Mahkamah (Awang Abdullah)
Sinopsis
Setelah semua hadir di dalam mahkamah itu, hakim memulakan perbicaraan.
Pegawai meminta Tertuduh I masuk. Tertuduh I mengangkat sumpah. Pendakwa raya
membaca pertuduhan terhadap Tertuduh I, iaitu Bulat bin Leper. Dia telah
dituduh menyebabkan kematian seorang nenek tua, iaitu Mek Teh binti Jali yang
berumur 99 tahun di Taman Gagak Putih.
Bulat
bin Leper memahami pertuduhan yang dibaca oleh pendakwa raya tersebut. Namun
begitu, dia tidak mengaku bersalah. Peguam bela dipanggil masuk ke ruang
perbicaraan untuk membela Bulat bin Leper. Bulat bin Leper mengaku bahawa dia
berada di Taman Gagak Putih ketika itu. Dia telah makan sebiji pisang dan
membuang kulitnya. Pendakwa raya menyatakan bahawa seorang nenek yang sedang
berjoging telah terpijak kulit pisang yang dibuang oleh Bulat bin Leper itu.
Nenek
tersebut tergelincir dan jatuh. Kejadian itu menyebabkan pinggang nenek tua itu
patah. Malah, nenek tua itu meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
Pendakwa raya mendesak Bulat bin Leper supaya mengaku bahawa pernyataan
tersebut benar. Bulat bin Leper tetap tidak mahu mengaku. Peguam bela bangun
lalu membantah tindakan pendakwa raya yang seolah-olah cuba menekan anak
guamnya. Peguam bela menyatakan bahawa pada waktu tersebut Bulat bin Leper
telah makan sebiji pisang berangan. Kulit pisang itu dibuang oleh Bulat bin
Leper ke dalam tong sampah yang disediakan oleh pihak berwajib, tetapi pintunya
sudah rosak.
Bulat
bin Leper mengaku bahawa kenyataan tersebut benar. Peguam bela menyambung
kenyataan bahawa Bulat bin Leper sedar bahawa tugas membaiki pintu tong sampah
itu bukan tugasnya. Tambah peguam bela lagi, tindakan membuang kulit pisang itu
ke dalam tong sampah sudah cukup memperlihatkan kesedaran sivik Bulat bin
Leper. Malah, Bulat bin Leper telah menunjukkan contoh yang baik.
Pendakwa raya membantah hujah peguam bela dengan menyatakan bahawa peguam
bela cuba memutarbelitkan kenyataan. Peguam bela menyambung hujahnya dengan
menyatakan bahawa Bulat bin Leper telah membuang kulit pisang itu ke dalam tong
sampah. Seekor kambing yang sangat kurus dan lapar telah makan sisa buangan di
dalam tong sampah itu dengan rakusnya sehingga kulit pisang tersebut tercampak
ke jalan raya. Oleh sebab kambing tersebut terlalu letih, matanya menjadi kabur
dan berpinarpinar. Kambing itu tidak nampak kulit pisang sehingga kulit
pisang itu terkais ke atas jalan raya. Ketika nenek tua melalui jalan itu, dia
terpijak kulit pisang itu lalu terjatuh. Seterusnya, nenek tua itu meninggal
dunia. Dengan itu, jelaslah bahawa Bulat bin Leper tidak bersalah. Yang
bersalah ialah kambing yang kurus itu. Oleh itu, kambing tersebutlah yang perlu
dihukum bukannya Bulat bin Leper. Peguam bela merayu agar mahkamah membebaskan
Bulat bin Leper daripada tuduhan membunuh secara tidak sengaja, tanpa syarat.
Pendakwa raya pula meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang berat
terhadap Bulat bin Leper. Pendakwa raya menyatakan bahawa mahkamah adalah untuk
manusia, bukan untuk binatang. Peguam bela tidak bersetuju dengan kenyataan
pendakwa raya. Peguam bela menyatakan bahawa setiap binatang
peliharaan mesti ada tuannya. Oleh itu, tuan empunya kambing itulah yang perlu
dihukum. Jika tidak ada yang mahu mengaku, maka kambing itu harus menjadi milik
pihak berwajib. Setelah meneliti hujah pendakwa raya dan peguam bela, hakim
membuat keputusan bahawa Bulat bin Leper tidak bersalah.
Mahkamah berhenti rehat. Selepas dua minit, mahkamah bersidang semula.
Tertuduh II dipanggil masuk. Tertuduh II tidak pandai berbahasa Melayu. Seisi
mahkamah kecuali hakim ketawa apabila Tertuduh II mengangkat sumpah dalam
bahasa yang tidak difahami. Hakim menyuruh pegawai memanggil penterjemah.
Pendakwa raya membaca pertuduhan terhadap Tertuduh II, iaitu Akinomoto. Pada 20
Mac 1988, Akinomoto telah dituduh mencuri seekor beruk subsidi milik kerajaan
Malaysia dari stor JKK Ulu Dungun. Akinomoto tidak faham akan istilah beruk
subsidi. Oleh itu, hakim meminta pendakwa raya memperincikan istilah beruk
subsidi tersebut. Pendakwa Raya memberi penjelasan tentang istilah tersebut
dengan menggunakan Bahasa Inggeris seperti yang tercatat dalam kamus The
Advance Dictionary of the Modern English for the Malaysian World.
Akinomoto menyatakan bahawa dia semakin tidak faham dan meminta pendakwa
raya menggunakan bahasa Melayu. Hakim bersetuju bahawa bahasa Melayu yang
merupakan bahasa kebangsaan seharusnya digunakan di dalam mahkamah tersebut.
Beliau meminta pendakwa raya menghuraikan istilah beruk subsidi tersebut dalam
bahasa Melayu. Akinomoto memahami penjelasan tentang istilah beruk subsidi itu
dan mengaku bersalah atas tuduhan tersebut. Akinomoto turut menyatakan bahawa
ibu beruk itu sudah hamil. Dia mahu mengembalikan ibu beruk itu kepada yang
berhak dan dia mahu membela anaknya.
Hakim
memerintahkan Akinomoto memelihara ibu beruk itu sehingga selamat melahirkan
anaknya. Sebagai dendanya, Akinomoto perlu menjaga anak beruk itu sehingga
mencapai umur akil baligh. Akinomoto juga dipaksa memanjat pokok kelapa dengan
anak beruk itu menjadi tuannya.
Tema
Keadilan dan kebenaran
ketika membuat sesuatu keputusan.
Persoalan
(a) Kemiskinan menghalang
seseorang itu mengambil peguam untuk membela dirinya.
(b) Keadilan mesti
ditegakkan dalam apa-apa cara sekalipun.
(c) Kehidupan golongan
yang terlibat dengan kerja-kerja untuk menegakkan keadilan dan kebenaran sama
seperti kehidupan orang biasa.
(d) Isu bahasa Melayu di
mahkamah.
(e) Denda akan dikenakan
terhadap pihak yang bersalah.
Watak dan Perwatakan
Hakim
(a) Golongan intelektual.
(b) Pandai bergurau.
(c) Adil dan saksama.
(d) Amanah dalam
menjalankan tugas.
Pendakwa raya
(a) Golongan intelektual.
(b) Tegas dengan
hujahnya.
(c) Menjalankan tugasnya
dengan penuh tanggungjawab.
Peguam bela
(a) Tegas.
(b) Menjalankan tugas
dengan penuh tanggungjawab.
(c) Sanggup berkhidmat
secara percuma untuk orang susah.
(d) Yakin ketika
berhujah.
Tertuduh I (Bulat bin
Leper)
(a) Orang miskin.
(b) Dituduh membunuh
nenek tua.
(c) Berani berdepan
dengan pendakwa raya.
(d) Seorang yang
bertanggungjawab.
Tertuduh II
(Akikino-komokotoko)
(a) Dipanggil Akinomoto.
(b) Dituduh mencuri beruk
subsidi milik kerajaan Malaysia.
(c) Tidak fasih berbahasa
Melayu.
(d) Prihatin terhadap
keadaan beruk yang telah dicurinya itu.
Latar
Latar Tempat
(a) Mahkamah.
(b) Taman Putih.
(c) Stor JKK Ulu Dungun.
Latar Masa
(a) Waktu pagi.
(b) 10 Januari
1988.
(c) 20 Mac 1988.
(d) 1 minit.
(e) 2 minit.
Latar Masyarakat
(a) Masyarakat
intelektual.
(b) Masyarakat yang hidup
miskin.
(c) Masyarakat yang baik
hati.
(d) Masyarakat yang
prihatin terhadap haiwan.
Unsur Gaya Bahasa
(a) Penggunaan bahasa
Inggeris. Contohnya, The Advance Dictionary of the Modern English for
the Malaysians World.
(b) Peribahasa.
Contohnya, Malang tak berbau.
(c) Sinkope. Contohnya,
Oh, itu tak jadi masalah; tapi sikit saja, tau.
Nilai
(a) Keadilan.
(b) Tanggungjawab.
(c) Ketegasan.
(d) Keyakinan.
(e) Rasional.
(f) Simpati.
(g) Keberanian.
(h) Keprihatinan.
Pengajaran
(a) Kita hendaklah tegas
dalam menjalankan sesuatu tugas.
(b) Kita mestilah
bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan alam sekitar.
(c) Kita hendaklah
bersimpati terhadap golongan miskin.
(d) Kita hendaklah
bersikap rasional ketika menjalankan tugas.
(e) Kita mestilah
menggunakan bahasa Melayu terutamanya dalam urusan rasmi.
(f) Kita mestilah berani
kerana benar.