SINOPSIS RINGKAS NOVEL TIRANI
Novel Tirani mengisahkan kehidupan seorang gadis bernama Waheeda yang mahu menjadi cantik dan berhidung mancung kerana hidung asalnya yang pesek. Waheeda juga ingin mencapai kemajuan atas namanya sendiri dalam bidang pelancongan sehingga suaminya, Zahid mengatakan bahawa Waheeda telah mengabaikan batas-batas pergaulan sebagai isteri. Untuk menjadi cantik Waheeda yang kebetulan hidungnya digigit monyet telah melakukan pembedahan rekonstruksi atau pembinaan semula wajahnya dengan memasang hidung palsu sehingga menjadikannya hidungnya mancung dan cantik. Setelah wajahnya menjadi cantik datang jugalah kejayaannya dalam bidang kerjaya.
Bidang pelancongan yang diterokainya telah mempertemukannya dengan suaminya, Zahid, anak rakan niaganya di Sarawak iaitu Datuk Yasser. Kecantikan dan kejayaan dalam kerjaya yang dicapai oleh Waheeda tidak menjamin kebahagiaan rumah tangga. Walau bagaimanapun harapannya tidak menjadi kenyataan kerana apa yang diperolehnya itu telah merosakkan kehidupannya. Kecantikannya itu menyebabkan tugasnya bertambah berat dan harapan orang terhadapnya melambung tinggi sehingga Waheeda tidak mampu memikulnya.
Dalam novel Tirani ini, cinta Waheeda terhadap suaminya begitu mendalam sehingga dia mengalami sakit jiwa setelah diceraikan oleh suaminya. Penceraian itu berpunca daripada wajah anaknya yang tidak mewarisi kecantikan dirinya dan ditambah dengan rasa cemburu oleh Zahid. Akhirnya Waheeda bertekad untuk berjaya dan berdikari dalam bidang pelancongan dengan menguruskan sebuah chalet di Cameron Highland. Kemajuan chalet yang diusahakan oleh Waheeda dan anaknya Izzati telah menarik kehadiran ramai pelancong termasuklah Zahid. Akhir mereka dipertemukan di chalet itu. Namun, di sudut hati Waheeda dan Zahid terserlah satu falsafah hidup bahawa kecantikan seseorang hanyalah satu tirani.