Friday, July 3, 2009

Koleksi Soalan Prosa Klasik 2009

Latihan Prosa Klasik SPM 1

(Cerita Bayan Tiada Menurut Kata Ibu Bapanya)

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Setelah didengar oleh bayan titah raja itu, maka sahutnya,”Hai,raja besar yang berakal, sempurna bicaranya, duli yang mulia, belilah juga patik ini, supaya penyakit duli syah alam ini patik ubati! Insya-Allah Taala nescaya hilanglah penyakit tuanku itu.”
Setelah didengar oleh raja demikian itu, maka dibelilah oleh raja dengan harga empat ribu dinar. Setelah sudah, maka penyakit sopak raja itu pun diubati oleh bayan itu. Maka penyakit itu pun sembuhlah dengan kurnia Allah Subhanahuwataala, pulanglah seperti dahulu kala dengan sempurnanya. Maka pun terlalu amat sukacita melihat penyakitnya sembuh itu.
Hatta, beberapa lamanya maka bayan itu pun berdatang sembah, ” Ya tuanku, jikalau ada ampun kurnia duli syah alam akan patik, mohonlah dilepaskan patik, kerana patik hendak melihat anak bini patik, kerana lamanya sudah bercerai.”

(i) Apakah maksud rangkai kata dengan kurnia Allah Subhanahuwataala dalam petikan di atas.
• Melalui izin tuhan
• Melalui kehendak tuhan/Allah
[2 markah]

(ii) Apakah permintaan bayan kepada tuanku duli syah alam? Nyatakan alasan yang diberikan oleh bayan.
• Bayan meminta agar tuanku melepaskannya/membebaskannya
• Bayan mohon simpati dan belas kasihan raja untuk melepaskannya- alasannya;
• kerana bayan ingin berjumpa dengan anak isterinya.
• Kerana mereka sudah lama terpisah
[3 markah]

(iii) Sekiranya anda tuanku duli syah alam, apakah tindakan anda terhadap permintaan bayan?
Berikan alasan anda.
Melepaskan bayan - alasan;
• Bersimpati dan belas kasihan terhadap bayan yang telah lama tidak berjumpa keluarganya.
• Memberi peluang kepada bayan berjumpa keluarganya
• Membalas jasa bayan yang telah mengubati penyakit sopak saya.
• Agar saya dihormati sebagai seorang raja yang adil dan penyayang

Tidak melepaskan bayan - alasan;
• Bayan seekor burung yang bijak dan sukar dicari ganti
• Saya takut penyakit sopak itu akan berulang dan tiada yang akan mengubatinya.
• Saya terpesona dengan kelebihan/keistimewaan bayan.
• Supaya saya seorang sahaja yang mempunyai burung yang istimewa ini.
• Hobi saya memelihara burung.
[3 markah]

(iv) Gambarkan perwatakan tuanku duli syah alam mengikut pandangan bayan.
• Seorang raja yang bijaksana.
• Seorang raja yang berkuasa.
• Seorang raja yang berbudi pekerti mulia.
• Seorang raja yang pandai berkata-kata.
• Seorang raja yang berbudi bahasa. [3 markah]

...........................................................................................................................................
Latihan Prosa Klasik SPM 2

(Cerita Bayan Tiada Menurut Kata Ibu Bapanya)

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Maka kata serigala, ”Jikalau demikian apabila datang budak itu, janganlah engkau lari, jikalau dekat budak itu, maka engkau larilah sedikit-sedikit hingga sampai kepada lubang tempat bayan itu tinggal, apabila dilihat oleh budak itu, akan anak bayan itu, nescaya diambilnyalah akan anak bayan itu dengan senangnya.”
Hatta, maka budak itu pun datanglah pula. Maka dilihatnya cerpelai itu pun ada lagi, maka diusirnya. Apabila dilihat oleh cerpelai budak itu menghampiri dia, maka ia pun berlari perlahan-lahan kepada tempat sarang bayan itu. Apakala dilihat oleh budak itu sarang bayan itu maka budak itu pun pulanglah ke rumahnya.
Setelah hari pun malamlah, ia pun datang kepada sarang bayan itu. Lalu ditutupnya lubang bayan itu. Setelah hari siang, maka burung bayan itu pun hendak keluar, dilihatnya pintu lubangnya tumpat ditutup orang. Maka kata bayan, ”Hai anakku, apatah kataku? Bahawa sesungguhnya bencana ini daripada cerpelai juga datangnya, tetapi marilah kita muafakat, apabila datang budak itu hendak mengambil kita, maka kita bermatikan diri kita.”

(i) Apakah maksud rangkai kata kita bermatikan diri kita dalam petikan di atas.
• Kita mendiamkan diri
• Kita tidak bergerak
• Kita tidak mengeluarkan suara.
• Kita berpura-pura pengsan.
[2 markah]
(ii) Apakah arahan serigala kepada cerpelai?
• Apabila datang budak itu
• Janganlah engkau lari/engkau jangan lari
• Apabila budak itu semakin dekat
• Engkau larilah sedikit-sedikit/perlahan-lahan
• Hingga sampai ke sarang bayan.
[3 markah]

(iii) Nyatakan tindakan yang dilakukan oleh budak itu setelah didapati terdapat sarang bayan di situ?
• Budak itu pulang ke rumah.
• Tunggu sehingga hari malam
• Pergi ke sarang bayan
• Menutup lubang rumah/sarang bayan
• Tunggu hari siang
[3 markah]

(iv) Apakah cadangan bayan untuk menyelamatkan keluarganya?
• Bermuafakat/bekerjasama
• Memberi arahan/pesanan kepada ahli keluarganya
• berpura-pura mati
[3 markah]

(v) Pada pendapat anda, mengapa kita perlu memilih dan berkawan dengan rakan yang baik?
• Supaya kita menjadi orang yang baik juga.
• Supaya kita tidak melakukan kejahatan/jenayah.
• Supaya kita dihormati
• Supaya kita mempunyai ramai kawan/sahabat/kenalan.
• Supaya kita mendapat balasan yang baik
• Supaya ibu bapa tidak risau
[3 markah]

......................................................................................................................................................
Latihan Prosa Klasik SPM 3
(Cerita Bayan Tiada Menurut Kata Ibu Bapanya)

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Maka kata tabib kepada saudagar itu, ”Ada pun luka anak tuan hamba ini, jika beroleh hati anak kera itu, sembuhlah.”
Setelah anak saudagar mendengar kata tabib demikian, maka katanya, ” Meski hamba mati sekali pun, bahawa sesungguhnya tiadalah hamba mahu membunuh anak kera itu.”
Setelah dilihat oleh saudagar itu luka anaknya itu tiada juga mahu sembuh lagi, maka saudagar itu pun berfikir di dalam hatinya. ” Baiklah apabila datang anak kera itu, ku bunuh.”
Syahadan, pada suatu hari, datanglah anak kera itu hendak bermain-main dengan anak saudagar itu seperti adat sedia kala juga, maka segera ditangkap oleh saudagar dan dibunuh akan dia, diambilnya hatinya lalu diubatkan anaknya itu. Maka luka anak saudagar itu pun sembuhlah. Demikianlah ceritanya.
Maka kata bayan itu, ” Demikianlah kejahatan orang yang tiada menurut kata ibu bapanya.”


(i) Apakah maksud rangkai kata seperti adat sedia kala juga dalam petikan di atas.
• Kembali kepada keadaan asal.
• Sebagaimana keadaan sebelumnya.
[2 markah]
(ii) Bagaimanakah saudagar mengubati luka anaknya?
• Berjumpa tabib
• Menerima cadangan tabib
• Menangkap anak kera
• Membunuh anak kera
• Mengambil hati anak kera
• Mengubati anaknya/memberi anaknya makan hati anak kera
[3 markah]

(iii) Apakah reaksi anak saudagar setelah mendengar cadangan tabib untuk mengubati lukanya?
• Tidak bersetuju dengan cadangan itu.
• Tidak mahu membunuh anak kera/sahabatnya.
• Lebih rela mati/sanggup berkorban nyawa.

[3 markah]
(iv) Pada pendapat anda, apakah kesan jika kita tidak mematuhi perintah ibu bapa?
• Dimarahi oleh ibu bapa.
• Berdosa.
• Menerima balasan yang tidak baik.
• Dicemuh oleh masyarakat.
• Tidak mendapat keberkatan.
• Hubungan kekeluargaan menjadi renggang.
[3 markah]
...................................................................................................................................

Latihan Prosa Klasik SPM 4
(Pertarungan Tuah dengan Jebat)

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan ayat anda sendiri.

Setelah Hang Jebat mendengar suara Laksamana itu, maka ia pun membuka pintu itu sedikit; maka dilihatnya Laksamana, diperamat-amatinya, dikenalnya itu Laksamana. Maka nyatalah Laksamana itu. Maka Hang Jebat pun hairan.

Maka dilihatnya oleh Laksamana Hang Jebat membuka pintu istana itu, maka Laksamana pun menyingsing tangan bajunya. Maka kata Laksamana,”Cih, Si Jebat derhaka! Mari engkau olehku!” Maka Hang Jebat pun segera menutup pintu istana itu seraya berkata ,”Siapa engkau yang datang hendak bertikam dengan dengan aku itu dan siapa namamu?” Maka kata Laksamana, “Hai Si Jebat derhaka, takutkah engkau akan aku bertanya? Akulah Laksamana, baharu datang dari berguru di Hulu Melaka.” Maka sahut Jebat, “Hai Laksamana, bahawa aku tiada takut akan engkau! Kudengar engkau sudah dibunuh oleh Bendahara; sebab itulah maka aku hairan.” Maka kata Laksamana, “Aku Hang Tuah dititahkan Duli Yang Dipertuan membunuh engkau, kerana aku tiada mati; aku ditaruh oleh Bendahara di Hulu Melaka.”

Setelah Hang Jebat mendengar kata Laksamana demikian, maka ia pun hairan,seraya berkata, “Hai orang kaya Laksamana, keranamulah maka aku berbuat pekerjaan ini! Pada bicaraku, engkau tiada dalam dunia ini lagi. Jika aku tahu akan engkau ada hidup, demi Allah dan Rasulnya, tiada aku berbuat pekerjaan ini.” Maka kata Laksamana, “ Hai Si Jebat , menyesalkah engkau?”

(i) Apakah maksud rangkai kata tiada aku berbuat pekerjaan ini seperti yang terdapat
dalam petikan?
[2 markah]
• Saya tidak melakukan perbuatan ini.
• Saya tidak melakukan perkara/pekerjaan ini.

(ii) Mengapakah Hang Jebat berasa hairan apabila ternampak Laksamana?
[2 markah]
• Hang Jebat tidak sangka Hang Tuah masih hidup.
• Hang Jebat menyangka Laksamana telah dibunuh oleh Bendahara.

(iii) Gambarkan tindakan Laksamana setelah Hang Jebat membuka pintu istana.
[3 markah]
• Laksamana menyingsing tangan bajunya.
• Laksamana mengajak Hang Jebat berlawan/menghampirinya.
• Laksamana mencabar Hang Jebat.
• Laksamana menanyakan sama ada Hang Jebat takut menghadapinya.

(iv) Sekiranya anda Hang Tuah, sanggupkah anda membunuh Hang Jebat?
Berikan alasan anda.
[3 markah]
Sekiranya saya Hang Tuah, saya tidak sanggup membunuh Hang Jebat kerana
• dia adalah sahabat saya.
• Dia telah saya anggap seperti saudara kandung.
• Hang Jebat menderhaka kerana sultan zalim terhadap saya yang tidak bersalah.
• Hang Jebat menderhaka terhadap sultan kerana ingin menuntut bela atas kematian saya.

Sekiranya saya Hang Tuah, saya sanggup membunuh Hang Jebat kerana
• Hang Jebat telah menderhaka terhadap sultan.
• Hang Jebat telah membunuh ramai orang yang tidak berdosa.
• Hang Jebat melakukan tindakan melulu tanpa menyiasat atau berbincang.
• Hang Jebat telah mengusir sultan dari istana.

(v) Apakah tindakan yang dilakukan oleh Hang Jebat setelah mendengar suara
Laksamana?
[3 markah]

Tindakan yang dilakukan oleh Hang Jebat setelah mendengar suara Laksamana ialah
• Dia membuka pintu sedikit.
• Dia melihat serta memerhati Laksamana.
• Hang Jebat menutup pintu semula.
• Hang Jebat bertanya tentang orang yang hendak bertikam dengannya.

............................................................................................................................................

Latihan Prosa Klasik SPM 5

(Pertarungan Tuah dengan Jebat)

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Maka kata Laksamana, “ Sungguh seperti katamu itu; pada hatikupun demikianlah. Sayang engkau berdosa. Jika lain daripada dosa ini, tiada engkau mati, barang tipunya dayaku pun kuperlepaskan juga engkau daripada mati, “ Maka Hang Jebat pun menangis mendengar kata Laksamana demikian itu. Maka Laksamana pun menangis kasihan hatinya akan Hang Jebat. Maka kata Hang Jebat, “Aku pun kerana melihat engkau dibunuh oleh Bendahara tiada dosanya ; sebab itulah maka sakit hatiku . Akan istimewa aku pula orang permainan tiada akan dibunuhnya, kerana raja itu membunuh tiada dengan periksanya. Pada bicara hatiku, sedang engkau banyak kebaktian dan jasamu lagi dibunuhnya oleh raja, istimewa aku pula. Sebab pun kuperbuat demikian ini sepala-pala nama jahat jangan kepalang, seperti pantun Melayu, rosak bawang ditimpa jambaknya; maka sempurnalah nama derhaka dan nama jahat.” Maka kata Laksamana “Sungguh seperti katamu itu, tetapi akan kita diperhamba raja ini hendaklah pada barang sesuatu pekerjaan itu dibicarakan sangat-sangat, seperti kata orang tua-tua: Baik mati dengan nama yang baik ,jangan hidup dengan nama yang jahat, supaya masuk syurga jemah.”


(i) Apakah maksud rangkaian kata sepala-pala jahat nama jangan kepalang seperti yang terdapat dalam petikan?
[2markah]
• Alang-alang telah dianggap jahat, biarlah terus melakukan kejahatan.
• Alang-alang telah dianggap jahat, biarlah betul-betul jahat.

(ii) Mengapakah Laksamana berasa sedih ketika bertarung dengan Hang Jebat?
[3 markah]
• Mereka telah bersahabat sejak kecil.
• Mereka telah membesar bersama-sama.
• Hubungan mereka sangat rapat seperti saudara.
• Terpaksa membunuh Hang Jebat yang telah menderhaka terhadap sultan.

(iii) Pada pendapat anda, sekiranya dosa lain yang dilakukan oleh Hang Jebat, apakah cara yang boleh dilakukan oleh Hang Tuah untuk melepaskan Hang Jebat daripada hukuman mati?
[3 markah]
• Mencadangkan kepada sultan agar mengampunkan Hang Jebat yang telah banyak berjasa kepada negara.
• Meminta Hang Jebat menyerah diri.
• Mencadangkan Hang Jebat memohon ampun daripada sultan.
• Menjelaskan kedudukan sebenar tentang punca Hang Jebat menderhaka terhadap sultan.

(iv) Mengapakah Laksamana kurang bersetuju dengan pendapat Hang Jebat yang mengatakan sepala pala nama jahat jangan kepalang.
[3 markah]
• Kita perlu berfikir sebelum melakukan sesuatu.
• Lebih baik mati dengan nama yang baik
• Kita perlu berbuat baik supaya boleh masuk syurga.
• Supaya tidak dimusuh oleh orang lain.


(v) Pada pendapat anda, mengapa kita perlu berkelakuan baik sepanjang hayat.
[3 markah]
• Kita perlu menjaga nama baik/ maruah diri
• Kita perlu berbuat baik supaya dikenang orang.
• Supaya menjadi contoh kepada orang lain.
• Supaya dapat menabur bakti kepada masyarakat dan negara.
• Supaya mendapat balasan yang baik di akhirat.
• Supaya dihormati oleh masyarakat.

...........................................................................................................................................

Latihan Prosa Klasik SPM 6

(Pertarungan Tuah dengan Jebat)

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


“Hai saudaraku , kerana keris ini kerisku dianugerahkan oleh Betara Majapahit; sebab itulah maka aku ambil pula daripadamu! Maka sahut Hang Jebat , “Hai Laksamana, manatah katamu hulubalang besar lagi berani ternama? Sekarang membunuh aku tiada bersenjata. Jika tiada mahu engkau membunuh aku tiada berkeris, pintalah aku keris yang lain supaya kita bertikam, supaya aku bangat mati dengan senjata, supaya masyhurlah namamu.”

Maka oleh Laksamana dihunusnya penduanya dilontarkannya pada Hang Jebat. Melihat Laksamana melontarkan keris penduanya itu, maka segera disambutnya lalu dihunusnya. Maka keris parung sari bertatah sampai ke hujung, loknya tujuh belas, terlalu baik rupanya dan kukuhnya dan tajamnya seperti getah. Maka kata Hang Jebat, “Hai Laksamana, baik-baiklah engkau menantikan tikam Si Jebat derhaka ini!” seraya diusirnya akan Laksamana lalu ditikamnya di dada Laksamana. Maka Laksamana pun tiada sempat menghunus kerisnya. Maka oleh Hang Jebat dipertubi-tubinya tikam akan Laksamana . Maka Laksamana pun segera menghunus kerisnya serta berguling di atas talam itu. Maka oleh Hang Jebat pun lelah, tetapi sungguhpun Laksamana berguling mata kerisnya ke atas juga. Syahadan keris Hang Jebat pun sebagai lekat pada talam itu. Arakian maka, “cih, mati engkau olehku!” Maka melompat serta ditikamnya dada Hang Jebat, kena dadanya terus bayang-bayang ke belakangnya.


(i) Terangkan maksud rangkai kata supaya masyhurlah namamu dalam petikan di atas.
[2 markah]
• Agar namanya menjadi terkenal
• Agar namanya dikenali

(ii) Gambarkan keadaan keris parung sari.
[3 markah]
• Sebilah keris yang bertatah sampai ke hujung.
• Mempunyai 17 lok.
• Sangat cantik.
• Kukuh.
• Sangat tajam.

(iii) Mengapakah Laksamana melontarkan keris penduanya kepada Hang Jebat?
[3 markah]
• Hang Jebat tidak mempunyai keris/ kerisnya telah diambil oelh Hang Tuah.
• Hang Jebat meminta pengganti kerisnya yang telah diambil oleh Hang Tuah.
• Supaya mereka dapat bertikam.
• Supaya Hang Jebat mati ketika bertarung.
• Hang Tuah tidak mahu berlawan dengan lawan yang tidak mempunyai senjata.


(iv) Setelah lama bertarung, akhirnya Hang Tuah dapat menewaskan Hang Jebat. Berdasarkan petikan di atas, nyatakan bagaimana Hang Tuah dapat menewaskan Hang Jebat .
[3 markah]
• Keris Hang Jebat terlekat pada talam.
• Hang Tuah menikam dada Hang Jebat.
• Kena pada dada Hang Jebat .


(v) Pada pendapat anda, wajarkah Hang Jebat dibunuh oleh Hang Tuah? Berikan alasan anda.
[3 markah]
Wajar

• Hang Jebat telah menderhaka terhadap sultan.
• Hang Jebat membunuh ramai orang yang tidak berdosa.
• Hang Jebat bermaharajalela di istana.
• Hang Jebat melakukan perbuatan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.
• Menjalankan perintah/titah sultan.
• Untuk menunjukkan kesetiaannya terhadap sultan.

Tidak wajar

• Hang Jebat banyak berjasa kepada negara.
• Mereka rakan karib/seperti saudara kandung.
• Hang Jebat menuntut bela atas kematian Hang Tuah.
• Hang Jebat menentang ketidakadilan/kezaliman sultan.

...........................................................................................................................................
Latihan Prosa Klasik SPM 7

(Sabor)

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Maka segala makmum pun takbirlah. Baharulah imam membaca fatihah, maka sipahi yang keempat itu pun datanglah lalu diparangnya leher jauhari itu putus terpelanting pada kaki Jibor itu. Maka Jibor pun terkejut lalu ia melompat. Maka segala orang yang sembahyang itu pun habis pecahlah lari. Maka sembahyang itu pun menjadi batallah, sekalian makmum itu pun pecah belah, tiada berketahuan, hanya yang tiada batal itu imam dengan Sabor juga. Setelah tamatlah sembahyang kedua mereka itu, maka Sabor pun baharulah tahu akan fitnah itu daripada Saidah juga.
Maka Jibor pun terlalu hairan melihat Sabor tiada mati, sekonyong-konyong akan jauhari juga mati, maka adalah ia berdosa dari dahulu dengan Saidah itu; sebab itulah mati. Maka lalu Jibor pun berfikir di dalam hatinya, “takut benar juga saudaraku Sabor itu; maka ia dilepaskan Allah subhanahu wataala daripada bala ini.”
Maka segala keluarga jauhari pun datanglah dengan keris lembing mahu bertanya kepada Jibor. Maka kata Jibor, “tiada hamba ketahui.”
Maka mayat jauhari itu pun diambil oranglah dibawanya ke rumahnya itu, seraya menyiasat orang membunuh jauhari itu. Maka tiadalah dapat orang membunuh itu. Maka mayat jauhari pun ditanamkan oranglah, seperti cara agama Islam.

(i) Apakah yang dimaksudkan dengan frasa takut benar juga saudaraku Sabor itu.
[2 markah]
 Mungkin Sabor betul / tidak bersalah / tidak berdosa

(ii) Apakah yang dimaksudkan dengan frasa sekalian makmum itu pun pecah belah.
[2 markah]
 Semua pengikut imam itu pun huru-hara / kacau bilau

(iii) Apakah yang terjadi setelah jauhari mati dibunuh?
[3 markah]
 Keluarga jauhari datang dengan keris lembingnya dan bertanya kepada Jibor
 Orang ramai membawa mayat jauhari ke rumahnya
 Mereka menyiasat orang yang membunuh jauhari
 Orang ramai mengebumikan mayat jauhari mengikut cara Islam

(iv) Nyatakan keadaan yang berlaku ketika jauhari mati dibunuh?
[3 markah]
 Jibor terkejut lalu melompat
 Semua orang yang bersembahyang bertempiaran lari
 Makmum terbatal sembahyangnya
 Imam dan Sabor sahaja yang meneruskan sembahyang

(v) Jika anda berada di tempat kejadian, apakah bantuan yang dapat anda berikan selepas berlaku pembunuhan tersebut?
[3 markah]
 Menyabarkan / menenangkan keluarga jauhari
 Membantu menguruskan jenazah jauhari
 Membantu membersihkan kawasan / tempat pembunuhan
 Membuat laporan kepada pihak berkuasa

.......................................................................................................................................
Latihan Prosa Klasik SPM 8

(Sabor)

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Maka kata Saidah dengan tangisnya, “sebab pun hamba demikian ini daripada tiada hamba mahu memalingkan muka hamba daripada tuan hamba, yang niat hamba kepada Allah subhanahu wataala kepada siang dan malam dan hendak mati di bawah kadam tuan hamba juga. Daripada sangat belas hati hamba, maka hamba katakan rahsia ini kepada tuan hamba. Inilah hal saudara tuan hamba yang diharapkan itu. Hamba dapati afalnya itu selama ia diam pada kita di sini. Maka hari pun malamlah sudah, maka pada ketika awal dinihari tuan hamba pun tatkala tidur tiada sedarkan diri, tatkala itu hamba sakit perut hendak qada hajat, maka hamba pun pergi pada tempat buang air seni. Setelah sudah hamba buang air seni itu, maka hamba pun keluar hendak kembali. Maka dipegang oleh Sabor tangan hamba. Maka hamba pun hendak berteriak, maka dihunusnya jambiahnya hendak menikam; daripada hamba takutkan mati, maka hamba pun diamlah. Maka hendak dicabulinya hamba, maka hamba pun tiada mahu pula, daripada hamba takut akan Allah taala dan takut akan tuan hamba, malulah hamba, baiklah hamba mati dibunuhnya sekalipun, daripada derhaka akan tuan hamba”.

(i) Apakah maksud rangkai kata Hamba dapati afalnya berdasarkan petikan di atas?
[2 markah]
 Saidah sedar akan perangai / kelakuan / sikap / perbuatan Sabor

(ii) Apakah maksud rangkai kata hendak qada hajat berdasarkan petikan di atas?
[ 2 markah]
 Mahu / ingin membuang air

(iii) Apakah perkara yang diceritakan oleh Saidah kepada Jibor?
[3 markah]
 Ketika dinihari, Saidah hendak buang air di bilik air, tangannya dipegang oleh Sabor.
 Saidah cuba menjerit tetapi Sabor mengancam untuk menikamnya dengan jambiah.
 Sabor cuba mencabul kehormatan Saidah tetapi dia dapat mengelak kerana takut akan Allah dan suaminya
 Saidah rela mati daripada dicabuli

(iv) Sekiranya anda Sabor, apakah tindakan anda untuk membela diri terhadap tuduhan Saidah?
[3 markah]
 Bertemu dan berbincang / bersemuka dengan suami Saidah untuk menerangkan keadaan yang sebenarnya
 Menggunakan khidmat dan pandangan / pertolongan ahli keluarga lain / nasihat tokoh agama / kadi untuk menjelaskan kedudukan yang sebenarnya.
 Menggunakan saluran undang-undang / pengadilan / membawa kes ke mahkamah untuk menangkis dakwaan
 Mengemukakan saksi yang dapat menyangkal dakwaan Saidah.


(v) Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan fitnah ke atas seseorang?
[3 markah]
 Maruah diri dan keluarga mangsa fitnah tercemar / tercalar
 Seseorang itu akan dipandang hina / serong oleh masyarakat
 Seseorang akan mengalami tekanan jiwa / perasaan
 Menimbulkan perselisihan faham antara kedua-dua pihak
 Menjejaskan masa depan mangsa fitnah / kerjaya akan terjejas
.....................................................................................................................................

Latihan Prosa Klasik SPM 9

(Sabor)

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Hatta, maka Jibor pun mengeluarkan suatu kopiah buatan Rom, terlalu baik rupanya lagi ajaib: halusnya seperti roma cucuk telinga rasanya tatkala dipegang, demikianlah halusnya. Adalah harganya seribu dinar. Lalu dibawanya kepada Sabor. Maka kopiah itu pun diberikannya disuruh pakai kepada Sabor akan hendak menyukakan hati Sabor. Maka kopiah itu pun dipakai oleh Sabor. Maka Sabor pun hendak mengatakan hal Saidah itu kepada saudaranya Jibor, (maka ia pun sangat malu rasanya).

Maka Jibor pun segera pergi pada suatu tempat sunyi. Maka disuruhnya panggil empat orang sipahi seraya diberinya seratus dinar pada seseorang, katanya “Apabila waktu Maghrib sekarang, segala orang pergi sembahyang ke dalam masjid, tatkala itu barang siapa memakai kopiah kaulihat buatan Rom, maka kamu penggal lehernya, tatkala ia pergi sembahyang orang bertandakan kopiah itu.”

Maka kata sipahi, “Baiklah, tuan hamba,” serta dengan takzimnya.

(i) Apakah maksud rangkai kata terlalu baik rupanya lagi ajaib berdasarkan petikan di atas?
[2 markah]
 sangat / amat berkualiti / bermutu tinggi serta aneh / luar biasa / unik / istimewa

(ii) Nyatakan perkara-perkara yang perlu dilakukan oleh sipahi sebagaimana arahan Jibor.
[3 markah]
 Menanti masuk waktu Maghrib
 Memerhati semua orang yang pergi bersembahyang di masjid
 Mengenal pasti orang yang memakai kopiah buatan Rom
 Memenggal leher orang yang memakai kopiah buatan Rom

(iii) Sekiranya anda Jibor, apakah tindakan-tindakan lain yang boleh diambil terhadap Sabor?
[3 markah]
 Menyiasat / menyelidik / mencari bukti terlebih dahulu
 Bersemuka dan berbincang dari hati ke hati dengan Sabor
 Mencari saksi yang boleh mengesahkan kejadian / peristiwa
 Menunaikan solat hajat / berdoa kepada tuhan

(iv) Pada pendapat anda, adakah wajar tindakan Jibor mengarahkan sipahi membunuh Sabor?
Berikan alasan-alasan anda.
[3 markah]
 Wajar
o Jibor terlalu sayang dan percaya akan kata-kata isterinya
o Sabor dikatakan telah melakukan perkara yang tidak baik terhadap isterinya
o Untuk menjaga maruah dirinya sebagai seorang suami.
o Memberikan pengajaran kepada orang lain supaya tidak melakukan perkara yang tidak baik kepada isteri orang

 Tidak wajar
o Tindakan Jibor terlalu terburu-buru / melulu tanpa menyiasat terlebih dahulu
o Mengambil nyawa orang lain dengan sewenang-wenangnya
o Tindakan Jibor akan menyebabkan dirinya dikenakan tindakan undang-undang
o Mengganggu gugat hubungan kekeluargaan kerana Sabor ialah saudara kepada Jibor

(v) Pada pendapat anda, mengapakah Jibor memberikan kopiah Rom kepada Sabor?
[3 markah]
 Untuk mengambil hati Sabor
 Memudahkan sipahi mengecam Sabor
 Supaya Sabor boleh menggunakan kopiah Rom ketika bersembahyang di masjid
 Supaya Sabor bersangka baik terhadap diri dan keluarganya

..................................................................................................................................
Latihan Prosa Klasik SPM 10

(Kepahlawanan Tun Beraim Bapa)

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan perkataan anda sendiri.

Setelah hari pun sianglah, maka Tun Beraim Bapa pun bersabda kepada bendaharinya bernama Dara Sipir. “Hai Dara Sipir, pipiskan aku olehmu bedak dan ramaskan limau. Aku hendak mandi dengan segala mamakku dan guruku.” Maka Dara Sipir pun membuka peti lawang pemipis bedak dan meramas limau dan dicampurinya dengan kejamas. Maka Tun Beraim Bapa pun berbedak dan berlimau dengan segala hulubalangnya dan segala gurunya. Maka lalulah segala mereka itu ke sungai sempang. Setelah sudah baginda mandi, lalu kembali ke istananya, maka Tun Beraim Bapa pun menyuruh membukakan sebuah peti mengeluarkan segala pakaian akan menganugerahi persalinan kain yang indah-indah akan mamaknya dan abangnya dan segala hulubalangnya.

Maka Tun Beraim Bapa pun memakailah ia, pertama berkain sutera kuning lai bayan-bayan, berpunca warna murup bertepi emas dipahat bersiratkan emas dikara berambu berdani bandi bergiring-giring di puncanya dan berbaju sinar matahari, berkancing mega berterapan berpermata podi merah, dan bertengkolok warna china kepelukan betepi emas berpermata bersirat berambukan mutiara; dan berkamar berkilat bahu, dan berpontoh bernaga tujuh belit; dan berkeris dengan manikam bersarungkan emas, dan menyandang pedang halilintar dan mengenakan s.ng.k.n.k.s. berpermata dan menyangkutkan busar yang keemasan pada bahu kirinya.


(i) Berikan maksud frasa pipiskan aku olehmu bedak yang terdapat dalam petikan.
• Dara Sipir diminta menggiling bedak untuk kegunaan Tun Beraim Bapa

(2 markah)

(ii) Berikan maksud frasa menganugerahi persalinan yang terdapat dalam petikan.
• Menghadiahkan pakaian.
(2 markah)

(iii) Apakah yang disuruh oleh Tun Beraim Bapa kepada Dara Sipir sebelum baginda mandi di sungai sempang?
• Menggiling bedak
• Meramas limau
• Menyediakan bedak dan air ramasan limau untuk kegunaan Tun Beraim Bapa
• Memasukkan kejamas dalam bedak dan air ramasan limau.
(3 markah)

(iv) Gambarkan tengkolok yang dipakai oleh Tun Beraim Bapa?
• Dihiasi mutiara yang berjurai
• Berwarna merah
• Dikelilingi emas
• Dikelilingi permata
(3 markah)

(v) Pada pendapat anda, mengapakah Tun Beraim Bapa memakai pakaian yang indah?
• Baginda ingin mempamerkan pakaiannya yang cukup istimewa.
• Baginda ingin dirinya kelihatan paling menarik dalam kalangan semua orang.
• Baginda ingin membuat pertunjukan di hadapan semua mamak dan gurunya.
• Baginda ingin mengadap sultan.
(3 markah)
..............................................................................................................................................
Latihan Prosa Klasik SPM 11

(Kepahlawanan Tun Beraim Bapa)

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan perkataan anda sendiri.

Maka lalu genderang serama pun dipalu orang dengan serunai serama terlalu gemuruh bunyinya, maka baginda ber.t.hu.an. dengan seorang gurunya Pahlawan Kampung Bedil, A.n.i.a.m. nama seramanya. Maka baginda berbahasa pula dengan seorang gurunya Pendekar Ali Pulau Kukur seraya baginda berserama Puspa Ragam nama seramanya kemanis-manisan. Maka baginda bebahasa pula dengan seorang gurunya Pahlawan Kampung Bangka. Maka dilontarkannya kelambir kotai lalu diparangnya oleh Tun Beraim Bapa penggal dua kelambir itu sebelah ghaib tiada kelihatan, dan sebelah terhantar di bumi penuh dengan airnya. Maka berbahasa pula baginda dengan gurunya pahlawan Kampung Langgar. Maka diparangkannya oleh Tun Beraim Bapa penggal dua sebelah ghaib tiada kelihatan dan sebelah terhantar ke bumi. Maka berbahasa pula baginda dengan gurunya pendekar Ali Kampung China. Maka dihujamkannya sepohon pisang; maka lalu dipancungnya oleh Tun Beraim Bapa dari atas pucuknya lalu ke bawah tiada rebah. Maka tatkala ditiup angin, maka rebahlah pohon pisang itu penggal empat.

Maka Tun Beraim Bapa pun melompat ke kanan sekali dan ke kiri sekali serta dikertangkannya perisai itu, lalu ghaib tiada kelihatan kiamnya pada tangan kirinya. Maka pedang itu pun diketarkannya lalu ghaib matanya tinggal ulunya pada tangan kanannya. Maka Tun Beraim Bapa pun lalu sujud menyembah Sultan Ahmad dan semua gurunya sujud menyembah Sultan Ahmad.


(i) Apakah maksud rangkai kata dilontarkannya kelambir kotai berdasarkan petikan di atas?
• Membaling kelapa tua
[2 markah]

(ii) Apakah maksud frasa rebahlah pohon pisang itu berdasarkan petikan di atas?
• Tumbanglah pokok pisang itu
[2 markah]

(iii) Apakah yang dilakukan oleh Tun Beraim Bapa ketika bertemu dengan gurunya?
• Baginda bercakap dengan gurunya iaitu Pendekar Ali Pulau Kukur.
• Baginda bersilat serta mempersembahkan bunga kepada gurunya.
• Dilempar sepohon pisang lalu dipancung oleh Tun Beraim Bapa dari pucuk hingga ke bawahnya tetapi pohon itu tidak rebah.
• Pokok pisang yang dipenggal oleh Tun Beraim Bapa tumbang ke bumi dan terbelah empat.

[3 markah]
(iv) Bagaimanakah Tun Beraim Bapa menunjukkan kehebatannya kepada Sultan Ahmad?
• Baginda memenggal kelambir kotai yang dilemparnya.
• Baginda melempar buah pinang kotai dan dipenggalnya.
• Sepohon pinang dihujamkan oleh baginda
• Tun Beraim Bapa memancung pohon pinang.
[3 markah]

(v) Pada pendapat anda, bagaimanakah sikap seorang pahlawan yang sejati?
• Tidak menunjuk-nunjukkan kehebatannya
• Tidak menggunakan kehebatannya untuk menganiayai orang lain.
• Bersedia membantu orang yang dalam ancaman.
• Mengembangkan ilmu kepahlawanan kepada orang lain yang berkeinginan.

..........................................................................................................................................
Latihan Prosa Klasik SPM 12

(Kepahlawanan Tun Beraim Bapa)

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan perkataan anda sendiri.

Hatta beberapa lama antaranya, maka pada suatu hari Jumaat, maka Tun Beraim Bapa pun pergi bermain-main ke Pasai, lalu masuk ia ke dalam pagar sultan, maka naiklah ia ke lepan yakni selasar istana, maka dilihatnya Tun Fatimah Lempau bergelar Temian Layergan duduk ia mengarang bunga dengan Dara Zulaika. Bahawa ia gundik Sultan Ahmad, maka Tun Beraim Bapa bertanya, “Hai ibuku Tun Fatimah Lempau, bunga akan siapa dikarang ibuku itu.” Maka sahutnya akan Tun Beraim Bapa, “Ke masjid.” Maka sahutnya akan Tun Beraim Bapa mendengar katanya demikian itu maka Tun Beraim Bapa pun duduklah bersandar pada tiang d.l.kh.na. itu. Setelah sudah dikarangnya maka Tun Fatimah pun lalu berdiri serta ia melompat melarikan bunga itu ke dalam istana. Maka Tun Beraim Bapa pun marah lalu tertangkap punca kainnya. Maka terdempuk bahu Tun Beraim Bapa pada pintu istana itu, maka Tun Beraim Bapa pun undurlah.


(i) Berikan maksud rangkai kata mengarang bunga dalam petikan di atas?
• Menyusun bunga
• Menggubah bunga
[2 markah]

(ii) Berikan maksud rangkai kata terdempuk bahu dalam petikan di atas?
• Terhantuk bahu
• Terlanggar bahu
[2 markah]

(iii) Siapakah Tun Fatimah Lempau?
• Seorang gundik Sultan Ahmad
• Ibu tiri kepada Tun Beraim Bapa
• Dikenali sebagai Temian Layergan
• Seorang penggubah bunga
[3 markah]

(iv) Apakah yang dilakukan oleh Tun Beraim Bapa?
• Bermain-main di Pasai.
• Selepas bermain baginda masuk ke dalam kawasan istana.
• Baginda melihat Tun Fatimah Lempau sedang menyusun bunga bersama Dara Zulaika.
• Baginda berasa marah apabila Tun Fatimah melarikan bunga masuk ke istana.
• Baginda cuba menangkap Tun Fatimah.
• Baginda Tertangkap punca kain Tun Fatimah.
[3 markah]

(v) Pada pendapat anda, mengapakah Tun Fatimah Lempau melarikan bunga ke dalam istana?
• Tun Fatimah Lempau telah membohongi Tun Beraim Bapa.
• Tun Fatimah Lempau tidak mahu gubahan bunga itu diambil oleh Tun Beraim Bapa.
• Tun Fatimah Lempau tidak mahu Tun Beraim Bapa membawa gubahan bunga itu ke masjid.
[3 markah]

.....................................................................................................................................