Friday, July 3, 2009

Koleksi Soalan SPM Cerpen 2009

Soalan 1

(Annyss Sophillea)

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan –soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Ratu suria telah tergelincir dari persemayamannya di puncak langit. Sendirian di hutan belukar begini sesekali meremangkan bulu tengkuknya.
“Kalaulah eustary ada di sini…” desis Annyss sendirian.
Krrapp!
Derapan tapak kaki sesorang telah mematahkan ranting kering di belakangnya. Sekaligus darahnya berderau. Annyss sudah bersedia menghunus pisau belatinya. Demi dia berpusing, senjatanya dihayun tinggi untuk dibenamkan ke tubuh musuhnya.
“Ehh… nanti dulu! Sabar, Annyss!”
“Akmal?” Annyss bagaikan tidak percaya apa yang dilihatnya. Kemunculan eustary di sisi Akmal menambahkan kekagetannya. “Bagaimana kau boleh berada di sini?”
“Terbang.” Akmal membalas dengan selamba.
Annyss tersenyum. “Jadi kau gunakan kalung aku untuk menyeru eustary, ya?”
Akmal mengangguk. “Setiap malamku diserikan oleh bayanganmu di dalam impian. Tapi suaramu seakan-akan memerlukan. Kerana itu aku datang. Lagipun sudah seminggu kau tiada. Terasa canggung pula.”
Seminggu? Sedangkan aku baru sampai semalam, bisik Annyss…oh ya! Baru aku teringat.
“Akmal, ada sesuatu tentang Alstonia yang kau perlu tahu.”
“Apa dia?”
“Sehari di Alstonia bererti seminggu di Bumi.”
“Macam mana boleh jadi begitu.” Akmal mula keliru.
“Kau tentu bahawa dimensi kita berbeza. Begitu juga dengan masanya.”


(i) Apakah yang dimaksudkan dengan meremangkan bulu tengkuknya berdasarkan petikan di atas?

• Annyss berasa seram/takut.
( 2 markah)


(ii) Apakah yang dimaksudkan dengan menambahkan kekagetannya berdasarkan petikan di atas?

• Menjadi lebih terkejut/terperanjat.
( 2 markah)


(iii) Mengapakah Akmal pergi ke planet Alstonia?

• Pada setiap malam dia bermimpi akan Annyss.
• Berasa seolah-olah terdengar suara Annyss yang memerlukannnya.
• Sudah seminggu mereka tidak berjumpa/ Annyss tiada.
• Berasa canggung dengan ketiadaan Annyss.
(3 markah)


(iv) Pada pendapat anda wajarkah Akmal menyusuri Annyss ke Alstonia?

Wajar
• Ingin bertemu Annyss.
• Bagi melepaskan rasa rindu.
• Menguatkan lagi ikatan persahabatan.
• Membuktikan kesetiaan dalam persahabatan.
• Untuk membantu Annyss.

Tidak wajar
• Alstonia merupakan negara asing bagi Akmal/tidak biasa di tempat orang.
• Akmal kemungkinan mengalami pelbagai cabaran di Alstonia.
• Terpaksa meninggalkan keluarga di bumi.
• Keselamatannya belum tentu terjamin.
(3 markah)


(iv) Huraikan satu perwatakan Akmal berdasarkan petikan di atas dan dua perwatakan Akmal dalam cerpen tersebut.

Perwatakan dalam petikan
• Seorang yang berani buktinya sanggup ke Alstonia untuk berjumpa Annyss.
• Seorang yang baik hati sanggup ke Alstonia untuk berjumpa Annyss.

Perwatakan dalam cerpen
• Seorang yang penyayang buktinya sedih/tidak sanggup berpisah dengan Annyss/terlalu menyayanginya.
• Seorang yang jujur buktinya ikhlas dalam persahabatan dengan Annyss
(3 markah)

..........................................................................................................................................................................

Soalan 2

( Annyss Sophillea )


Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


“ Aku tidak peduli itu semua. Yang penting kau mesti kuhapuskan,” balas Strenn.
“ Jadi sia-sialah tindakanmu selama ini.” Eyrique menekan.
Jadi jawapan Strenn hanyalah serangan yang bertubi-tubi ke arah anak saudara bapanya. Eyrique kian berundur sehingga dia terasak ke dinding bangsal. Pertahanannya semakin tipis walaupun aksinya tetap tenang.
Annyss mula dicakar cemas. Namun dia tahu pertarungan ini adalah perhitungan peribadi. Tetapi Akmal tidak dapat membiarkan sahabat yang baru dikenalinya begitu sahaja. Dicapai senjatanya sendiri dari saku seluarnya lantas dihalakan kepada Strenn.
“ Akmal! Jangan!.”
Banggg!!!
Teriakan Annyss serentak dengan pergerakan peluru Akmal yang menemui sasarannya tepat ke dada Strenn.
Akmal tumbang. Kesakitan yang merayap pada tubuh Strenn, entah mengapa, turut menggigit dirinya, walaupun tidak berdarah.
“ Akmal, kenapa kau buat begitu?” Annyss seakan-akan menyesali tindakannya.
“ Tiada siapa yang sanggup membunuhnya.Aku juga tahu, di Alstonia, siapa yang membunuh akan mati bersama-sama orang yang dibunuh.” Nafasnya tersekat seketika. Kemudian dia menyambung, “Dia tidak layak untuk hidup, walaupun aku galang gantinya.”


(i) Apakah yang dimaksudkan dengan dicakar cemas berdasarkan petikan di atas ?

• Maksudnya berasa takut dan bimbang/susah hati.
( 2 markah)


(ii) Apakah yang dimaksudkan dengan turut menggigit dirinya berdasarkan petikan di atas?

• Maksudnya Akmal juga berasa sakit.
( 2 markah)


(iii) Apakah akibat yang diterima oleh Akmal setelah menembak Strenn ? Mengapakah perkara
tersebut berlaku?

• Akibatnya, Akmal tumbang.
• Berasa sakit seperti yang dialami oleh Strenn.
• Sebabnya, di Alstonia orang yang membunuh akan mati bersama-sama orang yang dibunuh.
( 3 markah)



(iv) Pada pendapat anda, mengapakah Akmal bertindak menembak Strenn?

• Akmal bimbang Eyrique akan tewas.
• Akmal hendak menyelamatkan nyawa Eyrique.
• Akmal sanggup berkorban demi persahabatannya dengan Annyss.
• Strenn seorang yang jahat/kejam/sombong.
( 3 markah)


( v) Huraikan satu nilai kemanusiaan berdasarkan petikan di atas dan dua nilai kemanusiaan
lain yang terdapat dalam cerpen tersebut.

• Nilai kemanusiaan dalam petikan
• Nilai tolong menolong. Contohnya Akmal membantu Eyrique .
• Nilai berani. Contohnya Akmal berani menembak Strenn.

• Nilai dalam cerpen
• Nilai kegigihan/ketabahan. Contohnya Annyss tabah dalam usaha mencari Eyrique.
• Nilai keberanian. Contohnya Annyss berani menggembara ke bumi seorang diri.
• Nilai amanah. Contohnya Annyss berusaha menunaikan wasiat ayahanda dan bondanya.
( 3 markah)

..........................................................................................................................................................................

Soalan 3


( Annyss Sophillea )


Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Eyrique keluar dahulu ke permukaan. “ Strenn!” Dia memuntahkan perkataan pertama melalui ketapan bibirnya. Nadanya terkejut berbaur geram. Strenn dan konco-konconya telah menanti kedatangan mereka.
“Mawarku telah disunting orang rupanya, padanlah semakin tajam durinya sekarang,” ujar Strenn dengan sinis. Hati Annyss terbakar mendengarnya.
“ Ha, Eyrique Etiqaz, perwira terbilang Alstonia. Mahu ke mana sekarang?”
Strenn masih lagi berbasa basi.
“ Hentikan madah pincangmu, Strenn.”Eyrique membentak. “Aku kembali untuk menuntut hakku yang telah kau rampas!”
“ Ya! Yang mana satu? Banyak juga milikmu yang telah kurampas, termasuk kekasihmu, Sarlyn!” Ketawa kecil menjadi penutup bicaranya. Perasaan Eyrique semakin panas. Mujur fikirannya masih bertakhta di hati. Dia tahu bahawa Strenn memahami maksudnya.
Masih jelas dalam ingatan Eyrique bagaimana konco-konco Strenn telah menculik dan menyembunyikannya pada malam dia akan ditabalkan sebagai pengganti ayahandanya. Strenn mahu menguasai Mahligai Alstonia sepenuhnya. Perpisahannya dengan Annyss tambah melemahkan tenaga yang wujud dalam dirinya.
Tetapi malam ini tidak lagi. Malam ini malam penghujung bintang Gemini bermain di angkasa raya. Pada malam ini 22 tahun dahulu, telah lahir sepasang anak kembar sebagai pewaris takhta Alstonia.


(i) Apakah yang dimaksudkan dengan memuntahkan perkataan berdasarkan petikan di atas?
• Meluahkan percakapan/pertuturan/kata-kata/bercakap.
( 2 markah)


(ii) Apakah yang dimaksudkan dengan penutup bicaranya berdasarkan petikan di atas?

• Menyudahkan percakapannya/mengakhiri pertuturannya/kata-kata akhir.
( 2 markah)


(iii) Siapakah Eyrique ?Mengapakah Eyrique diculik oleh Strenn?

• Eyrique merupakan perwira terbilang di Alstonia.
• Pewaris takhta Alstonia/pengganti takhta ayahandanya.
• Kerana Strenn mahu menguasai mahligai Alstonia sepenuhnya.
( 3 markah)



(iv) Pada pendapat anda, mengapakah Strenn ingin menguasai takhta Alstonia?

• Ingin menjadi pemerintah/raja Alstonia.
• Ingin mengahwini Annyss Sophillea.
• Ingin menamatkan kuasa warisan keluarga Eyrique.
• Mahu dihormati/disanjung..
• Mahu memiliki kekayaan negara.
( 4 markah)


( v) Huraikan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan dan dua pengajaran lain dalam
cerpen tersebut.

• Pengajaran dalam petikan
• Perlu menghormati hak seseorang, Contohnya Strenn sepatutnya memberi peluang kepada Eyrique menaiki takhta.


• Pengajaran dalam cerpen
• Hendaklah sanggup berkorban demi persahabatan. Contoh Akmal sanggup berkorban menentang Strenn demi persahabatannya yang ikhlas dengan Annyss.
• Perlu memupuk sikap kerjasama dalam menghadapi cabaran. Contohnya Annyss dan Akmal berkerjasama untuk menyelamatkan Eyrique.
• Hendaklah saling membantu untuk kesejahteraan. Contohnya Akmal membantu Annyss yang menghadapi masalah akibat kehilangan Eyrique.
(3 markah)


..........................................................................................................................................................................

Soalan 4


(Cerpen Lambaian Malar Hijau)


Baca petikan cerpen di bawah ini dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

“Minum nak,” ucap ibu Daneng sambil menghidangkan kopi O dan ubi kayu rebus.
Jo mengucapkan terima kasih lalu meneguk air kopi itu. Pandangan matanya menangkap kesederhanaan isi pondok itu. Tiada sebarang perabot moden di dalam rumah itu. Hanya beberapa buah bantal buruk dan sebuah almari usang yang memenuhi pondok besar itu. Bagi diri Jo, itu satu kekurangan tetapi Jo sedar bahawa tuan punya rumah tidak berpendapat begitu. Apa besarnya pada sebuah kerusi empuk ataupun kipas angin jika alam yang menghijau dianggap empunya.
“Pak cik ke mana?”
“Ke hulu untuk memancing. Kalau ada rezeki, dapatlah ikan. Sambil itu pakcik juga mencari petai. Kali ini, anak Jo mesti membawa pulang petai ke rumah.”
Jo mengangguk. Dia teringat akan keenakan masakan ikan haruan bukit dan petai hutan dara yang pernah dimakannya di rumah ini tidak lama dahulu. Air liurnya ditelan.
Dalam kesederhanaan hidup yang sebegitu, masih hendak memberi sedekah. Di daerah satelit, hidup di pondok begitu sudah dianggap miskin. Sudah menjadi isu besar dalam media. Tetapi bagi orang-orang di sini, beginilah kehidupan. Tiada apa-apa yang perlu dikejar. Tidak ada soal tidak cukup duit! Tidak cukup masa! Tidak puas hati dengan kejayaan dalam karier!


i) Apakah maksud rangkai kata menangkap kesederhanaan berdasarkan petikan di atas?
(2 markah)

- melihat atau memerhatikan kelengkapan rumah yang serba ringkas/ ala kadar.

ii) Sekiranya anda Cikgu Jo, apakah yang dapat anda lakukan untuk meningkatkan taraf hidup Daneng? (3 markah)

- mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat
- memohon kerjasama PIBG untuk mengadakan pungutan derma di sekolah.
- memberikan modal kepada mereka untuk menjalankan perniagaan
- Membantu Daneng dari segi pelajaran .


iii) Jelaskan dua nilai kemanusiaan yang terdapat dalam petikan di atas dan dua nilai kemanusiaan lain yang terdapat dalam cerpen ini?
(4 markah)

- Dua nilai kemanusiaan dalam petikan
- nilai simpati,buktinya isi rumah Daneng yang serba kekurangan.
- nilai kerajinan, buktinya ayah daneng berusaha mencari ikan dan Petai di hutan.
- Dua nilai kemanusiaan dalam cerpen
- Nilai kegigihan, buktinya Daneng belajar belajar bersungguh-sungguh.
- Nilai bertanggungjawab, buktinya Cikgu Jo berusaha untuk pergi ke rumah Daneng untuk memujuk Daneng kembali menyambung persekolahannya.


..........................................................................................................................................................................
Soalan 5


(Cerpen Lambaian Malar Hijau)


Baca petikan cerpen di bawah ini dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Dari jauh, Jo dapat melihat tubuh Daneng yang berotot kental melompat dari sebuah batu besar ke sebuah batu besar yang lain di pinggiran perkampungan asli itu. Anak muda itu kelihatan begitu asyik berbuat demikian, seperti seekor rerama yang terbang bebas. Jo mematikan langkah, memerhati gelagat remaja itu.
Patutkah aku mengganggu ketenteramannya? Merampas kebebasannya? Memaksanya melakukan apa yang aku fikirkan betul? Fikiran Jo mula bercambah: Ketidakpastian mula mengetuk pintu hatinya. Tidak! Tidak! Aku mesti melaksanakan tugas! Apa yang aku fikirkan betul, memanglah benar dan kebenaran itu perlu menjadi kenyataan, bentak hatinya.
Kicauan unggas yang pelbagai menusuk cuping telinganya. Kerihan lotong dan
kera, kericauan siulan pipit dan tiung, dengungan kumbang-kumbang hutan, dan depusan angin menghidupkan alam raya. Begitu mengasyikkan! Irama rimba yang merdu memukau dirinya yang berasal dari daerah satelit.
“Oh, betapa nikmat suara alam yang menghadiahkan ketenteraman kepada insan!” getusnya perlahan.
“ Selamat datang, cikgu!” ucap Daneng. Kalimatnya diselimuti perasaan ketidaksenangan yang timbul tenggelam. Senyumannya memaparkan barisan giginya yang kukuh dan kekuningan.
Jo tersentak. “Apa khabar?” tercetus suaranya.
“Baik. Cikgu baik?”
“Tentu, kalau tidak takkan sampai ke mari. Engkau terima pesanan daripada Isyak?”
“Ya, tetapi tidak sangka cikgu lebih awal…,” ucapnya.


(i) Apakah yang dilihat oleh Jo di pinggiran perkampungan asli itu? (3 markah)

- melihat tubuh Daneng yang kental
- melihat Daneng melompat dari sebuah batu ke sebuah batu yang lain.
- Daneng asyik melompat tanpa menyedari ada orang lain yang memerhatikan gelagatnya.


(ii) Pada pandangan anda, mengapakah fikiran Jo mula bercambah dan ketidakpastian hadir dalam jiwanya? (3 markah)

- dapat melihat kegembiraan hidup di perkampungan orang asli.
- melihat bahawa Daneng perlu berpindah dari perkampungan asli yang tiada kemajuan pendidikan.
- Daneng berhak hidup sebagai penduduk tetap di perkampungan asli itu.

(iii) Jelaskan satu latar masyarakat yang terdapat dalam petikan cerpen ini dan dua latar masyarakat yang terdapat dalam cerpen ini. (3 markah)
- latar masyarakat dalam petikan
Masyarakat orang asli-Daneng dan keluarganya masih tinggal di dalam hutan.
- latar masyarakat dalam cerpen
Masyarakat warga sekolah – rakan sekolah Daneng yang bernama Isyak.
Masyarakat yang prihatin – Cikgu Jo memujuk Daneng supaya meneruskan pelajarannya.

..........................................................................................................................................................................
Soalan 6

(Cerpen Lambaian Malar Hijau)


Baca petikan cerpen di bawah ini dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Daneng menghela nafas panjang. Peristiwa dua puluh lima tahun dahulu itu seakan-akan baharu berlaku sehari dua yang lalu. Dia mengalihkan pandangannya ke araah lelaki tua yang tersandar pada batu besar yang pernah menjadi singgahsana zaman remajanya dahulu.
“Keputusan Datuk Daneng 25 tahun dahulu telah mengubah dunia. Saya cukup bangga dengan kejayaan datuk,” ucap Jo sambil mengelap manik-manik peluh di dahinya yang sudah berkedut itu.
“Cikgu, tolong jangan “berdatuk” dengan saya, siapalah saya di depan cikgu. Kalau tidak kerana cikgu, saya hanya Daneng, anak rimba,” ucap Daneng dengan penuh rasa hormat. Dia merenung wajah gurunya yang sudah diukir garis-garis usia. Suaranya juga agak lemah. Tetapi di sebalik lelaki tua itu, semangat Cikgu Jo masih kental dan kuat. Itulah yang dikagumi Daneng.
“Jasamu akan dikenang sepanjang zaman. Oh, Daneng! Usahamu itu tidak sia-sia. Datuk Daneng telah dapat menyelamatkan belantara ini. Malaysia telah diiktiraf sebagai Negara yang memiliki hutan tropika terbanyak di dunia pada tahun 2020 ini. Negara memiliki lebih daripada 20 juta hektar hutan. Rancanganmu itu telah dapat memulihara, memelihara, dan menambahkan kawasan hutan di Negara kita,” ucap Cikgu Jo sambil merenung lelaki dewasa yang berusia hampir separuh abad itu.
“Engkau telah mendapat Hadiah Nobel, Daneng. Hati tua ini, dilanda ombak kegembiraan mengingati segala kejayaanmu itu. Bukankah kerajaan Brazil juga menjemputmu ke sana untuk membantu memulihkan keadaan hutan Lembangan Amazon?”
Daneng mengangguk. Dia merenung wajah cengkung Cikgu Jo. Air jernih memenuhi kolam matanya.


i) Jelaskan jasa-jasa Daneng kepada negara dan dunia. (3 markah)

- berusaha memulihara dan memelihara hutan hujan tropika di Malaysia.
- memberi kesan kepada pembangunan ekosistem di dunia.
- memulihkan keadaan di Lembangan Amazon


ii) Pada pendapat anda, apakah jasa-jasa Cikgu Jo kepada Daneng? (4 markah)
-mendidik Daneng dengan baik dan dedikasi sehingga berjaya.
- berjaya memujuk dan menasihati Daneng agar meneruskan pelajarannya.
- memberikan dorongan dan semangat lepada Daneng sehingga berjaya dalam hidupnya.

iii) Huraikan satu nilai kemanusiaan yang diketengahkan dalam petikan di atas dan satu nilai kemanusiaan lain berdasarkan seluruh cerpen itu. (3 markah)

- nilai kemanusiaan dalam petikan-
nilai mengenang jasa,Walaupun Daneng bergelar Datuk, beliau maíz menghormati Cikgu Jo.
Nilai merendah diri-Daneng mengatakan siapalah dia tanpa Cikgu Jo.

- nilai kemanusiaan dalam cerpen
nilai sayang alam sekitar, Daneng Amat sayang dan cinta akan keindahan alam sekitar sehingga beliau sukar meninggalkan hutan belantara.


iii) Pada pendapat anda, apakah kepentingan usaha Daneng itu? Berikan ulasan anda.
(3 markah)

- dapat mengekalkan keindahan alam fauna dan flora di bumi ini.
- keseimbanagan ekosistem terjalin
- mempertahankan warisan nenek moyangnya di hutan belantara
- dapat mengekalkan tempat tinggal nenek moyang Daneng turun-temurun.

..........................................................................................................................................................................
Soalan 7


(Virus Zel untuk Abah)


Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan ayat sendiri.

Mama!
“Zel,ma tak pernah halang Zel daripada berjumpa abah.Itu abah Zel.Tetap begitu untuk selamanya.Jangan Zel fikir yang bukan-bukan antara ma dan abah.Itu urusan kami. Apa yang penting,ma hendak lihat hubungan Zel dengan abah,hubungan Zel dengan mama masih seperti dulu.”
Mama!
Aku pernah mendakap mama erat lantas mengucup tangan sejuk mama apabila kata-kata itu menghanyutkan aku ke alam keharuan. Rasanya aku ingin sentiasa dalam pelukan keibuan mama yang tersangat kurasakan darjah perlindungannya. Siapakah aku tanpa mama? Di manakah aku tanpa mama? Bagaimanakah aku tanpa mama?
“Kita harus buktikan kepada semua orang yang kita boleh terus survive tanpa lelaki dalam hidup .Ma bukan hendak mempengaruhi Zel agar menafikan akan kewujudan lelaki dalam hidup Zel.Buktinya mama tak pernah larang Zel daripada berjumpa abah.Tapi dalam keadaan yang menghimpit dan kita terasa dihimpit oleh peristiwa yang berlaku,kita wajar bersikap optimistik:Kita mesti kuat demi untuk hidup,untuk terus berjaya.”


(i) Apakah nasihat mama kepada Zel? (3markah)

-Nasihat Mama untuk Zel ialah
Mama tidak mahu Zel berfikiran buruk atau prasangka terhadap hubungan mama dengan abahnya.
Mama mahu melihat hubungan Zel dengan abahnya seperti dahulu
Mama menasihati Zel supaya bersikap optimis


(ii) Pada pendapat anda,bagaimanakah hubungan Zel dengan abahnya dapat dirapatkan? (3 markah)

Pada pendapat saya hubungan Zel dengan abahnya dapat dirapatkan dengan cara
- Mereka hendaklah sering berjumpa atau menziarahi
- Mereka hendaklah meraikan hari-hari istimewa bersama seperti hari jadi
- Bapanya perlu memberi perhatian yang lebih kepada Zel - Zel dan abah hendaklah sering berhubung.
- Menggunakan abang Awie sebagai orang tengah.


(iii) Jelaskan satu perwatakan Mama berdasarkan petikan di atas dan dua lagi perwatakan yang terdapat dalam cerpen ini? (3 markah)

Perwatakan yang terdapat dalam petikan
- Mama seorang bersikap terbuka. Buktinya,dia mengizinkan Zel untuk bertemu abahnya.
- Berdikari – tidak bergantung kepada suaminya.
- Berani – menghadapi cabaran
- Penyayang – Zel ingin sentiasa berada dalam pelukan Mama.

Perwatakan yang terdapat dalam cerpen
- Mama seorang yang gigih – dia mampu menjadi seorang usahawan wanita yang berjaya.
- Mama seorang yang berpandangan jauh – mama menghantar Zel belajar ke luar negara untuk menimba ilmu/membuka kedai computer.berpegang teguh kepada agama,walaupun sibuk dengan kerjaya,mama bertudung litup dan mengekalkan ciri wanita muslim.

......................................................................................................................................................................

Soalan 8


( Viruz Zel Untuk Abah )


Baca petikan cerpen dibawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Aku menggenggam erat kelima-lima jari kanan. Kuhentak meja, melepaskan geram. Ah, segala-galanya sungguh kejam! Mengapa semuanya itu harus menimpa aku yang tidak berdaya? Aku yang kerap mendengus apabila menerima hempapan konkrit rumit. Sejurus itu kata-kata seorang teman yang setia menyua harapan dan ketenteraman luhur yang tidak terhingga menyinggah.
“ Allah hanya akan menguji hamba-Nya mengikut kekuatan akal dan imannya .Tidak diberatkan dengan apa yang berada di luar daya hamba-Nya. Insya-Allah ada hikmah yang tersirat yang sebenarnya kita sendiri tidak menyedarinya. Percayalah. “

Sebentar itu aku kian melihat menilai dan mentafsir bicara sahabat terbaik yang kini sedang menuntut di Kaherah. Tetapi sebentar itu aku mendengus lagi Ah ,sesiapa sahaja boleh mengucapkannya!Aku yang menelan jadamnya.Aku !
- Abah tak pernah cuba faham perasaan Zel !
- Jangan cakap begitu, Zel. Zel silap…..
- Oh abah , Zel memang selalu silap . Zel memang anak abah yang selalu tak pernah betul. Tapi abah sejak dulu tak pernah cuba untuk mengerti , memahami tentang diri Zel. Tentang keinginan Zel. Tentang harapan Zel. Tentang masa depan Zel.


(i) Apakah maksud Zel apabila dia berkata , Aku yang menelan jadamnya berdasarkan petikan? (3 markah)

Maksud Zel apabila dia berkata “Aku yang menelan jadamnya,Zel yang terpaksa menanggung kepahitan hidup
- Zel yang menempuhi segala musibahnya.


(ii) Apakah ujian terhadap Zel seperti yang disebutkan oleh sahabatnya dalam
petikan di atas? (3 markah)

-Ibu dan ayah Zel bercerai ketika usia Zel masih mentah,iaitu ketika Zel berusia 10 tahun
-Ayahnya telah berkahwin semula selepas bercerai dengan mama dan mempunyai keluarga baru
-Tambahan pula,Zel mempunyai tiga orang saudara tiri yang tidak memahami dirinya dan bersikap kebudak-budakan


(iii) Huraikan dua nilai murni yang terpancar dalam petikan cerpen di atas dan satu nilai lagi daripada keseluruhan cerpen tersebut (3 markah)

Dua nilai murni dalam petikan cerpen :
- Nilai setia kawan.Buktinya menerusi rakan baik Zel,Win yang berusaha menyedarkan Zel yang ingin membalas dendam terhadap ayahnya sendiri
- Nilai yakin akan takdir Tuhan juga turut terpapar. Buktinya sahabat Zel,Win sering mengingatkan Zel supaya yakin bahawa segala dugaan Allah terhadap dirinya disertakan dengan hikmahnya tersendiri.

Nilai dalam cerpen
- nilai kasih sayang .Buktinya,Mama amat menyayangi anaknya Zel dan dia sentiasa memberi dorongan dan .semangat apabila Zel berhadapan dengan masalah
Nilai bertanggungjawab – mama membenarkan Zel bertemu abahnya.
Nilai kegigihan – mama Zel membosankan Zel seorang diri.


.........................................................................................................................................................................
Soalan 9


( Virus Zel untuk Abah)


“Komputer Powerbook 165c ini mempunyai reputasi sebagai komputer yang jauh lebih bertenaga daripada kebanyakan komputer desktop utama di pasaran .Zel tahu powerbook ini boleh menampung sehingga 14 megabyte RAM untuk Zel bekerja dengan pelbagai penggunaan pada satu masa”, terang mama yang sedang sibuk menilik-nilik katalog yang terlampir .Dalam usianya mencecah 45 tahun ,aku sesungguhnya bangga mempunyai seorang mama yang berkebolehan dalam bidang komputer . Mama bukan sekadar menjadi pengedar peralatan komputer tetapi bijak tentang apa sahaja dalam dunia komputer.

“ Mama kau itu advanced. Patutlah abah kau rasa inferior.” Pernah Win berbisik begitu apabila kami terserempak dengan ma di ruang legar pusat membeli- belah di bandar. Ketika itu ma sedang sibuk mengadakan pameran komputer Powerbook terbarunya.

“Apa maksud kau ?” Aku menarik lengan Win , mengajaknya keluar dari ruang legar menerusi pintu automatic.
“ Yalah,lelaki mana yang tak rasa tercabar apabila lihat wanita berjaya begitu, lebih-lebih lagi wanita itu isterinya.”


(i) Apakah maksud rangkai kata sibuk menilik-nilik katalog yang terlampir? (3 markah)
Maksud sibuk menilik-nilik katalog yang terlampir ialah sedang asyik meneliti risalah yang dipaparkan


(ii) Jika anda seorang ayah, apakah tanggungjawab sebagai ketua keluarga? (3 markah)
Jika saya seorang ayah Zel,tanggungjawab sebagai ketua keluarga :
- memberi pendidikan dunia (akademik) dan akhirat(keagamaan) kepada anak-anak.
- memberi perhatian dan kasih saying yang sama rata.
- selalu mengajak anak-anak berbual/berbincang tentang masalah mereka.
- mengetahui siapa rakan-rakan anak mereka.
- memastikan anak-anak ke mana pergi jika keluar rumah.


(iii) Berikan dua pengajaran yang dapat diperoleh daripada petikan di atas dan satu pengajaran lain daripada cerpen ini ? (3 markah)

Dua pengajaran yang dapat diperoleh daripada petikan ialah
- kita tidak harus berasa terlalu rendah diri.
Contoh:Bapa Zel tidak perlu berasa rendah diri.
- kita hendaklah sentiasa berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi..
Contohnya, Zel perlu tabah dan berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

Daripada Cerpen:
- Kita hendaklah menjadi ibu/ayah yang bertanggungjawab. Buktinya mama membesarkan Zel walaupun seorang diri.
- Kita hendaklah menghormati ibu/ayah . Zel menghormati ayahnya walaupun tidak tinggal bersama.


..........................................................................................................................................................................