Friday, July 3, 2009

Sajak penting 2009

Soalan Sajak 1:

Anak Laut

Segar angin laut
mengembalikan rindunya pada kolek
bagai buih kecil terapung di air
menjaring sedikit rezeki
dan sisik ikan
kulit ketam
kepala sotong
dan
kaki udang yang bersimpati.

Maksud:
Tiupan angin yang segar mengingatkan seorang nelayan tua kepada koleknya yang kecil ketika meredah lautan. Dengan menaiki kolek itulah dia mencari rezeki di laut dengan menangkap ikan, ketam , sotong dan udang.

Seperti kolek terdampar di pasir
menampakkan urat jalur-jalur tua
anak laut itu sudah dapat menerka
langkahnya hampir tiba
pada muara Pencipta.

Maksud:
Keadaan kolek usang yang tersadai di pasir pantai, samalah juga dengan keadaan nelayan tua. Nelayan yang sudah tua dapat menduga bahawa saat kematiannya sudah hampir tiba.



Jawab soalan-soalan yang berikut.

i) Mengapakah penyajak mengatakan bahawa dirinya bagai buih kecil terapung di air ? (3 markah)

• Penyajak menyatakan bahawa dirinya bagai buih yang terapung di air kerana penyajak terbayang akan dirinya berada di tengah-tengah lautan dan terasa dirinya kecil sekali.

ii) Pada pendapat anda ,apakah faktor-faktor yang menyebabkan kehidupan nelayan sentiasa dihimpit kemiskinan? (4 markah)

• Pada pendapat saya, faktor-faktor yang menyebabkan kehidupan nelayan dihimpit kemiskinan ialah sikap para nelayan yang beranggapan kerja sebagai nelayan merupakan tradisi keluarga yang harus diteruskan.
• Selain itu, kekurangan pusingan modal juga menyebabkan nelayan tidak mampu membeli peralatan yang lebih berteknologi tinggi.
• Di samping itu, pihak kerajaan juga kurang memberikan tumpuan kepada sector perikanan menyebabkan nasib para nelayan terabai.

iii) Huraikan persoalan-persoalan yang diutarakan dalam sajak Anak Laut?
(3 markah)

• Persoalan-persoalan yang diutarakan dalam sajak Anak Laut ialah kesusahan hidup sebagai seorang nelayan. Contohnya para nelayan hanya mempunyai kolek yang usang untuk ke laut.
• Persoalan kedua ialah nelayan yang sudah tua tetap rindu akan pekerjaannya sebagai nelayan.
• Persoalan yang ketiga pula ialah ketabahan golongan nelayan menghadapi cabaran hidup


iv) Jelaskan nilai-nilai kemanusiaan yang terdapat dalam sajak di atas? (3 markah)

• Nilai-nilai kemanusiaan yang terdapat dalam sajak di atas ialakeberanian . Contohnya anak laut berani mengharungi lautan.
• Nilai yang kedua ialah kegigihan. Misalnya anak laut gigih
mencari rezeki.
• Nilai yang ketiga pula ialah bersimpati. Contohnya kesusahan nelayan seolah-olah mendapat simpati daripada hasil tangkapan


v) Pada pendapat anda, bagaimanakah caranya hendak mengatasi masalah kemiskinan
dalam kalangan nelayan di negara kita? (4 markah)


• Pada pendapat saya cara untuk mengatasi kemiskinan dalam kalangan nelayan di negara kita ialah membeli alat atau peralatan tangkapan yang moden melalui pinjaman daripada Persatuan Nelayan.
• Nelayan juga perlulah mempelbagaikan kegiatan ekonomi
seperti menternak ikan dalam sangkar dan sebagainya.
• Selain itu, nelayan perlulah mendapatkan nasihat atau meminta bantuan daripada agensi kerajaan atau Jabatan Perikanan.
• Nelayan juga perlulah mengelakkan daripada asyik bergantung dengan orang tengah.

vi) Apakah maksud rangkai kata menampakkan urat jalur-jalur tua ? (2 markah)

• Maksud rangkai kata menampakkan urat jalur-jalur tua iala
jelas kelihatan kulit yang berkedut-kedut kerana usia yang
telah lanjut.


vii) Jelaskan tema yang diutarakan dalam sajak? (3 markah)

• Tema yang diutarakan dalam sajak ialah penderitaan hidup
kaun nelayan yang terpaksa menggadaikan nyawa di lautan
untuk mencari rezeki.


viii) Apakah maksud rangkai kata mengembalikan rindunya pada kolek?
(2 markah)

• Maksud rangkai kata tersebut ialah menyebabkan perasaan
rindu terhadap perahu/sampan yang digunakan ke laut.

.......................................................................................................................................................

Soalan 2:

DERITA PERTAMA

Adam adalah bapa kita
yang tercampak dari seberang dunia
kerana mencari syurga
di celah buah khuldi.

Maksud
Nabi Adam merupakan bapa kepada semua manusia. Dia tercampak ke dunia kerana telah melanggar perintah Tuhan agar tidak makan buah khuldi.

Waktu terlantar di dunia baru
hari tengah malam
ia tidak mengerti apa yang terjadi
mulutnya bisu.

Maksud
Ketika tiba di dunia ini, hari sudah tengah malam. Baginda rasa sunyi dan bersendirian. Baginda tidak mempunyai sebarang teman untuk berbual atau berbicara.


Ia melihat sekeliling
mulai merasa cemas akan kegelapan
segumpal awan hinggap ke kening
ia tidak tahu apakah itu.

Maksud
Baginda berasa cemas dan takut kerana keadaan yang gelap gelita. Benda-benda di sekelilingnya begitu asing kerana baginda tidak pernah melihatnya.


Sepanjang malam ia tercengang
dari hatinya mengalir sungai duka
bagaimana akan kutempuh rimba kegelapan
tubuh seorang.

Maksud
Baginda berasa sedih dan kesal atas perbuatannya namun segalanya telah terlewat. Baginda mula berasa risau apabila memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk menempuh hidup baru di dunia ini. Tambahan pula baginda hanya keseorangan di dunia ini.



Sepanjang malam air matanya
membelah muka bulan.

Maksud
Baginda terharu dan sedih menghadapi derita pertamanya di dunia ini. Baginda menangis sepanjang malam sehingga bulan turut bersimpati akan nasib baginda.


Jawab soalan-soalan berikut :

i) Gambarkan perasaan Adam ketika terlantar di dunia baru. (3 markah)

• Perasaan Adam ketika terlantar di dunia baru ialah Adam berasa sangat takut dan risau kerana dirinya berada di satu kawasan yang begitu gelap, sunyi dan asing.
• Adam bingung dan tidak tahu di mana dia berada .
• Seterusnya, dia berasa sedih dan terharu kerana terpaksa menempuhi kehidupan baru di dunia.

(ii) Pada pendapat anda, apakah yang perlu dilakukan oleh seseorang untuk menyesuaikan diri di tempat baru? ( 3 markah )

• Pada pendapat saya, untuk menyesuaikan diri di tempat baru seseorang itu perlu mengetahui adat dan budaya di tempat itu agar dapat bergaul dengan masyarakat di situ dengan lebih mudah.
• Selain itu, kita mestilah saling menghormati dan mengamalkan budaya hidup bermasyarakat.
• Seterusnya, kita perlu menjaga tatasusila dan tingkah laku agar disenangi oleh orang lain.

(iii) Huraikan tiga nilai kemanusiaan yang ditimbulkan dalam sajak ini. ( 3 markah )

• Nilai kemanusiaan yang terdapat dalam sajak ini ialah nilai keinsafan atas segala kesalahan dan kesilapan yang telah dilakukan sebagaimana Adam yang menginsafi keingkarannya terhadap tuhan.
• Selain itu, nilai ketabahan seperti yang ditunjukkan oleh Adam yang tabah menghadapi kesengsaraan walaupun keseorangan dan dalam ketakutan.
• Seterusnya nilai rendah diri dan mengakui kesilapan diri serta berazam untuk tidak mengulanginya seperti Adam yang sedar akan kesalahan baginda terhadap tuhan.

(iv) Gambarkan keadaan Nabi Adam ketika tiba di dunia ini. ( 3 markah )

• Keadaan sekeliling ketika Adam tiba di dunia ialah hari sudah larut malam.
• Keadaan sekeliling amat gelap dan sunyi sepi.
• Selain itu, tiada manusia lain di dunia ini ketika itu menyebabkan Adam berasa sunyi.
• Langit ketika itu hanya disinari oleh cahaya bulan yang seakan-akan mengerti kesedihan Adam.


(v) Pada pendapat anda, mengapakan Nabi Adam berduka dalam sajak tersebut?
(3 markah )

• Pada pendapat saya, Nabi Adam berduka kerana dia kini terlantar atau berada di dunia baru yang asing baginya tanpa ditemani oleh sesiapa.
• Selain itu, Adam berduka kerana sedar dan insaf akan kesalahan melanggar perintah Tuhan iaitu makan buah khuldi.
• Seterusnya, Adam berduka kerana terpaksa menempuh hidup keseorangan di dunia baru
(vi) Huraikan dua persoalan yang ditimbulkan dalam sajak ini. ( 3 markah)

• Persoalan pertama dalam sajak di atas ialah kesedihan dan kesunyian tinggal keseorangan di dunia ini. Contohnya Adam berasa sedih dan sunyi semasa tiba di dunia ini kerana tiada sesiapa di samping baginda.
• Persoalan kedua ialah perasaan insaf dan kesal akan kesilapan sendiri. Misalnya Adam yang menyesali kesalahannya terhadap Tuhan.

...........................................................................................................................................

Soalan 3:


JALAN-JALAN RAYA KOTAKU

Saban waktu sepanjang perjalanan
jalan-jalan raya kotaku
lewat senja begini
tika gerimis menabur benih
menerima kehadiran warga kota
lemas dalam kesabaran
lelah meresahkan
dengan luka parah di hati.

Maksud
Penyajak meluahkan rasa kesal beliau terhadap sikap sesetengah pengguna jalan raya yang tidak bertimbang rasa, tidak sabar dan tidak bertolak ansur ketika berada di jalan raya. Keadaan bertambah buruk apabila mereka terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ketika hujan gerimis pada waktu senja.


Ketidaksabaran membengkak
kesombongan merajai setiap ruang
semakin padat dengan emosi
kebosanan menggigit pangkal rasa.

Maksud
Pengguna jalan raya bersikap sombong, tidak sabar dan dipengaruhi emosi akibat perasaan bosan semasa terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Mereka semakin jemu dengan kehidupan sedemikian yang tiada penghujungnya.


Demikian etika di perjalanan
budi luhur warga kotaku
tidak lagi berlaku
yang hadir adalah keserakahan
memacu menghimpun kekuatan
menghakis sopan santun
seperti banjir kilat
melanda pinggir perjalanan
fitrah sang manusia
peradaban kota masa kini.

Maksud
Pengguna jalan raya semakin kehilangan nilai-nilai murni seperti sopan santun, berbudi bahasa dan bertimbang rasa akibat tekanan hidup di kota. Sebaliknya sikap mereka menjadi kasar, angkuh dan terburu-buru kerana dikuasai hawa nafsu yang menggugat peradaban manusia


Jalan-jalan raya kotaku
adalah gelanggang kebuasan
perlumbaan kebiadaban
para pesakit
kemanusiaan semakin mandul
pada penghujung musim.

Maksud
Penyajak menggambarkan jalan raya yang dijadikan medan melepaskan perasaan, bersikap biadap dan tidak bertanggungjawab. Keadaan itu jelas menunjukkan bahawa nilai kemanusiaan semakin terhakis dalam kalangan masyarakat di kota yang serba moden dan canggih ini.


Jawab soalan-soalan berikut :

i) Apakah sikap pengguna jalan raya seperti yang diperkatakan dalam sajak ini? (3 markah)

• Pengguna jalan raya dikatakan tidak bertimbang rasa,tidak bertolak ansur dan tidak bersabar.
• Selain itu, mereka tidak sopan, biadap dan dipengaruhi emosi.
• Mereka juga tidak mematuhi peraturan jalan raya dan menjadikan jalan raya sebagai medan perlumbaan tanpa mempertimbangkan kesan-kesan negatif yang mungkin timbul akibat sikap tidak bertanggungjawab.



ii) Pada pendapat anda mengapakah mereka bersikap demikian? Berikan ulasan anda.
(3 markah )

• Pada pendapat saya, mereka terlalu mementingkan diri sendiri ketika di jalan raya.
• Mereka berlumba-lumba untuk sampai ke destinasi masing-masing secepat mungkin.
• Selain itu, kehidupan di kota terlalu menekan mempengaruhi emosi mereka menyebabkan mereka mudah marah, cemas danresah sehingga mereka dikatakan bersikap negatif ketika berada di jalan raya.



iii) Huraikan beberapa persoalan yang terdapat dalam sajak ini? (3 markah)

• Persoalan yang terdapat sajak ini ialah persoalan kesesakan lalu lintas di kota.
• Persoalan kedua ialah sikap pengguna jalan raya yang tidak sopan dan tidak bertimbang rasa ketika menggunakan jalan raya.
• Persoalan ketiga ialah sikap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan jalan raya sehingga mereka menjadikan jalan raya sebagai medan perlumbaan.



iv) Apakah pengalaman yang dilalui oleh penyajak sepanjang melalui jalan-jalan raya di kota?
( 3 markah )

• Sepanjang melalui jalan-jalan raya di kota, penyajak dapat melihat pengguna jalan raya yang tidak bertimbang rasa, tidak sabar dan tidak bertolak ansur ketika berada di jalan raya.
• Selain itu, penyajak dapat merasakan nilai-nilai murni yang kian terhakis akibat tekanan yang dihadapi oleh warga kota.
• Penyajak turut menyaksikan sikap pengguna jalan raya yang kasar, angkuh dan terburu-buru serta mementingkan diri masing-masing.


v) Kesesakan lalu lintas merupakan fenomena biasa di kota. Pada pendapat anda bagaimanakah caranya untuk mengatasi masalah tersebut? (3 markah)

• Pada pendapat saya, pengguna jalan raya seharusnya menyokong kempen berkongsi kenderaan bagi mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya seterusnya mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kota.
• Selain itu, pengguna jalan raya harus menggunakan kenderaan awam seperti bas dan komuter. • Pihak kerajaan juga perlu mengehadkan jumlah kenderaan yang masuk ke kota pada masa-masa tertentu dan menentukan laluan kenderaan perdagangan seperti lori bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.



vi)Huraikan tiga pengajaran yang terdapat dalam sajak ini. (3 markah)

• Pengajaran daripada sajak ini ialah kita mestilah bersikap sabar, bertimbang rasa dan bersopan santun di jalan raya.
• Kita juga mesti mematuhi peraturan jalan raya bagi menjamin keselamatan diri kita dan pengguna yang lain.
• Seterusnya kita hendaklah saling menghormati serta menjaga tingkah laku kita di jalan raya.


vii) Bagaimanakah keadaan jalan raya seperti yang digambarkan dalam sajak ini? (3 markah)
• Jalan raya di kota dikatakan penuh sesak dengan kenderaan terutamanya ketika hujan atau waktu senja ketika pengguna jalan raya balik ke rumah masing-masing.
• Selain itu, pelbagai kerenah manusia diperlihatkan semasa mereka terlibat dengan kesesakan lalu lintas.
• Penyajak turut menggambarkan jalan raya yang dijadikan medan perlumbaan melepaskan perasaan pengguna yang tidak bertanggungjawab.



viii) Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang mungkin timbul sekiranya pengguna jalan raya menjadikan jalan raya sebagai medan perlumbaan? (3 markah)

• Pada pendapat saya, sekiranya pengguna jalan raya menjadikan jalan raya sebagai medan perlumbaan mereka akan terlibat dengan kemalangan jalan raya.
• Selain itu, mereka turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
• Seterusnya kemalangan yang berlaku akan memburukkan lagi masalah kesesakan lalu lintas yang telah sedia ada.



ix) Huraikan tiga sikap negatif yang ditonjolkan dalam sajak ini. (3 markah )

• Sikap negatif yang ditonjolkan dalam sajak ini ialah sikap pengguna jalan raya yang tidak sabar, tidak bertimbang rasa dan terburu-buru.
• Selain itu, sikap tidak mematuhi peraturan jalan raya serta mengabaikan keselamatan diri.
• Seterusnya sikap mementingkan diri sendiri dan tidak menghiraukan keselamatan orang lain.

.........................................................................................................................................


Soalan 4:


Di Ruang Gemanya

Telah kurangkumkan rebah setiaku
pada setiap pilu dan rindu
melayang dan mengembang
ke hayat gemilang. Sejak itu
tidak kukesal lagi
Goda dan duga
Di gerimis senja.

Maksudnya: Penyajak menumpahkan seluruh taat setianya kepada negaranya yang tercinta. Sepanjang perjuangan menuntut kemerdekaan daripada penjajah, penyajak telah menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan, namun penyajak tidak berasa kesal akan tindakannya itu.

Telah kupahatkan lelah umurku
Pada setiap kerikil dan debu
Datang dan menghilang
Ke hujung kenang. Sesudah itu
Tidak kukenal lagi
Hampa dan derita
Di guruh pagi.

Maksudnya: Sepanjang hidupnya penyajak sentiasa mencurahkan bakti dan berusaha untuk memastikan negaranya bebas daripada masalah. Setelah dia berusaha penyajak tidak lagi berasa hampa dan kecewa kerana negaranya kini telah mencapai kemerdekaan.

Gerimis senja guruh pagi
Adalah titipan maya
Bakal kukongsikkan hati
Mengukir tadbir di ruang gemanya.

Maksudnya: Penyajak ingin menyampaikan mesej bahawa dugaan dan cabaran itu merupakan perkara biasa dalam mengharungi liku-liku hidup. Penyajak juga bersedia berkongsi pengalamannya dengan anggota masyarakat yang lain dan bersama-sama mencurahkan usaha , idea dan tenaga untuk membangunkan negaranya yang tercinta.

Jawab soalan yang diberi di bawah.


i) Buktikan penyajak seorang yang cinta akan negaranya.
[3 markah]

Bukti penyajak seorang yang cinta akan tanah air ialah
• Dia telah menumpahkan rasa taat setianya yang tidak berbelah bahagi kepada negaranya.
• Sanggup berjuang dan menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan untuk kemerdekaan negara.
• Beliau tidak rasa kesal terhadap tenaga usaha yang telah dicurahkan demi kemerdekaan dan kedaulatan negaranya.
• Sepanjang hidupnya , penyajak sanggup mencurah bakti kepada negara agar negaranya bebas dari sebarang masalah.
• Sentiasa bersedia untuk menyumbang idea / berkongsi idea dan tenaga demi kemajuan negara.


ii) Pada pendapat anda , apakah akibatnya jika rakyat tidak taat setia kepada negara?
[3 markah]

Pada pendapat saya, akibat jika rakyat tidak mencurahkan taat setia kepada negara ialah
• Negara akan berada dalam keadaan kacau bilau dan tidak aman.
• Negara akan menjadi mundur/ekonomi negara terjejas
• Negara akan mudah diceroboh oleh pihak musuh.
• Imej negara terjejas.


iii) Apakah persoalan yang terdapat dalam sajak ini. [3 markah]

Persoalan yang terdapat dalam sajak ini ialah;
• Kesetiaan kepada negara/ cinta kepada negara. Penyajak amat mencintai tanah airnya dan telah mencurahkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada tanah air.
• Kesanggupan / ketabahan menghadapi segala rintangan . Penyajak sanggup menghadapi pelbagai masalah dan rintangan bagi membuktikan kesetiaan kepada tanah air.
• Keikhlasan dalam menyumbangkan idea dan tenaga demi kedaulatan negara. Penyajak dengan ikhlas ingin berkongsi pengalaman dan idea untuk sama-sama membangunkan negara.
• Tanggungjawab terhadap negara. Penyajak telah menunaikan tanggungjawabnya terhadap negara dengan berjuang menuntut kemerdekaan dan berusaha membangunkannya.


iv) Jelaskan maksud baris puisi berikut:
Telah kupahat lelah umurku
Pada setiap kerikil dan debu [2 markah]

Maksud baris puisi tersebut ialah;
• Sepanjang hidupnya penyajak telah berusaha untuk memastikan negaranya bebas daripada sebarang masalah.


V) Sebagai seorang pelajar,apakah tanggungjawab anda kepada negara? [3 markah]

Sebagai seorang pelajar,
• saya akan belajar bersungguh-sungguh agar menjadi warga yang berguna kepada negara.
• Saya akanmenjaga tingkah laku /mengamalkan nilai-nilai murni demi menjaga nama baik negara.
• Saya akan bekerjasama dengan pihak yang bertanggungjawab dalam usaha membanteras gejala sosial dalam kalangan remaja.
• Saya akan memberi sokongan / ikut serta dalam program yang dianjurkan oleh kerajaan untuk remaja/pelajar


VI) Nyatakan pengajaran yang terdapat dalam sajak ini. [3 markah]


Pengajaran yang terdapat dalam sajak ini ialah ;
• Kita perlulah mempunyai semangat cinta akan negara agar kedaulatan dan keamanan negara terjamin.
• Kita perlulah sanggup berkorban dan berjuang untuk mempertahankan negara daripada diceroboh oleh pihak musuh.
• Kita hendaklah tabah menghadapi cabaran dan rintangan kerana cabaran itu memberi pengalaman kepada kita.
• Kita perlulah bekerjasama mencurahkan bakti dan tenaga demi kedaulatan dan pembangunan negara.


vii) Nyatakan maksud rangkap kedua sajak ini. [3 markah]

• Maksud rangkap sajak ini ialah;
Sepanjang hidupnya penyajak sentiasa mencurahkan bakti dan berusaha untuk memastikan negaranya bebas daripada masalah. Setelah dia berusaha penyajak tidak lagi berasa hampa dan kecewa kerana negaranya kini telah mencapai kemerdekaan.



vii) Pada pendapat anda apakah peranan yang perlu dimainkan oleh seorang warganegara untuk menjamin kedaulatan dan kemajuan negara? [3 markah]


Pada pendapat saya peranan yang perlu dimainkan oleh seorang warganegara untuk menjamin kedaulatan dan kemajuan negara ialah;
• Menyumbangkan idea dan tenaga untukmembangunkan negara.
• menjaga tingkah laku/ mengamalkan nilai-nilai murni demi menjaga nama baik negara.
• memberi sokongan dan kepercayaan kepada pemerintah
• menjaga dan mempertahankan negara daripada pencerobohan musuh


ix) Huraikan nilai-nilai murni yang terdapat dalam sajak ini. [3 markah]

Nilai-nilai murni yang terdapat dalam sajak ini ialah;
• Kesetiaan kepada negara. Contohnya penyajak mencurahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada negaranya.
• Ketabahan. Contohnya penyajak tabah menghadapi segala pahit getir/ cabaran dan rintangan demi kemerdekaan dan kedaulatan negaranya.

• Keikhlasan. Contohnya penyajak ingin berkongsi pengalamannya dengan anggota masyarakat agar dapat sama-sama mencurahkan bakti demi membangunkan negara.
• Bertanggungjawab . Contohnya penyajak bertanggungjawab terhadap kemerdekaan negara dengan mencurahkan

......................................................................................................................................

Soalan 5:

Duhai Pentafsir

Pentafsir,
sebenarnya telah lama kucari
suaramu yang sarat
ke mana jatuhnya gema itu?
di manakah tempat istirahat
setelah pengembaraan yang penat
di manakah telah kaurakamkan
pertemuan matahari,rimba dan lautan?

Maksud:
Penyajak membuat pernyataan bahawa dia telah lama mencari arah dan kebenaran dalam kehidupannya, tetapi masih belum ditemui. Usia yang semakin bertambah menyebabkan penyajak hampir terlupa peristiwa-peristiwa silam yang dilaluinya.


Senja ini menemuiku
dengan lusuh catatanmu
angin yang sedang cuba mengoyak-ngoyakkan lembar-lembar buku
sedang aku belum ketemu
surat yang kau tuliskan padaku.

Maksud:
Sewaktu usia semakain tua, penyajak masih meneruskan pencariannya. Banyak hasil tulisan yang dibaca dan diteliti sehingga seakan-akan kajian yang dikaji menjadi lusuh. Pertambahan usia memberi peringatan kepada penyajak bahawa sisa-sisa usia semakin singkat. Tetapi masih mencari-cari petunjuk yang benar daripada pencipta-Nya.

Telah hilangkah ia
Atau kau tidak pernah menulisnya
Ah, aku tidak bisa tidur dan melupakan
Racun keresahan telah membunuh lenaku
Sejak kau dahagai penawar dalam lautan nota-notamu
Kiranya terdampar dalam angin yang ragu
Yang tidak mengenal arah tiupannya
Angin tanpa sabar yang telah melunturkan
Kehijauan dalam keriangan masa kecilku.

Maksud:
Penyajak menjadi keliru dalam mencari petunjuk Ilahi dan hakikat kebenaran kehidupan ini. Penyajak diburu resah oleh sejarah silam kehidupannya yang beronak dan berliku. Penyajak mula sedar kesilapan dan kelalaiannya yang menyimpang daripada petunjuk Ilahi. Dia berasa kerugian kerana membiarkan masa mudanya begitu sahaja tanpa berusaha mengenal Tuhannya.


Pentafsir, musim telah terlalu tua
kaca jendela menjadi kelabu
dan aku telah terlalu lesu
untuk menari bersama bayang-bayangmu
senja pun semakin larut
lembar-lembar menjadi semakin kuning
apakah aku harus mengebumikan buku-buku ini
di samping pusaramu yang sepi.

Maksud:
Usia penyajak semakin tua, penglihatannya semakin kabur dan tubuh menjadi semakin lemah. Tetapi penyajak tetap berusaha untuk mendapatkan perlindungan dan keredaan Tuhan dalam kehidupannya yang semakin singkat. Penyajak ingin meninggalkan semua kejahilan dan melupakan sejarah silamnya. Namun begitu dia masih ragu akan penerimaan Tuhan terhadap keinsafan dirinya.


Hentikan ejekanmu
biar kupecahkan kaca ini
melihat keluar. Lalu mengenal
rumpun-rumpun yang redup
adalah pengakuanmu, Tuhanku!
yang menjernihkan mataku.

Maksud:
Penyajak menyatakan keyakinannya untuk keluar daripada keraguan dan kesangsiannya. Penyajak membuat tekad dan menyerah diri mencari keredaan Tuhan untuk mencari ketenangan jiwanya.


Jawapan Soalan di bawah.

(i) Terangkan maksud pengembaraan yang penat mengikut penggunaannya dalam sajak di atas.

• Perjalanan hidup/pengalaman yang terlalu lama menempuh liku-liku hidup
• Usaha yang terlalu lama mencari ilmu/pedoman hidup


(ii) Pada pendapat anda, mengapakah ilmu agama itu penting dalam kehidupan?

• Dapat menentukan nilai sosial/perintah atau tegahan/larangan dalam melakukan sesuatu
• Dapat dijadikan pedoman sumber rujukan/panduan dalam menempuh kehidupan
• Dapat membentuk personaliti/peribadi seseorang
• Dapat memberi ketenangan /kebahagiaan

(iii) Apakah persoalan-persoalan yang diketengahkan dalam sajak di atas?

• Kepentingan ilmu agama dalam kehidupan manusia –penyajak mencari kebenaran agar dia lebih tenang
• Penderitaan dalam kehidupan sekiranya tidak mendapat panduan yang betul –penyajak menderita kerana tercari-cari panduan hidup sewaktu tua
• Kegigihan untuk mencari kebahagian –berusaha dengan gigih untuk kebahagian hidup
• Manusia terlalu kerdil dan tidak berkuasa –manusia hanya merancang dan berusaha tetapi tidak berkuasa untuk menentukan perkara yang dihajati

(iv) Nyatakan apa yang terjadi kepada ’aku’ apabila musim telah terlalu tua?

* Penyajak semakin tua
• penglihatan semakin kabur
• tubuh semakin lemah

(v) Nyatakan tiga pengajaran yang terdapat dalam sajak di atas.

• Kita hendaklah berusaha untuk mencapai sesuatu yang kita hajati –penyajak berusaha mencari kebenaran hidup
• Kita janganlah berputus asa dalam menghadapi cabaran/rintangan –penyajak perlu berusaha dan berdoa dalam menghadapi cabaran
• Kita handaklah berusaha untuk mencari ketenangan –penyajak berusaha mengenal diri dan pencipta tanpa jemu


(vi) Pada pendapat anda, mengapakah buku perlu dijadikan teman sepanjang hidup?

• Memperoleh banyak ilmu pengetahuan baru dari semasa ke semasa
• Menjamin masa depan yang cerah
• Mempelajari pelbagai pengalaman baru/mempelajari pelbagai perkara melalui pengetahuan membaca/pengetahuan lain
• Mengisi waktu terluang
• Menajamkan akal fikiran

....................................................................................................................................

Soalan 6:

Duhai Pentafsir

(Sambungan soalan di atas)

(i) Berikan maksud rangkai kata berikut:
"Di manakah tempat istirahat, setelah pengembaraan yang penat"

• Penyajak mencari ketenangan di dunia ini sebelum menempuh alam kehidupan yang kekal abadi


(ii) Mengapakah penyajak mencari seorang pentafsir untuk dirinya?

• Membimbing dirinya yang telah tersesat jauh/diri yang jahil
• Ingin kembali ke pangkal jalan
• Mendalami ilmu agama untuk hidup yang lebih sempurna
• Telah tua/tidak berdaya/perlu bantuan


(iii) Nyatakan gaya bahasa yang terdapat dalam sajak beserta contohnya.

• Personafikasi –angin yang sedang cuba mengoyak-ngoyakkan lembar buku
• Sinkof –pentafsir, sebenarnya telah lama kucari
• Inversi –dengan lusuh catatanmu
• Metafora –racun keresahan dan lautan nota-notamu


(iv) Apakah yang dimaksudkan dengan racun keresahan telah membunuh lenaku?

• Diburu/dihantui resah oleh sejarah silam kehidupannya yang penuh kedukaan


(v) Jika anda beransur tua, apakah perkara-perkara yang bermanfaat yang harus anda lakukan?

• Melakukan kerja-kerja ringan
• Memperbanyakkan amal ibadat
• Menjaga cucu-cicit
• Melancong/berehat
• Membuat kerja-kerja kebajikan


(vi) Terangkan tema dan persoalan yang terdapat dalam sajak di atas beserta contohnya.

* Tema –keagamaan cth: penyajak cuba mencari panduan hidup dan erti kehidupan
• Persoalan
– mencari dan berusaha mengenal diri cth: penyajak berusaha mengenal diri dan pencipta tanpa jemu
– manusia hanya merancang cth: manusia tidak berkuasa untuk melawan takdir tetapi perlu berusaha untuk mencapai kejayaan


...........................................................................................................................................

Soalan 7:

Duhai Pentafsir

(i) Apakah yang dimaksudkan dengan senja pun semakin larut? Mengapakah penyajak bersa kesal terhadap keadaan tersebut?

• Masa sudah terlalu suntuk/usia semakin tua
• Penyajak kesal kerana masa terlalu pendek untuk menunaikan tanggungjawab terhadap Allah
• Terlalu suntuk untuk mempelajari hal agama



(ii) Pada pendapat anda, apakah wajar penyajak berasa resah kerana usianya semakin tua?

• Tidak wajar kerana semua orang akan mengahdapi kematian
• Peluang untuk memperbaiki kesilapan diri masih ada
• Patut memanfaatkan masa yang ada dengan melakukan aktiviti yang berfaedah


(iii) Huraikan tiga nilai yang terdapat dalam sajak Duhai Pentafsir.

• Rasional –berfikiran terbuka dan berusaha meningkatkan keimanan setelah tua
• Kasih sayang –memberi didikan agama yang sempurna kepada anak-anak
• Kerajian –berusaha dengan gigih tanpa berputus asa


(iv) Mengapakah fikiran penyajak terganggu?

• Terperangkap dalam keraguan akibat penafsiran yang kabur
• terlepas daripada petunjuk Tuhan
• Merasakan dirinya jahil


(v) Pada pendapat anda, mengapakah catatan-catatan dianggap lusuh oleh penulis?

• Hasil tulisan yang terlalu lama dibaca
• Terdapat hasil tulisan yang sudah ketinggalan zaman
• Penyajak masih belum menemui petunjuk yang betul


(vi) Jelaskan nilai dan pengajaran yang terkandung dalam sajak di atas.

• Nilai
– Rasional cth: berfikiran terbuka dan berusaha meningkatkan keimanan setelah tua
– Kasih sayang cth: memeberi didikan sempurna kepada anak-anak
– Kerajinan cth: berusaha dengan gigih tanpa jemu
• pengajaran
- Kita hendaklah insaf cth: manusia perlu insaf dan memperbaki tingkat keimanan
- Kita hendaklah memberi didikan agama dari peringkat kanak-kanak cth:Kanak-kanak perlu diberi didikan agama yang sempurna

......................................................................................................................................