serta langkah-langkah untuk mengatasinya. Panjang rumusan hendaklah tidak lebih 120 patah perkataan.

____________________________________________________
Berita kematian seorang pelajar terbunuh akibat dibuli oleh sekumpulan pelajar lain di sebuah sekolah berasrama baru-baru ini amat menyayat hati. Walaupun begitu, kita dapat membuat kesimpulan awal bahawa kadar jenayah dalam kalangan remaja di negara kita semakin meningkat. Hal ini amat membimbangkan dan merupakan satu petanda bahawa sesuatu tindakan tegas perlu dilaksanakan bagi mengekang perkara tersebut daripada terus berleluasa. Dalam hal ini, peranan semua pihak sama ada ibu bapa, pihak sekolah, masyarakat dan kerajaan perlu digembeling bersama.

Kajian yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran pada tahun 2006 menunjukkan bahawa kebanyakan pelajar atau remaja yang terlibat dengan gejala yang tidak sihat itu dipengaruhi oleh rakan sebaya yang negatif ataupun ”orang luar”. Hal ini disebabkan remaja tidak dapat memilih sesuatu perbuatan itu sama ada betul atau salah. Dalam beberapa hal yang lain, masyarakat lebih mudah memperkatakan bahawa kesilapan ini adalah disebabkan oleh kurangnya peranan ibu bapa dan pihak sekolah untuk memberi didikan agama serta moral kepada golongan remaja. Sama ada benar atau tidak, hal ini memang saling berkait rapat.

Selain itu, pembabitan remaja dalam kejadian itu turut dikaitkan dengan sikap ibu bapa. Ramai ibu bapa yang terlalu mengutamakan kerjaya serta wang ringgit tanpa mengambil kira kepentingan keluarga. Keperluan harta benda yang semakin meningkat menyebabkan ibu bapa melupai tugas mereka sebagai penjaga kepada anak-anak mereka. Anak-anak yang kesunyian dan kebosanan akan mudah terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat apatah lagi jika mereka tidak memiliki didikan agama yang sempurna. Ibu bapa juga kurang memberi perhatian kepada perbuatan anak-anak yang kerap melayari internet atau media masa yang lain. Masalah yang timbul ialah ada media tersebut mempengaruhi remaja dengan unsur-unsur negatif yang terdapat di dalamnya.

Menurut pegawai khas UNESCO pula, kemungkinan besar jenayah dalam kalangan remaja di Asia adalah berkait rapat dengan kadar kemiskinan yang tinggi dalam kalangan keluarga remaja. Kemiskinan menyebabkan remaja terbeban dan kerap mengakibatkan mereka terjebak dalam situasi yang tidak sihat. Beliau turut menambah bahawa situasi ini akan bertambah buruk sekiranya keadaan keluarga remaja tersebut tidak aman. Keadaan keluarga yang berpecah-belah seperti pertengkaran ibu bapa atau perceraian mampu meningkatkan kadar jenayah kepada golongan ini. Walaupun begitu, apa-apa jua pendapat yang diberi oleh semua pihak, kesannya tetap membimbangkan kita. Proses pengajaran dan pembelajaran di sesebuah institusi pendidikan bakal terjejas malah perkara yang lebih membimbangkan kita ialah negara bakal kehilangan tenaga muda serta pemimpin masa depan yang berkualiti. Justeru, hal ini tidak boleh dipandang ringan atau dipandang dengan sebelah mata.
___________________________________________________
Soalan Rumusan 8:
Rumuskan kaedah mengukuhkan bahasa kebangsaan sesebuah negara dan masalah yang dihadapi. Panjang rumusan hendaklah tidak lebih 120 patah perkataan.

__________________________________________________
Setiap Negara mempunyai bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan mereka.Mereka meletakkan bahasa mereka pada kedudukan atau taraf yang tinggi. Mereka berasa amat bangga apabila mereka berjaya menggantikan bahasa penjajah dengan bahasa mereka. Kedudukan taraf sesuatu bahasa itu ditentukan oleh masyarakat dan juga kerajaan. Terdapat pelbagai cara negara di dunia ini menentukan kedudukan bahasa mereka. Bagi Malaysia, Bahasa Melayu mendapat kedudukan yang tinggi hasil daripada perjuangan rakyat. Apabila mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi pentadbiran negara. Dalam perlembagaan juga dinyatakan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara. Bagi masyarakat Melayu, mereka tentulah berasa bangga kerana bahasa Melayu telah dijadikan salah satu bahasa utama negara.

Selain itu kedudukan bahasa di sesebuah negara diperkukuh melalui akta-akta yang digubal oleh kerajaan. Malaysia menggunakan Akta Pendidikan 1961, Akta Bahasa, Akta Parlimen dan sebagainya untuk menetapkan kedudukan dan fungsi bahasa Melayu di pelbagai peringkat. Di negara-negara Arab pula, mereka tidak menghadapi masalah untuk menetapkan kedudukan bahasa mereka kerana sebahagian besar penduduk di benua itu berbahasa Arab. Selain itu bahasa Arab juga berkaitan dengan bahasa keagamaan. Bagi orang Yahudi pula, bahasa Hebrew merupakan bahasa yang mulia dan masyarakat Yahudi menjadikan bahasa tersebut sebagai bahasa rasmi mereka.

Di Rusia pula, kerajaan sering menukar-nukar kedudukan bahasa mereka. Oleh itu mereka sering menggunakan bahasa rasmi dan kebangsaan yang berbeza. Mereka melakukan perkara tersebut bagi mengelakkan pengaruh dari luar, terutama pengaruh negara-negara yang berhampiran dengan Asia Barat. Oleh sebab mereka mempunyai bahasa yang pelbagai, mereka sering menggunakan bahasa rasmi yang berbeza dengan sistem tulisannya yang berlainan. Sebagai contohnya, bagi tujuan penyatuan rakyat mereka pernah menggunakan bahasa Kazakstan dan Cyrylic.

Penentuan kedudukan Bahasa Melayu juga pernah dilakukan melalui Mahkamah, dan usaha ini telah berjaya. Sebagai contohnya usaha menubuhkan Universiti Merdeka yang suatu masa dahulu dibahaskan, berjaya dihalangkan oleh Mahkamah Agung. Mahkamah ini telah memutuskan bahawa penggunaan bahasa lain selain Bahasa Melayu di universiti adalah dilarang. Kes seperti ini juga berlaku di Kanada. Kes ini berlaku apabila persengketaan antara pejuang Bahasa Perancis dengan pejuang Bahasa Inggeris semakin memuncak. Apabila kes ini dibawa ke mahkamah, Mahkamah Agung Kanada membuat keputusan bahawa bahasa rasmi Kanada ada dua iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Perancis.

Di negara Filipina pula, penentuan kedudukan bahasa mereka dibuat melalui Dekri. Sebagai contohnya, mantan Presiden Filipina iaitu Ferdinand Marcos telah mengeluarkan Dekri Presiden yang menetapkan bahasa Sepanyol sebagai salah satu bahasa rasmi di Utara Filipina. Penentuan kedudukan bahasa di sesetengah negara bukanlah merupakan suatu perkara yang mudah. Masing-masing pihak menginginkan bahasa kumpulan mereka diangkat menjadi bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi. Jelaslah bahawa pelbagai masalah telah timbul apabila pihak kerajaan sesebuah negara ingin menentukan taraf atau kedudukan sesuatu bahasa tersebut.
___________________________________________________
Soalan Rumusan 9:
Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah untuk meningkatkan penggunaan teknologi maklumat di kalangan kakitangan kerajaan dan kesannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patath perkataan.

___________________________________________________
Kini terdapat pendedahan oleh beberapa pihak bahawa ada kakitangna kerajaan yang enggan menggunakan kemudahan teknologi maklumat di jabatan masing-masin. Perkara seumpama ini tidak harus dibiarkan berterusan dan kakitangan kerajaan yang terlibat harus memandang serius pendedahan tersebut.

Menyedari hakikat ini, kerajaan bertindak mengadakan pelbagai kempen kesedaran di kalangan kakitangan. Kesannya, sebahagian kakitangan kerajaan mulai sedar akan kepentingan teknologi maklumat dan telah berjinak-jinak menggunakan komputer. Mereka mula mengubah sikap dan menganggap penggunaan teknologi maklumat bukan lagi membebankan sebaliknya membantu mereka menghadapi cabaran dan perubahan. Sementara itu, ketua-ketua jabatan pula mula mengenal pasti kakitangan di jabatan masing-masing yang belum menguasai kemahiran komputer ini dan merangka program untuk mendekatkan mereka dengan alat-alat ini melalui pelbagai kursus.

Kita faham bahawa terdapat sebahagian kakitangan kerajaan yang tidak begitu positif pandangannya terhadap teknologi maklumat ini. Mereka lebih selesa memnggunakan alat-alat dan cara lama. Menyedari hal ini, kerajaan bertindak menggantikan peralatan lama dengan peralatan canggih dan mereka terpaksa belajar menguasainya supaya dapat melaksanakan kerja dengan mudah seperti orang lain. Di samping itu, kerajaan menggalakkan penggunaan e-mail dalam urusan pentadbiran. Urusan pendaftaran, pembayaran dan sebagainya yang dilakukan secara e-mail dapat menjimatkan masa dan kos. Tindakan ini mendorong kakitangan kerajaan memahirkan diri dengan internet.

Perkara ini perlulah dipandang serius kerana keperluan teknologi maklumat dalam pentadbiran sudah banyak dan lama dihebahkan oleh kerajaan. Sesiapa yang tidak menyertainya sudah pasti akan ketinggalan. Keadaan ini akan menjejaskan keupayaan daya saing negara dan menggagalkan usaha untuk mewujudkan kerajaan elektronik. Dengan itu, tidak patut mana-mana kakitangan kerajaan ketinggalan dalam perkembangan teknologi maklumat. Bagi mengatasinya, kerajaan telah mula mengambil kakitangan baru yang mempunyai kemahiran komputer.

Kerajaan sudah melakukan pelbagai usaha besar untuk menyemai budaya teknologi maklumat. Pada peringkat negara, usaha ini merangkumi penubuhan Koridor raya Multi Media d an menggalakkan pemilikan komputer peribadi melalui kelonggaran mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tujuan tersebut. Negara sedar bahawa masa depan dunia terletak pada pengnurusan maklumat, lebih-lebih lagi gagasan k-ekonomi menghendaki peningkatan keupayaan teknologi maklumat di kalangan masyarakat dan rakyat di negara ini. Selain itu, Unit Pemodenan Pentadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU) telah merangka program yang sesuai supaya kakitangan kerajaan menguasai teknologi maklumat. Sesungguhnya kemakmuran masa depan negara terletak pada keupayaan rakyatnya termasuk kakitangan kerajaan menguasai teknologi maklumat.

(Diubahsuaikan daripada Kakitangan Kerajaan Mesti Serius dengan IT, dalam Rencana Pengarang, Utusan Malaysia, 11 Disember 2000)
_________________________________________________
Soalan Rumusan 10:
Baca petikan dan rumuskan kesan-kesan penggunaan kad kredit dan langkah mengatasinya. Panjang tidak lebih 120 perkataan.

_________________________________________________
Penggunaan kad kredit dalam kalangan masyarakat hari ini kian meningkat. Kad kredit kini dianggap sebagai barang keperluan harian sama seperti telefon bimbit.
Kelonggaran syarat yang diberikan oleh kerajaan dan institusi perbankan membolehkan pengguna memiliki kad kredit dengan lebih mudah.

Kajian melaporkan bahawa lebih 3.5 juta kad kredit telah diedarkan di seluruh negara. Penggunaan kad kredit mewujudkan masyarakat tanpa tunai yang dari segi keselamatannya lebih terjamin kerana pengguna tidak perlu membawa sejumlah wang yang banyak dan berisiko dirompak, kecurian, ragut atau tercicir ketika mahu berbelanja. Pengguna juga boleh berbelanja tanpa mengeluarkan wang saku. Mereka juga boleh membeli sekaligus barang yang berharga tinggi kerana kaedah ini lebih mendapat kepercayaan daripada penjual. Bagaimanapun, pengguna masih tertakluk kepada kad kredit yang diberikan ketika memohon.

Pengguna hanya perlu menurunkan tandatangan di atas slip barangan atau perkhidmatan yang dibeli dan bayaran akan dilakukan oleh pihak bank atau syarikat kewangan sebagai pemegang akaunnya. Bayaran tidak semestinya dilangsaikan sepenuhnya seperti jumlah yang digunakan tetapi boleh dibayar secara ansuran. Pengguna terdorong berbelanja untuk mencukupkan mata ganjaran bagi mendapatkan barangan atau hadiah. Walau bagaimanapun, senario hutang tertunggak tidak boleh lari daripada penggunaan kad kredit dan jika sekali tertunggak akan mempengaruhi bayaran bulanan yang berikutnya kerana faedah akan bertambah.

Statistik menunjukkan jumlah belian menggunakan kad kredit dilaporkan meningkat daripada RM 1710 juta kepada RM 2.8 billion dari tahun 1998 ke tahun 2000. Keadaan ini menunjukkan langkah kerajaan untuk melonjakkan semula pertumbuhan ekonomi telah berjaya menerusi aktiviti budaya berbelanja rakyat Malaysia. Pelbagai faedah dan pakej tertentu diperkenalkan untuk menarik pengguna memiliki kad kredit. Penggunaan ”wang plastik” tanpa tunai ini mendorong seseorang berbelanja tanpa kawalan. Keadaan ini mendedahkan pemilik kepada beban hutang yang melampau malah kegagalan membayar balik boleh menyebabkan kedudukan dana institusio yang menguruskan pinjaman kad kredit turut terjejas.

Kad kredit bukanlah aset untuk menunjuk-nunjuk dan perlu digunakan hanya semasa kecemasan sahaja agar perbelanjaan dapat dikawal. Rakyat perlu berfikir dengan matang ketika menggunakan kad kredit demi masa depan mereka.
__________________________________________________
Soalan Rumusan 11:
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca mata pelajaran Pendidikan Jasmani diabaikan dan kepentingan mata pelajaran ini kepada pelajar. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

__________________________________________________
Mengapakah negara kita menunjukkan pencapaian sukan yang merosot dari semasa ke semasa? Kita dapat memberi jawapan yang paling mudah, iaitu remaja di negara kita malas untuk melibatkan diri dalam kegiatan sukan. Kenapakah hal ini terjadi? Salah satu punca yang dikenal pasti ialah mata pelajaran Pendidikan Jasmani kurang diberi perhatian di sekolah. Jika perkara ini dibiarkan, kita tidak akan dapat melahirkan ahli sukan yang mampu mengharumkan nama negara pada suatu hari nanti. Banyak pihak yang melahirkan rasa hairan tentang punca sebilangan besar masyarakat kita kurang berminat untuk bersukan tetapi cukup gemar menjadi penonton atau peminat fanatik bagi sesuatu jenis sukan.

Akar umbi masalah ini mungkin berpunca daripada kurangnya minat murid terhadap mata pelajaran Pendidikan Jasmani. Minat yang merudum di peringkat sekolah ini kemudian dibawa dalam kehidupan sosial. Sebenarnya mata pelajaran ini adalah wajib dalam sistem pendidikan kita. Mata pelajaran ini diajarkan dua kali seminggu di sekolah menengah dan tiga kali seminggu di sekolah rendah. Masalah mata pelajaran Pendidikan Jasmani yang sering dianggap sebagai mata pelajaran sampingan bukanlah perkara atau isu baharu. Hal ini demikian kerana terdapat guru yang mengambil waktu Pendidikan Jasmani untuk mengajarkan mata pelajaran yang berkaitan dengan peperiksaan umum.

Guru menganggap bahawa mata pelajaran peperiksaan lebih penting daripada mata pelajaran Pendidikan Jasmani. Oleh itu, mereka menggunakan waktu mata pelajaran tersebut untuk menyediakan murid bagi menghadapi peperiksaan. Murid pula beranggapan bahawa mereka dapat memberi pelbagai alasan untuk mengelakkan diri daripada bersenam atau bersukan. Walaupun mereka sedar bahawa mata pelajaran ini penting bagi meningkatkan tahap kesihatan dari segi fizikal dan mental, namun sikap malas dan menganggap bahawa mata pelajaran Pendidikan Jasmani tidak penting mempengaruhi minda mereka. Tanpa kesihatan fizikal, seseorang itu akan mengalami masalah dari segi mental. Pihak pentadbiran sekolah pula sering meletakkan guru yang mengajarkan mata pelajaran Pendidikan Jasmani sebagai pencukup jumlah waktu mengajar guru. Hal ini berpunca daripada masalah kekurangan guru yang opsyen bagi mata pelajaran tersebut. Guru yang terlibat dalam mata pelajaran ini pula memandang rendah terhadap mata pelajaran ini kerana mata pelajaran ini tidak mempunyai nilai dari segi peperiksaan umum.

Sistem persekolahan yang terlalu mementingkan pencapaian akademik juga turut menjadi penyumbang terhadap punca-punca mata pelajaran ini dianaktirikan. Para ibu bapa pula menganggap bahawa mata pelajaran ini banyak membuang masa kerana murid telah diwajibkan menyertai kegiatan kokurikulum yang lain pada luar waktu pembelajaran.

Jadi, cadangan Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein bahawa pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah akan diwajibkan menduduki peperiksaan bagi mata pelajaran Pendidikan Jasmani adalah satu langkah bagi membetulkan tanggapan ibu bapa, guru dan pelajar bahawa sebenarnya semua mata pelajaran adalah penting. Di samping itu, cadangan yang dikemukakan itu dapat dilihat sebagai usaha untuk menyedarkan pelajar tentang kepentingan pembangunan sukan dan sahsiah diri. Selain itu, usaha ini jika dilakukan dengan serius, dapat mengurangkan bilangan pelajar gemuk di sekolah. Tegasnya, mata pelajaran Pendidikan Jasmani memainkan peranan yang penting sebagai landasan untuk mencungkil bakat atlet dari peringkat sekolah sebelum meneruskan kerjaya mereka dalam bidang sukan. Kita berasa optimis bahawa negara mampu melahirkan atlet yang berwibawa dan berjaya jika asasnya bermula dengan baik di sekolah.
_________________________________________________
Soalan Rumusan 12:
Baca rencana di bawah dan buat satu rumusan tentang kepentingan hutan semulajadi di negara kita serta langkah-langkah untuk mengatasi kepupusan hutan. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

__________________________________________________
Hutan semulajadi di negara adalah merupakan salah satu daripada hutan yang tertua di dunia. Usianya yang melebihi 2 juta tahun menjadi eset yang amat berharga kepada negara. Pelbagai jenis tumbuhan dari jenis kayu keras terdapat di kawasan hutan ini seperti pokok cengal, meranti, balau dan sebagainya. Secara tidak langsung keadaan ini menggambarkan bahawa hutan amat perlu untuk diawasi agar tidak pupus memandangkan hutan dapat menjadi daya tarikan kepada para pelancong untuk melancong ke negara kita.

Dalam masa yang sama, tumbuhan semulajadi di negara kita turut menjadi tempat pembiakan haiwan liar supaya tidak pupus. Haiwan utama yang terdapat di sini termasuklah gajah, kuda, harimau dan beberapa spesies lain yang tidak terdapat di negara lain. Menurut beberapa orang pengkaji, keunikan haiwan ini mampu terus dikekalkan jika amalan penjagaan hutan terus dijalankan. Dalam pada itu, penjagaan hutan juga mampu menyediakan kawasan tadahan hujan yang luas serta sumber air bersih untuk kegunaan penduduk. Sumber air daripada hutan ini masih bersih kerana kebanyakan hutan di Malaysia masih belum tercemar.
Menurut seorang pengkaji biotumbuhan iaitu Professor K.L Jessey dari Universiti John Hopkin Amerika Syarikat, tumbuhan semulajadi mampu menyederhanakan suhu di sesebuah kawasan sehingga 5 darjah selsius. Funfsi hutan ini bukanlah kecil memandangkan era pemanasan global semakin kelihatan pada masa sekarang. Dalam masa yang sama, selain berfungsi menyederhanakan suhu, hutan juga dapat mengawal kadar pencemaran yang terlalu tinggi dengan menyerap gas-gas karbon monoksida serta membebaskan gas oksigen ke dalam udara. Dengan cara ini, kandungan udara menjadi lebih stabil dan bersih serta sesuai untuk kehidupan manusia.

Di beberapa buah kawasan hutan di Malaysia, terdapat juga beberapa kelompok masyarakat yang tinggal di situ. Mereka menjadikan kawasan hutan sebagai tempat tinggal mereka khususnya kaum asli di kawasan pedalaman. Apa yang menarik, kebanyakan mereka masih mengamalkan ciri-ciri budaya tradisi yang diwarisi sejak berkurun-kurun lamanya. Budaya masyarakat ini perlu dikekalkan dan dikaji sebagai satu cara untuk mengekalkannya kepada generasi yang akan datang.

Namun begitu, dalam kesibukan dan kegairahan kita mengejar kemajuan hidup, kadang kala hutan turut menerima musibah yang nyata. Banyak kawasan hutan di negara kita telah ditebang untuk pelbagai tujuan. Antaranya adalah bagi tujuan pertanian, pembinaan kawasan petempatan, perindustrian dan sebagainya. Justeru, jika hutan tidak dijaga dan dikawalselia, tidak hairanlah jika satu hari nanti keluasan hutan di Malaysia akan semakin berkurangan dan akhirnya pupus.
__________________________________________________
Soalan Rumusan 13:
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang punca remaja bersikap liar dan langkah menanganinya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 perkataan.
________________________________________________
Alam remaja penuh dengan pancaroba. Pelbagai perkara yang baik dan buruk sering melingkungi hidup mereka. Di negara kita kini, masalah remaja liar mungkin belum dianggap begitu serius, namun kebanyakan kes remaja liar atau kes jenayah dalam kalangan remaja biasanya dikaitkan dengan penagihan dadah.

Kes kecurian sepatu di masjid atau di rumah-rumah pangsa sudah dianggap kejadian biasa dan bukan sebagai satu keanehan lagi. Sudah diketahui umum bahawa kebanyakan jenayah kecil seperti ini adalah perbuatan penagih dadah yang gian dan tiada wang untuk membeli dadah. Justeru, golongan ini sanggup mencuri dan barang curi tersebut dijual di pasar malam.

Ternyata dadah antara punca gejala sosial yang melibatkan para remaja. Oleh itu, jika masalah dadah dapat diatasi, secara tidak langsung kebanyakan masalah remaja liar mungkin turut dapat diatasi.

Masalah remaja nakal biasanya berpunca daripada ketiadaan didikan moral atau agama. Kepincangan ini kian ketara akhir-akhir ini kerana hubungan ibu bapa kian renggang dengan anak-anak mereka. Ibu bapa sibuk dengan urusan masing-masing sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap tanggungan mereka.

Para ibu yang dulu berperanan sebagai suri rumah dan pengasuh anak sepenuh masa kini, lebih ramai yang keluar meninggalkan rumah untuk bekerja. Oleh itu, anak-anak yang sudah remaja biasanya berasa kesunyian di rumah. Menjelang petang mereka mencari kawan untuk bersembang atau bermain bola atau sebagainya. Pengaruh kawan mudah menyeret mereka ke lubuk dadah, menjadi kutu rayau atau terlibat dengan vandalisme.

Tanpa disiplin di rumah dan tanpa didikan agama atau akhlak, golongan remaja hari ini lebih terdedah pada dorongan nafsu sendiri hingga menjadi perogol atau penjenayah. Ternyata disiplin berkala dalam program sekolah sahaja belum berjaya meninggalkan kesan yang mendalam, kecuali disiplin sepenuh masa yang biasanya diadakan di sekolah agama.

Paling membimbangkan akhir-akhir ini golongan remaja muslim semakin terdedah kepada pengaruh luaran yang berbau politik atau bersifat anti akhlak, anti disiplin dan anti undang-undang. Media massa juga dikatakan menjadi punca remaja bersikap liar kerana mereka terpengaruh dengan adegan negatif yang dipaparkan. Ibu bapa pula tidak mampu untuk menyekat anak-anak mereka daripada menonton apa-apa rancangan yang disiarkan di kaca televisyen.
________________________________________________