Malaysia merupakan sebuah negara sedang membangun yang sebaris dengan negara-negara lain termasuk Indonesia, India, Maxico dan sebagainya. Dasar utama Malaysia adalah berpaksikan ekonomi pertanian dan disokong pula oleh sektor perindustrian. Dalam kalangan negara dunia ketiga ini, Malaysia kelihatan mendahului rakan-rakan seangkatan dalam bidang ekonomi serantau. Meskipun begitu, terlalu banyak ranjau dan duri yang terpaksa ditempuh oleh negara kerdil ini bagi bersaing dalam dunia globalisasi.
Selain itu, oleh sebab Malaysia merupakan pengeluar baru dalam industri pembuatan, pasaran bagi hasil keluaran industri Malaysia oleh negara-negara lain di dunia secara umumnya masih terhad dan terlalu kecil. Keadaan ini telah menyebabkan peningkatan dari segi kos pengeluaran yang agak tinggi berbanding dengan negara industri yang telah lama bertapak seperti Jepun dan Amerika Syarikat. Bagi negara maju tersebut, pasaran mereka terbuka luas disebabkan sikap dan nilai masyarakat dunia yang telah sedia mengenali mutu atau kualiti barangan yang dikeluarkan oleh negara-negara ini.
Dalam keadaan kegawatan ekonomi yang masih berterusan dan tidak diketahui penghujungnya ini, ekonomi negara semakin membimbangkan apabila beberapa negara besar menghentikan pembelian barang-barang keluaran Malaysia akibat mengalami masalah kewangan global. Hal ini bukan sahaja merencatkan sumber pendapatan kasar negara malah pada masa yang sama turut mengancam kedudukan pengeluar industri di Malaysia. Jumlah pelabur luar Negara yang semakin berkurangan turut mengecilkan aliran modal tunai dalam pasaran ekonomi Malaysia. Hal inilah yang perlu diambil perhatian oleh pentadbiran negara yang baru demi menyelamatkan ekonomi Malaysia agar terus menuju ke arah sebuah negara maju.
___________________________
Click Jawapan pada gambar di bawah:
_______________________________________________
Baca petikan di bawah. Buat satu rumusan tentang keburukan-keburukan merokok dan kekangan mengatasi masalah merokok dalam kalangan pelajar. panjang rumusan hendaklah tidak lebih daripada 120 patah perkataan.
Ramai sedia maklum bahawa menghisap rokok menjadi punca pada pelbagai penyakit yang digolongkan dalam kategori penyakit berbahaya. Antaranya, penghisap rokok terdedah pada penyakit kanser paru-paru dan penyakit jantung. Kedua-dua penyakit berbahaya ini telah diisytiharkan sebagai pembunuh nombor satu negara. Perokok bukan sahaja membahayakan diri mereka sendiri malah pada masa yang sama turut membahayakan kesihatan keluarga mereka dan orang lain di sekeliling mereka. Asap rokok yang dikeluarkan setelah dihisap adalah lebih berbahaya kepada orang lain dan kesannya adalah sama dengan siperokok.
Bau busuk yang dikeluarkan oleh penghisap rokok juga boleh mengganggu keselesaan orang lain sehingga dapat menjejaskan pergaulan siperokok dengan orang lain. Hal ini sudah pasti akan menimbulkan suasana yang kurang selesa malah menjejaskan komunikasi seseorang. Bayangkanlah jika anda terpaksa berhadapan dengan siperokok dalam suasana tempat menjamu selera tertutup dan berhawa dingin! Oleh itu, kerajaan telah menguatkuasakan undang-undang bagi melarang orang ramai menghisap rokok ditempat-tempat awam dan di premis-premis kerajaan.
Bagi siperokok, masalah yang timbul ialah mereka akan menghadapi gejala ketagihan yang bukan mudah untuk diatasi. Hanya dengan usaha dan azam yang kuat sahaja perlakuan ini mampu dibanteras tetapi menurut kajian yang dijalankan oleh FOMCA hanya 12 peratus sahaja daripada jumlah yang ingin berhenti merokok mampu berbuat demikian. Sementara itu, pihak Bomba dan Penyelamat Malaysia menganggarkan jumlah kebakaran yang disebabkan oleh api rokok di negara kita mencecah hampir 23 peratus daripada punca kebakaran yang berjaya diselesaikan. Hal ini berpunca daripada sikap perokok yang suka membuang puntung rokok di merata-rata tempat.
Natijahnya, merokok bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan. Bukan juga simbol yang menunjukkan kedewasaan tetapi sikap negatif yang menggambarkan ketidakwarasan seseorang individu. Justeru, katakan tak nak untuk sebatang rokok!
Click jawapan pada gambar di bawah:
Soalan Rumusan 3:
Baca petikan di bawah dan tulis rumusan tentang faedah-faedah membeli barang-barang buatan tempatan dan cabaran yang dihadapi oleh barang-barang tempatan. Panjang rumusan anda hendaklah tidak lebih 120 patah perkataan.
_____________________________________________
Membeli barangan tempatan dan menggunakannya bukanlah sesuatu yang harus dipandang aneh. Hal ini disebabkan mutu atau kualiti barangan tempatan adalah setanding dengan hasil keluaran yang dijual oleh negara-negara lain. Malah keluaran tempatan mampu diakui kualitinya kerana pembikinannya adalah berkonsepkan kemalaysiaan. Pada masa yang sama, pembelian barangan tempatan dapat mengurangkan pembelian barang-barang yang setara dari luar Negara. Sebagai contohnya, dengan membeli kereta nasional, negara kita dapat mengurangkan pembelian kereta import dari Jepun dan Amerika syarikat. Dengan cara itu, negara telah berjaya mengurangkan aliran wang negara kita daripada keluar ke negara lain. Hal ini sudah pasti mampu menambah nilai tambah hasil industri di Malaysia.
Pembelian barangan tempatan oleh rakyat sendiri juga mampu menggalakkan pertumbuhan kilang-kilang dalam sektor perindustrian negara. Hal ini dapat menjamin kemajuan industri secara berterusan. Dalam keadaan seperti ini, kilang-kilang yang dibuka akan dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan sekali gus mampu mengurangkan kadar pengangguran di negara kita. Memandangkan jumlah penduduk Malaysia telah mencecah 27 juta orang pada tahun 2008, perkembangan industri adalah amat penting bagi menyediakan peluang pekerjaan terutamanya kepada golongan lepasan sekolah dan lepasan pusat pengajian tinggi.
Usaha yang dimulakan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir untuk mempromosikan barangan buatan tempatan perlu diteruskan bagi memantapkan kepercayaan rakyat agar barangan tempatan terus diguna pakai. Pembelian dan penggunaan barangan tempatan sepatutnya menjadi kebanggaan rakyat. Mereka juga akan lebih beruntung kerana dapat membeli barangan tempatan dengan harga yang lebih rendah berbanding dengan harga barangan import, sedangkan mutu serta kualitinya adalah sama. Justeru, bagi rakyat yang cinta akan negara, saranan kerajaan agar menggunakan barangan tempatan perlulah disambut baik.
__________________________
Click jawapan pada gambar di bawah:
__________________________________________________
Soalan Rumusan 4:
Baca petikan yang diberi di bawah dan tulis satu rumusan tentang ciri-ciri masyarakat majmuk di Malaysia dan langkah menggalakkan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk tersebut. Panjang rumusan hendaklah tidak lebih 120 patah perkataan.
___________________________________________
Malaysia sebuah negara yang unik berbanding dengan negara-negara lain di seluruh dunia. Bukan sahaja muka buminya dipenuhi dengan keindahan semula jadi yang menggamit kehadiran pelancong, malah masyarakatnya juga dilihat amat menarik. Ramai pengkaji antropologi dan sosiologi berpendapat bahawa kajian masyarakat Malaysia akan menemukan keseronokan jika kajian tersebut dijalankan dengan baik. Masyarakat Malaysia adalah masyarakat majmuk kerana terdiri daripada berbilang-bilang kaum iaitu Melayu, Cina dan India. Selebihnya ialah masyarakat daripada keturunan campuran akibat asimilasi masyarakat tempatan dengan pendatang awal di Tanah Melayu.
Selain itu, keunikan masyarakat majmuk di negara ini dapat dilihat melalui penggunaan satu bahasa iaitu bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi. Bahasa inilah yang berfungsi sebagai bahasa komunikasi di antara masyarakat tersebut. Penggunaan bahasa ini membolehkan masyarakat majmuk di Malaysia hidup dalam suasana harmoni dan aman damai. Sikap mementingkan diri seolah-olah tidak wujud dengan amalan semangat dan sikap toleransi serta saling hormat-menghormati di antara pelbagai kaum. Keadaan seperti ini hampir tidak wujud di negara lain termasuk di negara maju seperti Amerika Syarikat mahupun di negara-negara Eropah serta Afrika Selatan.
Masyarakat majmuk di Malaysia juga bercirikan semangat perpaduan yang jitu sehingga wujud kerjasama yang erat sesama mereka. Kerjasama ini dapat dilihat baik dalam apa-apa juga bidang termasuk dalam bidang ekonomi dan sosial. Masyarakat yang berbilang kaum itu juga mengamalkan budaya ibunda yang berbeza seperti perayaan, makanan dan pakaian. Namun begitu setiap kaum menghormati budaya kaum lain tanpa rasa janggal mahupun berasa kelainannya. Kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia secara umumnya dipandu oleh kebebasan untuk mengamalkan budaya asal kaum tertentu tanpa sebarang halangan. Namun begitu, agama Islam diterima sebagai agama rasmi negara dengan agama yang lain bebas untuk diamalkan oleh setiap penganut.
Dari sudut kepercayaan, setiap masyarakat dibenarkan hidup dalam budaya asal mereka mengikut kaum masing-masing. Namun pada waktu yang sama, setiap kaum turut menghormati kepercayaan dan agama yang dianuti oleh kaum lain. Keunikan inilah yang menjadikan daya tarikan masyarakan dari negara lain untuk belajar sesuatu yang menarik tentang Malaysia.
__________________________
Click jawapan pada gambar di bawah:
___________________________________________
RUMUSAN 5:
Baca petikan di bawah kemudian buat satu rumusan tentang gejala-gejala sosial dalam kalangan remaja dan langkah untuk mengatasinya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak lebih daripada 120 patah perkataan.
________________________________________________
Pada abad ke-21, masalah yang kian meruncing dan sukar dibendung kewujudannya ialah masalah sosial dalam kalangan remaja. Hal ini kerap disuarakan oleh orang ramai malah turut disiarkan berulang kali di media-media masa tempatan. keadaan ini amat membimbangkan kita kerana golongan remaja merupakan pemimpin pelapis yang bakal mentadbir dan memimpin negara pada masa depan. Dalam laporan terbaru yang disiarkan di televisyen, gejala sosial paling membimbangkan dalam kalangan mereka ialah pertambahan jumlah remaja yang terjebak dalam najis dadah. Hal ini perlu ditekankan kerana Malaysia memandang bahawa dadah adalah musuh nombor satu negara pada masa ini.
Penglibatan remaja dalam kancah penyalahgunaan dadah ini kerap kali menimbulkan masalah berterusan. Kini, timbul pula golongan Mat Rempit dalam kalangan remaja yang tidak segan silu menunjukkan kehebatan bermotosikal tanpa mengikut undang-undang yang ditetapkan. persoalannya ialah mereka bukan sahaja membahayakan nyawa mereka sendiri tetapi turut membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Semasa isu mat Rempit ini sedang heboh diperkatakan, lahir pula gejala yang tidak sehat dalam kalangan remaja apabila sebahagian besar daripada mereka terlibat dengan jenayah ragut sehingga menyebabkan kematian. Hal ini bukan sahaja memeranjatkan kita tetapi kita dapat merasakan bahawa keruntuhan nilai moral serta nilai-nilai kemanusiaan yang dianggap murni semakin menipis dalam jiwa remaja kita.
Selain itu, mengikut laporan yang diberi oleh pihak polis, pada masa ini semakin ramai remaja khususnya remaja perempuan yang terlibat dengan masalah lari dari rumah ekoran berlaku masalah dalaman di antara keluarga mereka. Golongan ini mudah terdedah dengan gejala yang tidak sihat termasuklah melibatkan diri dalam sek bebas ataupun melacurkan diri demi mendapatkan kepuasan diri mahupun untuk mendapatkan wang bagi menyara kehidupan mereka setelah terpisah daripada keluarga. Kesannya bukan sahaja dirasai dalam jangka masa pendek tetapi lebih parah dalam jangka masa panjang.
Sementara itu, beberapa buah akhbar tempatan turut melaporkan bahawa ramai remaja terutamanya remaja di bawah umur gemar menghabiskan masa melepak di pusat-pusat membeli belah mahupun di kafe siber. Golongan remaja seperti ini akan lebih mudah melakukan kesalahan disiplin sekolah kerana terlibat dengan gejala ponteng sekolah dan ada pula yang terjebak dalam kegiatan gangsterisme. Justeru, tindakan seperti ini akan lebih menyukarkan hasrat kerajaan dalam usaha untuk melahirkan rakyat minda kelas pertama pada masa depan. Apatah lagi dengan sikap golongan remaja yang terlalu terikut-ikut dengan budaya barat yang dianggap tidak sopan dari pandangan masyarakat timur. Natijahnya, kita sedang berhadapan dengan satu masalah yang bukan sahaja perlu diatasi tetapi memerlukan kerjasama semua pihak bagi membawa remaja kita kembali semula ke pangkal jalan.
___________________________________________________
RUMUSAN 6:
Baca petikan di bawah dan buat rumusan tentang kesan-kesan kenaikan harga petrol di Malaysia dan inisiatif yang diambil untuk mengatasinya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak lebih daripada 120 patah perkataan sahaja
___________________________________________________
Pada tahun 2007, berlaku krisis harga pertoleum pada peringkat dunia sehingga menyebabkan kebanyakan negara menghadapi kesukaran dan krisis ekonomi. Di Malaysia, kerajaan terpaksa menaikkan harga petrol sebanyak 3 kali dengan kenaikan terbesar sebanyak RM1 pada akhir tahun 2007. Kenaikan harga petrol secara mendadak ini amat memeranjatkan orang ramai kerana petrol menjadi bahan terpenting dalam semua bidang kehidupan. Kesan mendadak yang dapat dilihat secara langsung melalui dasar kerajaan ini ialah berlakunya kenaikan harga barang-barang meliputi semua jenis barang makanan mahupun barang kegunaan harian yang lain. Kenaikan harga barang-barang ini tidak dapat dielakkan kerana kenaikan harga petrol telah mengakibatkan kenaikan kos pengeluaran kepada pekilang-pekilang mahupun kepada syarikat pengangkutan.
Selain itu, perkara yang amat membimbangkan kerajaan ialah banyak kilang mahupun syarikat-syarikat besar yang sebelum ini menyumbang pendapatan kepada negara melalui cukai, telah mengalami kerugian besar kerana kenaikan kos tersebut. Pada masa yang sama kilang-kilang terpaksa mengecilkan pengeluaran kerana permintaan yang semakin berkurangan dari seluruh dunia. Ada di antara syarikat dan kilang-kilang ini yang terpaksa gulung tikar atau menghentikan operasi pengeluarannya untuk seketika sehingga keadaan pulih seperti sedia kala. Dasar yang diamalkan oleh pekilang di samping ketidakmampuan pekilang untuk terus beroperasi ini telah menyebabkan pendapatan negara terjejas dengan begitu serius.
Pada masa yang sama, kenaikan harga petrol ini telah menyebabkan banyak kilang memberhentikan pekerja mereka bagi mengurangkan kos pengeluaran yang semakin meningkat. Ada juga pekerja yang diberhentikan untuk sementara sehingga keadaan pulih semula. Akibatnya, kesan jelas yang berlaku akibat fenomena harga minyak ini ialah kadar pengangguran di Malaysia meningkat dari 3.5 peratus kepada 5.4 peratus setahun dan kenaikan ini merupakan kenaikan tertinggi dalam sejarah Malaysia moden. Sebagai contohnya, sepanjang 3 bulan pertama kenaikan harga petrol, seramai lebih 400 ribu pekerja swasta atau pekerja kilang telah kehilangan pekerjaan. Bagi pekerja awam, mereka lebih bernasib baik kerana secara umumnya kurang merasai kesan kenaikan harga petrol ini.
Pada suku kedua fasa kenaikan harga petrol ini, kajian menunjukkan bahawa kadar kemiskinan dalam kalangan rakyat semakin meningkat dengan mendadak. Daripada jumlah 5.3 peratus, kadar kemiskinan telah meningkat kepada 7.6 peratus daripada jumlah keseluruhan jumlah penduduk. Menurut pengkaji, kenaikan angka ini adalah disebabkan indeks harga barang yang telah meningkat dari 2.3 kepada 5.7 mata. Pendapatan penduduk miskin tegar yang sebelumnya ialah RM500 sebulan telah meningkat kepada RM800 sebulan. Mereka dalam kumpulan berpendapatan tersebut kini termasuk dalam kumpulan miskin tegar kerana kenaikan harga barang-barang keperluan. Krisis ini tidak terhenti di situ sahaja tetapi menyumbang kepada pertambahan bilangan jenayah yang melibatkan kecurian, rompakan, peras ugut dan ragut. Persoalannya, mampukah kita menghadapi krisis kenaikan harga petrol ini yang dijangka akan mencecah harga RM4.50 seliter pada tahun 2020 nanti?
____________________________________________________
RUMUSAN 7:
Baca rencana di bawah. Tulis rumusan tentang peranan-peranan guru dalam mendidik pelajar dan halangan-halangan yang dihadapi. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
___________________________________________________
Guru merupakan insan yang dianggap terlalu mulia bukan sahaja dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia tetapi dari sudut pandangan agama. Semua agama di dunia termasuk agama Islam, Buddha, Hindu mahupun agama yang lain mengiktiraf tugas seorang guru. Perlu diingat bahawa, tugas seorang guru bukan sahaja mendidik dan mengajar pelajarnya dari segi akademik untuk menjadi seorang yang pintar, tetapi tugas seorang guru adalah lebih daripada itu. Jika di rumah, seorang pelajar berdamping dengan ibu dan bapa, di sekolah pula tugas ini dipikul oleh seorang guru. Merekalah yang bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan para pelajar agar terhindar daripada sebarang mara bahaya ketika tiada ibu dan bapa di samping mereka. Namun begitu, tidak ramai yang menyedari termasuk pelajar itu sendiri bahawa tugas seorang guru adalah terlalu berat sehingga ada yang mengatakan "guru itu umpama lilin, membakar diri untuk menerangi orang lain".
Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia, guru juga berfungsi untuk menyemai nilai-nilai murni dan akhlak yang sempurna dalam diri pelajar. Biarpun tugas ini dilakukan tanpa disedari oleh pelajar itu sendiri, namun hakikatnya peranan ini perlu dilaksanakan bagi membentuk diri individu yang sempurna demi kebaikan agama, bangsa dan negara. Ramai pelajar tidak menyedari bahawa guru memarahi pelajar atau menghukum pelajar adalah bagi membentuk disiplin pelajar tersebut agar menjadi masyarakat yang berguna dan tidak melanggar undang-undang negara pada masa depan. Tugas ini biarpun sukar dilaksanakan namun digalas dengan hati yang tabah dan penuh ikhlas. Guru tidak pernah membeza-bezakan perhatian dan kasih sayang kepada setiap pelajar mereka hatta kepada pelajar yang dianggap kurang berdisiplin. Namun sebagai manusia biasa, kadang-kala sikap keterlanjuran guru menjalankan hukuman boleh sahaja terjadi.
Pada masa yang sama, guru juga bertanggungjawab kepada masyarakat di sekeliling tempat mereka bertugas. Mereka perlu sentiasa memberi kerjasama dalam bentuk cadangan, saranan atau apa jua aktiviti masyarakat yang dilaksanakan dan dianggap sesuai dalam profession yang dipegang. Seorang guru tidak boleh bersikap sombong atau memencilkan diri dalam masyarakatnya kerana hal ini bertentangan dengan semangat keguruan. Mereka juga menjadi wadah kepada pihak kerajaan untuk menanamkan semangat cinta akan negara kepada generasi muda itu serta menyampaikan hasrat kerajaan untuk membentuk masyarakat yang harmoni serta bersatu-padu. Dasar-dasar kerajaan yang diterapkan kepada pelajar ini dapat melahirkan rakyat yang teguh dan berani demi memimpin negara pada masa yang akan datang. Justeru ingatlah falasafah orang Yunani, "jika seorang doktor melakukan kesilapan, hanya seorang pesakit yang akan ditimpa kesusahan tetapi jika seorang guru melakukan kesilapan, kesannya akan berpanjangan hingga beberapa keturunan".
Guru bagi masyarakat tradisional di negara kita dianggap terlalu ideal sehingga sebelum menyerahkan anak-anak mereka untuk belajar, mereka membekalkan guru tersebut sebatang rotan. Kegunaannya adalah untuk menghukum anak mereka atau mendidik anak-anak mereka supaya menjadi orang yang berguna. Di sini kita dapat melihat betapa peranan seorang guru terlalu besar untuk menggalas tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka untuk menjadi manusia yang berguna. Namun senario terkini kelihatan sudah semakin berubah. Ada golongan ibu bapa yang bertindak seolah-olah lebih bijak menegur dan menyalahkan guru itu dan ini. Golongan ibu bapa seperti itu perlu lebih sedar dan insaf bahawa mereka menghantar anak-anak ke sekolah kerana mereka tidak mampu untuk mendidik anak mereka sendirian tanpa bantuan seorang guru. Selamat hari Guru.
__________________________________________________
RUMUSAN 8:
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan amalan membaca dan sebab-sebab rakyat kurang membaca. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
__________________________________________________
Untuk memenuhi hasrat mewujudkan masyarakat yang gemar membaca, banyak perpustakaan awam dibina. Selain itu, kerajaan mengisytiharkan bulan Julai sebagai Bulan Membaca peringkat kebangsaan. Tindakan ini selaras dengan saranan Perdana Menteri kita yang mahukan rakyat membaca supaya kita dapat melahirkan masyarakat yang serba tahu. Di samping itu, amalan membaca membolehkan kita membuat refleksi tentang kelemahan diri kita sendiri kerana kita akan dapat memahami perkara-perkara yang tidak diketahui selama ini! Pengetahuan am sama ada isu semasa ataupun sejarah dapat menaikkan motivasi diri sehingga mewujudkan daya saing yang sihat.
Menurut Frank Tibolt, penulis buku Sentuhan Kejayaan, dengan membaca kita dapat berubah menjadi manusia yang lengkap. Kata-kata Mohd. Atiq, pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2003 bahawa membaca itu keperluan hidup jelas membuktikan bahawa budaya membaca mesti diamalkan setiap masa. Dalam hal ini, galakan yang diberikan kepada pihak sekolah untuk menubuhkan kelab bacaan patut dipuji. Usaha mengadakan majlis pelancaran buku baru juga merupakan pendekatan proaktif yang boleh mendorong lebih ramai anggota masyarakat untuk mencintai buku.
Sebenarnya, masyarakat negara ini belum boleh dianggap sebagai masyarakat pembaca. Kita perlu melakukan anjakan paradigma seiring dengan kemajuan dunia pada hari ini. Jika ada usaha bersungguh-sungguh ke arah itu, mungkin pada suatu hari nanti kita pun akan berubah dan menjadi seperti masyarakat Barat dan Asia Timur yang memperoleh keseronokan daripada membaca. Kita harus terus membaca kerana jika kita sentiasa menangguhkan tindakan, akhirnya kita tidak akan dapat menghabiskan walau sebuah buku pun dalam setahun. Kita berharap juga agar masyarakat tidak terlalu cenderung untuk membeli majalah hiburan dan cerita fiksyen semata-mata supaya kita dapat membebaskan diri daripada belenggu bahan picisan seumpamanya. Eloklah kita cuba meninjau bahan bacaan lain yang banyak mengandungi maklumat yang dapat dimanfaatkan.
__________________________________________________
RUMUSAN 9:
Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat suatu rumusan tentang faktor-faktor rakyat wajib memerangi rasuah dan halangannya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.
____________________________________________________
Kerajaan telah mengeluarkan arahan-arahan tentang perkara ini dan merangka serta menentukan suatu penanda aras berhubung dengan rasuah. Ketetapan itu membuktikan sikap serius kerajaan memerangi rasuah. Perkara yang dapat kita jangkakan pada masa depan ialah peningkatan usaha Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk menyelesaikan kes-kes rasuah yang diadukan oleh pihak yang terlibat kepadanya. Kakitangan sektor awam wajar mengambil perhatian terhadap perkara ini dan menanamkan azam untuk mengelakkan diri daripada sebarang perbuatan rasuah. Sesungguhnya, perbuatan rasuah akan merugikan pihak pelaku apabila mereka disiasat, diheret ke mahkamah, dibicarakan, dan dijatuhi hukuman. Sebelum perkara ini berlaku, wajarlah iktibar daripada peribahasa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna diambil. Bagi anggota masyarakat pula, mereka perlu mengambil kira keseriusan kerajaan dan tidak melibatkan diri menawarkan rasuah sebagai jalan pintas untuk menyelesaikan masalah masing-masing secara haram. Amalan menawarkan rasuah hanya menyelesaikan masalah dalam jangka masa pendek.
Amalan rasuah ini akan mendatangkan mudarat besar kepada masyarakat, rakyat, dan negara. Semua pihak, baik kakitangan kerajaan mahupun anggota masyarakat perlu menahan diri daripada melakukan rasuah dengan memikirkan kepentingan jangka panjang negara. Kita haruslah menyokong usaha kerajaan membasmi rasuah demi kebaikan kita semua. Sokongan itu meliputi amalan mahupun sikap serta mentaliti masing-masing. Kita mengakui bahawa rasuah mempunyai pelbagai tahap. Ada yang bertahap rendah dan melibatkan nilai yang sedikit. Di samping itu, wujud rasuah yang membabitkan jumlah yang besar dan berkaitan pula dengan kedudukan yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, kedua-duanya tetap rasuah dan menjadi wabak masyarakat yang sangat bahaya. Sesungguhnya rasuah menjadi penyakit yang memakan diri sesuatu organisasi. Maka usaha memeranginya perlu bermula daripada mentaliti dan sikap antirasuah khususnya di kalangan kakitangan sektor awam. Mereka harus disedarkan bahawa rasuah melemahkan sektor awam dan akhirnya mendatangkan mudarat kepada semua pihak.
Apabila rasuah berleluasa, jentera sektor awam tidak akan berkesan dan segala rancangan kerajaan tidak dapat disempurnakan. Jika rasuah tidak dapat dibanteras, rakyatlah yang akan menanggung kerugian kerana merekalah yang membayar cukai tetapi tidak dapat menikmati keefisienan perkhidmatan kerajaan.
____________________________________________________
RUMUSAN 10:
Baca petikan di bawah dan buat satu rumusan tentang kesan negatif penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar di sekolah dan langkah-langkah pencegahannya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak lebih 120 patah perkataan.
_______________________________________________________
Pada masa ini, sebilangan murid sekolah pada hakikatnya telah pun mempunyai telefon bimbit sama ada dibeli oleh ibu bapa masing-masing atau dibeli dengan duit simpanan sendiri. Cuma penggunaannya terbatas di luar sekolah kerana mereka dilarang menggunakannya di kawasan sekolah. Memang tidak dinafikan telefon bimbit menjadi alat hubungan imbit yang penting namun kita perlu melihat kesan negatif kepada murid sekolah.
Kita semua sudah biasa melihat kesan buruk penggunaan telefon ini di kalangan orang dewasa. Misalnya, telefon bimbit digunakan untuk merakam gambar yang tidak senonoh. Mereka juga menggunakannya untuk menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) berantai. Di samping itu, pengguna juga melanggan pelbagai perkhidmatan yang tidak penting seperti yang diiklankan di media massa. Siapakah yang boleh memberi jaminan bahawa mereka tidak akan terlibat dalam perkara-perkara sedemikian?
Murid-murid juga dikhuatiri menyalahgunakan telefon bimbit semasa proses pengajaran dan pembelajaran diadakan. Antara lain, murid dikhuatiri menggunakan telefon bimbit untuk menipu dalam peperiksaan. Mereka juga mungkin leka menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan tidak dapat menumpukan perhatian kepada pengajaran. Selain itu, tidak mustahil jika terdapat murid yang memuat turun perkara-perkara yang tidak diingini semasa di dalam kelas.
Tidak keterlaluan jika kita mengandaikan bahawa akan timbul kesan psikologi terhadap murid sekolah yang kurang mampu. Maka akan wujudlah suatu trend dalam kalangan murid sekolah bahawa telefon bimbit ialah perkara penting pada zaman persekolahan. Oleh itu, mereka akan memaksa ibu bapa membelikan telefon itu untuk mereka.
Selain itu, pemilikan telefon bimbit dalam kalangan murid dikhuatiri menimbulkan suasana hubungan sosial yang tidak baik di dalam kawasan sekolah. Hal ini demikian kerana ada murid yang mula menjadikan telefon sebagai salah satu simbol status sosial. Jika satu ketika dahulu jenama kasut, beg atau kotak pensel pun boleh digunakan sebagai simbol status sosial di kalangan murid, maka telefon bimbit juga diramal akan turut menjadi alat untuk murid menunjuk-nunjuk.
Masalah penggunaan telefon bimbit di sekolah perlu diberikan perhatian. Dengan itu, langkah melarang penggunaan telefon bimbit di sekolah dianggap wajar. Larangan ini wajar diteruskan memandangkan penggunaan telefon bimbit lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan.
_____________________________________________________
RUMUSAN 11:
Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang peranan generasi muda dalam mengisi kemerdekaan dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh mereka. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 perkataan.
____________________________________________________
Mereka juga kurang mempunyai semangat patriotisme kerana dikatakan tidak dapat merasakan detik-detik perjuangan kepayahan menuntut kemerdekaan di samping hidup dalam zaman yang selesa. Mereka sepatutnya bertanggungjawab membina kejayaan negara dan sanggup bekerja keras untuk negara. Generasi muda juga perlu mementingkan kecemerlangan dalam pendidikan. Pendidikan memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju 2020.
Generasi muda mestilah berusaha untuk memajukan diri mereka. Melalui Kementerian Belia dan Sukan, kerajaan telah melaksanakan aktiviti-aktiviti untuk membantu remaja dan belia memajukan diri mereka. Majlis Penggalakan Ekonomi Belia (MPEB) telah diwujudkan bagi membantu golongan muda yang ingin berniaga mendapatkan maklumat dan bantuan. Konvensyen Pembangunan Belia Meneroka Generasi 2007 contohnya bertujuan menentukan hala tuju, falsafah dan strategi pembangunan belia yang progresif, menggariskan mekanisme pengurusan pembangunan belia, menyediakan kod etika pertubuhan belia dan membina teras pembangunan belia yang terbilang.
Generasi muda melalui kesedaran mereka dan bantuan pihak lain diharapkan akan terus memastikan bahawa Malaysia menjadi negara yang aman dan stabil, mengamalkan kesederhanaan serta saling menghormati dalam adunan warga pelbagai budaya. Adalah tugas generasi muda untuk memastikan Malaysia akan terus berpegang kepada konsep keadilan dan kesaksamaan, mengusahakan kemiskinan dihapuskan dan memastikan kemakmuran dapat dinikmati bersama. Selain itu, adalah juga menjadi harapan agar generasi muda akan mengisi perjuangan kemerdekaan dalam fasa 50 tahun kedua dengan memastikan prinsip demokrasi akan terus diamalkan dan mengurus negara dengan bijak. Kejayaan negara dalam fasa kedua 50 tahun kemerdekaan negara memerlukan komitmen semua warganegara terutama sekali generasi muda.
__________________________________________________
RUMUSAN 12: