Kaedah Menjawab Prosa Klasik/ Tradisional.
1. Ayat yang digunakan mestilah ditukar menjadi bahasa Melayu moden. Jangan gunakan ayat bahasa klasik lagi kerana akan ditolak 50% markah.
2. Pastikan jumlah isi cukup seperti diminta berdasarkan jumlah yang diberi di kanan soalan. Jangan berpuas hati memberi satu isi dan berharapkan pemeriksa memberi markah yang banyak.
3. Gunakan ayat yang lengkap semasa menjawab. Jangan gunakan kaedah 'point form' atau terus memberi isi tanpa mengulas ayat dari soalan,
4. Jika soalan "berdasarkan pendapat anda" atau soalan yang tidak dirujuk pada petikan, binalah isi sendiri tanpa merujuk petikan diberi. Biasanya ada satu soalan berbentuk umum begini dalam setiap petikan soalan yang diberi.
5. Amalkan menggunakan "satu ayat, satu isi" atau maksimum "satu ayat, dua isi" untuk jawapan anda. Untuk ayat baru/ sambungan isi, gunakan penanda wacana yang sesuai.
6. Jaga struktur ayat, ejaan dan aspek tatabahasa dalam ayat jawapan anda. Selalunya jika terlalu banyak kesalahan, markah akan ditolak 50% daripada jumlah markah.
7. Bagi soalan aspek komsas (nilai/ persoalan/ pengajaran/ bahasa) pastikan:
i. Jika soalan berbunyi "nyatakan" atau "berikan" : anda hanya perlu menyenaraikan nilai/ persoalan/ pengajarannya sahaja tanpa memberi contoh atau huraian.
ii. Jika soalan berbunyi "Jelaskan/ huraikan/ bincangkan/ terangkan" : anda perlu menulis nilai/ persoalan/ pengajaran dan sebagainya DAN memberi contoh atau huraiannya sekali. Jika tiada huraian diberi, anda hanya akan diberi 1/2 markah. Jika anda hanya memberi contoh tetapi tidak menulis nilai dll, tiada markah akan diberi.
___________________________________________________________________
Soalan Latikan Prosa Tradisional:
Latihan Pemahaman Prosa Klasik 1:
Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Setelah sampai tujuh tahun, maka waktu Temenggung Muar menghadap ke Johor, dibawanya anak raja itu, dipertemukan dengan Laksamana. Dan serta sampai Temenggung Muar di Johor kepada Laksamana, maka diambil Laksamana. Dan selama anak raja itu di Johor, sehari-hari ia bermain di makam paduka ayahanda di Kota tinggi. Dan segala budak-budak mengikut pergi. Serta sampai di makam itu, anak raja itu makan rumput, dan budak-budak lain hendak mengikut, semuanya mutah akan darah. Menjadi lahirlah khabar itu. Maka kedengaranlah kepada Yang Dipertuan Muda, orang menyembahkan, ada budak, rupanya bagaimana pinang dibelah dengan Paduka marhum yang mangkat. Dan segala budak-budak hendak mengikut, tiada boleh naik ke atas makam itu, sakit, muntah akan darah. Dan Yamtuan Muda pun menyuruh mencari budak itu.
Maka kedengaranlah kepada laksamana, mengatakan hal anak raja itu, sudah diketahui orang. Maka Laksamana maufakat dengan Raja Negara, mengatakan hal anak raja itu, sudah diketahui oleh Yamtuan Muda. “Baiklah kita suruh larikan. Jikalau saudara kita, Temenggung Muar, membawa ke Muar, nescaya tahu juga orang, kerana anak raja itu sudah dikenal orang.”
Maka Temenggung Muar pun menyerah akan bicara kepada laksamana. Maka Laksamana pun mencari orang yang boleh membawa anak raja itu. Dan ada nakhoda, orang Minangkabau, Nakhoda Malim namanya, bersahabat dengan Laksamana. Maka Laksamana pun fikir, “Baiklah aku beri akan anak raja ini, boleh dibawanya.” Maka laksamana pun lalu memanggil Nakhoda Malim.
(Petikan daripada cerita “Asal Usul Raja Kecil”)
1. Apakah maksud rangkai kata “rupanya bagaimana pinang dibelah dengan paduka” berdasarkan petikan di atas. (2 markah)
2. Berdasarkan petikan tersebut, apakah keistimewaan-keistimewaan yang dimiliki oleh anak raja itu? (3 markah)
3. Mengapakah Laksamana memanggil Nakhoda Malim dating untuk berjumpa dengannya?
(3 markah)
4. Pada pendapat anda, mengapakah keturunan raja biasanya digambarkan memiliki pelbagai kelebihan yang tidak dimiliki oleh rakyat biasa? (3 markah)
(Jawapan)
___________________________________________________________________
Latihan Pemahaman Prosa Klasik 2:
Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Maka segala makmum pun takbirlah. Barulah imam membaca Fatihah, maka sipahi yang keempat itu pun datanglah lalu diparangnya leher jauhari itu putus terpelanting pada kaki Jibor itu. Maka Jibor pun terkejut lalu ia melompat. Maka segala orang yang sembahyang itu pun habis pecahlah lari. Maka sembahyang itu pun menjadi batallah, sekalian makmum itu pun pecah belah, tiada berketahuan, hanya yang tiada batal itu imam dengan Sabor juga. Setelah tamatlah sembahyang kedua mereka itu, maka Sabor pun baharulah tahu akan fitnah itu daripada Saidah juga.
Maka Jibor pun terlalu hairan melihat Sabor tiada mati itu, sekoyong-koyong akan jauhari juga mati, maka adalah ia berdosa dari dahulu dengan saidah itu; sebab itulah mati. Maka lalu Jibor pun berfikir di dalam hatinya, “takut benar juga saudaraku Sabor itu; maka ia dilepaskan Allah subhanahu wataala daripada bala itu.”
Maka segala saudara jauhari pun datanglah dengan keris lembingnya mari bertanya kepada Jibor. Maka kata Jibor, “tiada hamba ketahui.”
Maka mayat jauhari itu pun diambil oranglah dibawanya ke rumahnya itu, seraya menyiasat orang membunuh jauhari itu. Maka tiadalah dapat orang membunuh itu. Maka mayat jauhari pun ditanamkan oranglah, seperti cara agama Islam.
(Petikan daripada cerita “Sabor”)
1. Apakah maksud rangkai kata “segala orang yang sembahyang itu pun habis pecahlah lari” seperti yang terdapat dalam petikan di atas. (2 markah)
2. Bagaimanakah keadaan di tempat sembahyang itu setelah sipahi tersebut memenggal kepala jauhari? (3 markah)
3. Pada pendapat anda, mengapakah sipahi itu diarahkan untuk membunuh Sabor ketika Sabor sedang bersembahyang di masjid? (3 markah)
4. Huraikan 3 latar masyarakat yang terdapat dalam petikan di atas. (3 markah)
(Jawapan)
___________________________________________________________________
Latihan Pemahaman Prosa Klasik 3:
Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Bermula diceterakan oleh orang yang ampunya ceritera ini. Ada seorang hamba Allah orang Pasai turun dari atas angin ke Pasai tiga bersahabat. Tun Jana Khatib namanya, memahirkan ilmu khayal lillah lagi tauhid dua belas alam. Oleh tuan itu pergi dua bersahabat ke Singapura. Maka seorang pergi ke Samarlingga, itulah yang disebut orang Tuan di Samarlingga; yang seorang Tuan di Bunggoran. Maka Tun Jana Khatib berjalan ke pekan Singapura, maka lalu hamper istana raja. Pada ketika itu raja perempuan melihat di tingkap, maka terpandang kepada Tun Jana Khatib. Maka ada sebatang pinang hampir dengan istana itu. Maka ditilik oleh Tun Jana Khatib, belah dua pohon pinang itu. Telah dilihat oleh Paduka Seri Maharaja perihal itu, maka baginda pun terlalu marah. Maka baginda pun berkata, lihatlah kelakuan Tun Jana Khatib, diketahuinya isteri kita menengok, maka ia menunjukkan pengetahuannya.
Maka disuruh baginda bunuh. Maka Tun Jana Khatib pun dibawa orang kepada tempat pembunuhan, hamper tempat orang berkedai bikang, serta ditikam orang, akan tun Jana khatib, darahnya menitik ke bumi, badannya ghaib tiada berketahuan. Maka orang yang membuat bikang itu ditutupnya dengan tutup bikang darah Tun Jana Khatib itu, lalu menjadi batu, datang sekarang pun ada di Singapura.
(Petikan daripada cerita “Kezaliman Membawa Padah”)
1. Beri maksud rangkai kata “menunjukkan pengetahuannya” dalam petikan di atas. (2 markah)
2. Apakah kelebihan yang dimiliki oleh Tun Jana Khatib? (3 markah)
3. Pada pendapat anda, adakah tindakan yang diambil oleh Paduka Seri Maharaja terhadap Tun Jana Khatib itu wajar? Mengapa anda berpandangan demikian? (3 markah)
4. Huraikan dua pengajaran yang terdapat dalam petikan di atas dan satu pengajaran lain dalam keseluruhan cerita prosa klasik tersebut. (3 markah)
(Jawapan)
___________________________________________________________________
Latihan Pemahaman Prosa Klasik 4:
Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Dan Tuan Bujang pun sampailah umur tiga belas tahun. Maka Tuan Bujang pun minta pergi ke Batanghari, hendak mencari ilmu. Maka dilepas akan Puteri Jilan. Maka Tuan Bujang pun turunlah, menumpang orang Minangkabau, orang Pagaruyung. Dan berjalan sampai ke Tambang, dan lalu ke Limun, Batanghari. Serta sampai di situ, maka Tuan Bujang pun hendak pergi ke Rawas, Hulu Palembang. Dan Tuan Bujang pun sampailah ke Rawas, lalu hilir ke Palembang. Dan Tuan Bujang datang menghadap Sultan Lema Abang dan bertemu dengan Sultan Lema Abang. Lalu Tuan Bujang berdatang sembah, hendak berhamba akan dirinya, menggula.
Maka Sultan Lema Abang pun terlalu sukacita melihat sikap Tuan Bujang itu. Maka dipeliharakan sultan. Jika sultan berjalan atau dihadap orang, akan Tuan Bujang membawa tepak. Dan selama Tuan Bujang membawa tepak, sultan tidak boleh duduk di atas, kegatalan punggungnya, jikalau berjalan dahulu, sultan tiada terjalan, seperti ada orang memegangnya. Dan Sultan Lema Abang pun hairan, lalu bertitah, “Selama budak ini membawa tiga puluh dua tepakku ini, tiadalah sedap tubuhku, sakit sahaja.”
(Petikan daripada cerita “Asal Usul Raja Kecil”)
1. Apakah maksud rangkai kata “berdatang sembah” dalam petikan di atas? (2 markah)
2. Nyatakan keganjilan yang dirasai oleh Sultan Lema Abang semasa Tuan Bujang bekerja dengan baginda? (3 markah)
3. Pada pandangan anda, mengapakah Tuan Bujang digambarkan memiliki pelbagai kehebatan? (3 markah)
4. Pada pendapat anda, apakah sikap yang perlu dimiliki oleh seseorang apabila berada di tempat orang lain? (3 markah)
5. Huraikan satu nilai yang terdapat dalam petikan di atas dan dua nilai lain dalam keseluruhan cerpen tersebut. (3 markah)
(Jawapan)
__________________________________________________________________
Latihan Pemahaman Prosa Klasik 5:
Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Maka Dara Zulaikha Tingkap pun menyuruh keluarkan kuda itu dan diberikan dengan kekangnya dan pelananya. Maka Perman Isap dua dengan Orang Tikar itu, maka kedua mereka itu pun bersegera keluar membawa kuda itu kepada Tun Beraim Bapa, maka sultan pun berangkatlah keluar ke medan akan melihat Tun Beraim Bapa bermain-main itu. Maka dilihat oleh Tun Beraim Bapa sultan keluar itu, maka Tun Beraim Bapa pun berdiri dengan khidmatnya di hadapan sultan itu lalu ia sujud. Maka sultan pun bersabda kepada Bermamat P.nti dan Maidana P.nti. “Katakanlah kepada anakku Si Beraim Bapa, aku menyuruhkan ia menaiki kuda itu di hadapan jamu helat asing, tandilnya lasykar pendekar Keling itu, suruh pacu kudanya itu ke Tukas.” Maka Bermamat P.nti dan Maidana P.nti pun menjunjungkan sabda yang maha mulia itu kepada Tun Beraim Bapa. “Ya tuanku Tun Beraim Bapa, sabda paduka ayahanda naiklah tuanku ke atas kuda itu di hadapan jamu orang helat asing lasykar pendekar Keling itu.”
Maka Tun Beraim Bapa pun menyembah sultan, lalu baginda naik ke atas kudanya. Maka dipacunya lalu ditarikkannya di medan. Maka ia pun berkhidmat pada sultan, tetkala akan naik kuda itu, maka dipacunya pula. Maka (kuda) itu pun bangkit lalu ke udara. Maka dipacunya pula lalu dihalakannya pula ke Tukas. Maka dengan seketika itu juga lenyaplah daripada sultan.
(Petikan daripada cerita “Tun Beraim Bapa”)
1. Apakah maksud rangkai kata “ditarikkannya di medan” dalam petikan di atas? (2 markah)
2. Mengapakah sultan meminta Tun Beraim Bapa memacu kudanya di hadapan tetamu dan pendekar asing itu? (3 markah)
3. Pada pendapat anda, apakah kesan persembahan yang diperlihatkan oleh Tun Beraim Bapa kepada semua tetamu dan pendekar asing di situ? (3 markah)
4. Huraikah dua perwatakan yang dimiliki oleh Tun Beraim Bapa dalam petikan di atas dan satu lagi perwatakan lain dalam keseluruhan cerpen tersebut. (3 markah)
(Jawapan)
____________________________________________________________________