Pelanduk Mengajar Memerang
Sinopsis
Pada zaman Nabi Allah
Sulaiman semua haiwan ditakdirkan oleh Allah dapat berkata-kata. Nabi Allah
Sulaiman mempunyai lima menteri yang terdiri daripada manusia, jin yang bernama
Ifrit, unggas, landak, dan pelanduk. Antara kelima-lima menteri itu, Syah Alam
di Rimba, iaitu pelanduklah yang paling masyhur kebijaksanaannya.
Pada suatu hari, Syah Alam
di Rimba melawat ke kawasan di wilayah pemerintahannya. Syah Alam di Rimba
sampai di sebuah lubang yang menjadi tempat tinggal memerang. Ada tujuh ekor
anak memerang di dalam lubang itu. Anakanak memerang itu keluar dari lubang
lalu bermain-main.
Syah Alam di Rimba bertanyakan tempat mak dan
bapa anak-anak memerang itu pergi. Anak memerang menyatakan bahawa mak dan
bapanya pergi mencari ikan untuk dijadikan makanan. Oleh itu, Syah Alam di
Rimba terfikir bahawa memerang selalu melakukan penganiayaan terhadap ikanikan
di rimba itu. Syah Alam di Rimba runsing memikirkan aduan ikan-ikan itu kepada
Nabi Allah Sulaiman. Syah Alam di Rimba mahu membuat pakatan dengan memerang.
Tidak berapa lama kemudian, burung bubut berbunyi secara bersahut-sahutan.
Apabila mendengar bunyi itu Syah Alam
di Rimba terus bersilat. Tanpa sedar, Syah Alam
di Rimba telah memijak anak-anak memerang itu sehingga semuanya mati.
Setelah hari petang, mak dan
bapa memerang pulang ke lubang tersebut. Mak dan bapa memerang melihat semua
anak memerang sudah mati. Mak dan bapa memerang mengetahui Syah Alam di
Rimbalah yang melakukan perkara tersebut kerana terdapat kesan tapak kakinya di
situ. Pada malam itu, mak dan bapa memerang berbincang. Mak dan bapa memerang
membuat keputusan untuk
memaklumkan kejadian tersebut kepada Nabi Allah
Sulaiman.
Pada keesokan harinya, mak
dan bapa memerang pergi berjumpa dengan Nabi Allah Sulaiman. Mak dan bapa
memerang mengadukan perbuatan yang dilakukan oleh Syah Alam di Rimba terhadap
anak-anaknya. Setelah baginda mendengar aduan tersebut, baginda berasa hairan
akan kelakuan Syah Alam di Rimba. Oleh itu, baginda mahu mengadakan
perbicaraan. Baginda meminta Sang Belatuk
memanggil semua haiwan yang terlibat, iaitu
haiwan-haiwan yang menyebabkan kematian anak-anak memerang itu. Haiwan-haiwan
tersebut ialah Syah Alam di Rimba, Sang Bubut, Sang Biawak, Sang Labi-labi,
Sang Udang, dan Sang Sebarau. Semua haiwan tersebut bercerita tentang
perkaraperkara
yang telah berlaku dengan jujur.
Setelah Nabi Allah Sulaiman
mendengar cerita Sang Sebarau, maka baginda memerintahkan Sang Memerang
bercakap benar. Dengan takut, Sang Memerang mengakui kesalahannya. Nabi Allah
Sulaiman memutuskan bahawa Syah Alam di Rimba tidak bersalah. Kematian
anak-anak Sang Memerang disebabkan oleh kesalahan Sang Memerang sendiri.
Tema
Balasan terhadap golongan yang menganiayai
golongan lain.
Persoalan
(a) Sikap tamak, iaitu mahu mendapatkan sesuatu
dengan sebanyak-banyaknya tanpa memikirkan nasib pihak lain.
(b) Aduan dibuat kepada yang pihak yang berkuasa.
(c) Pengadilan memerlukan saksi.
(d) Kebijaksanaan untuk menyelesaikan masalah.
(e) Bercakap benar di hadapan pemerintah.
(f) Sentiasa bersedia untuk menyelamatkan
pemerintah.
(g) Mengakui kesalahan yang telah dilakukan.
Watak dan
Perwatakan
Pelanduk
atau Syah Alam di Rimba
(a) Dilantik oleh Nabi Allah Sulaiman untuk
menjadi menteri.
(b) Merupakan menteri yang paling termasyhur
kebijaksanaannya.
(c) Pandai bersilat.
(d) Prihatin akan masalah yang dialami oleh
rakyatnya.
(e) Taat kepada pemerintah, iaitu Nabi Allah
Sulaiman.
(f) Jujur ketika berhadapan dengan Nabi Allah
Sulaiman.
Sang
Memerang
(a) Mempunyai tujuh orang anak.
(b) Menjadikan ikan sebagai makanan.
(c) Tamak terutamanya dalam hal makanan.
(d) Ibu dan bapa yang bertanggungjawab terhadap anak-anak.
(e) Mementingkan diri sendiri.
(f) Taat akan perintah Nabi Allah Sulaiman.
(g) Sedar akan penganiayaan yang telah dilakukan
terhadap anak-anak Sang Sebarau.
Nabi
Allah Sulaiman
(a) Seorang pemerintah yang rakyatnya terdiri
daripada manusia, jin, dan haiwan.
(b) Melantik lima menteri dalam urusan
pemerintahan baginda.
(c) Bijak menyelesaikan segala masalah yang
dihadapi oleh semua rakyatnya.
(d) Tidak terburu-buru dalam membuat sesuatu
keputusan.
(e) Pemerintah yang adil.
(f) Tegas dalam membuat keputusan.
Latar
Latar Tempat
(a) Hutan rimba.
(b) Dalam lubang.
(c) Kota istana.
(d) Lubuk.
Latar Masa
(a) Pada zaman dahulu.
(b) Waktu siang.
(c) Waktu petang.
(d) Waktu malam.
Latar Masyarakat
(a) Masyarakat haiwan yang tinggal di rimba.
(b) Masyarakat yang mementingkan diri sendiri.
(c) Masyarakat yang berlaku jujur terhadap
pemerintah.
(d) Masyarakat yang patuh kepada pemerintah.
(e) Masyarakat yang sentiasa bersedia untuk
menjaga keselamatan pemerintah.
(f) Masyarakat yang cepat bertindak.
(g) Masyarakat yang mengakui kesilapan diri.
(h) Masyarakat yang bijak dalam menyelesaikan
masalah.
Unsur Gaya Bahasa
(a) Bahasa Arab. Contohnya, Allah
Subhanahuwataala; kudrat-Nya; fasal.
(b) Bahasa istana. Contohnya, patik; bersemayam;
singgahsana; baginda; bertitah; tuanku; beta.
(c) Bahasa klasik. Contohnya, Sebermula; Hatta;
ayapan; pacal.
(d) Sinkope. Contohnya, Sang Biawak membawa
pedang tercabut saja berlari-lari.
(e) Repetisi. Contohnya, Kepada fikiran patik
tentulah Duli yang Maha Mulia kedatangan musuh yang besar, patik pun bersiaplah
akan perisai patik.
Nilai
(a) Keberanian.
(b) Keadilan.
(c) Kejujuran.
(d) Kebijaksanaan.
(e) Keprihatinan.
(f) Tanggungjawab.
(g) Kepatuhan.
(h) Keinsafan.
Pengajaran
(a) Kita hendaklah menjadi pemimpin yang prihatin
akan masalah rakyat.
(b) Kita hendaklah menjadi ibu bapa yang
bertanggungjawab.
(c) Kita hendaklah sentiasa bersedia untuk
menghadapi ancaman musuh.
(d) Sebagai rakyat, kita hendaklah patuh akan
setiap arahan pemerintah.
(e) Sebagai pemerintah, kita mestilah bijak
untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat.
(f) Kita mestilah bercakap jujur apabila kita
dihadapkan ke muka pengadilan.
(g) Sebagai pemerintah, kita hendaklah membuat
keputusan dengan adil.
(h) Kita hendaklah sedar akan kesalahan yang
telah kita lakukan.