Wednesday, June 23, 2021

APA KHABAR MUSANG KING SAYA?

           Kali terakhir tanam di Manong Kuala Kangsar pada Ogos 2020 selepas PKP 1.0. Adalah dalam 50 pokok. Selepas itu terus dengan PKPB, PKPP dan seterusnya PKP 3.0 pada Jun 2021. Apa jadilah dengan pokok durian yang saya tanam tu. Sayang kerana dah banyak duit habis beli anak. Sepokok dekat RM100 malah ada yang lebih RM100. Itu belum kira duit tambang pergi balik tiap-tiap hujung minggu dan sewa homestay di Kuala Kangsar.

          Dulu ada juga yang tolong jaga, tapi sekarang orang tu sudah berusia, dah dekat 80 tahun. Jenguk sesekali aje bolehlah tapi lebih daripada itu susahlah sikit. Pokok durian tua dengarnya dah berbuah, tunggu seminggu dua nak luruh. Tapi PKP 3.0 ni tak boleh nak balik pulak. Tak merasalah durian kampung peninggalan arwah bapa mertua. Tanah 4 ekar itu tanah pusaka hadiah arwah bapa mertua kepada isteri saya. Penuh dengan pokok durian dan diselang-seli pokok rambutan, manggis dan langsat. Tapi sayangnya pokok durian tua dah ada sebahagian yang mati. Maklumlah umur pokok durian tu dah lebih 40 tahun.

          Tapi alhamdulillah kerana petang tadi dapat kiriman whatsapp daripada anak penjaga kebun kami itu. Anak durian musang king, duri hitam dan MDUR88 yang saya tanam masih hidup. Ada yang subur dan ada yang kurus. Nampaknya kena upah orang tabur baja dan mesin rumput balik. Duit kena keluar lagilah nampaknya.











          Anak musang king dalam semak rumput yang mula meninggi. Bilalah agaknya PKP 3.0 ini akan berakhir. Saya nak balik kampung tengok durian dan sambil itu bolehlah sembur rumput rampai yang dah banyak keliling pokok tu.









          Alhamdulillah ada juga yang subur tapi jaring pelastik di keliling pokok dah banyak yang rosak. Mujurlah tak ada anak pokok yang mati atau diserang babi. Maklumlah tempat tu banyak kawasan kebun yang ditinggalkan jadi belukar. Cuma bila musim durian sahaja kebun itu dibersihkan untuk memudahkan kerja mengeluarkan hasil.











          Ini satu lagi pokok musang king yang tak cukup baja. Alhamdulillah, anak penjaga kebun tu tolong tabur baja garam Inggeris katanya. Dah 7 bulan pokok tu tak cukup makan sebab saya tak dapat balik ke Jeliang angkara PKP Covid-19. Harap-harap selepas ini pokok yang sudah dibaja akan tambah besar dan hidup subur. Mudah-mudahan nanti anak cucu saya dapat menuai hasil daripada usaha bapa mertua saya dan saya. Maklumlah, harga durian semakin tinggi setiap tahun. Kalau durian kampung dulu boleh dibeli dengan harga RM10 untuk 2 biji tetapi sekarang harganya telah meningkat RM18 sekilogram. Sepuluh tahun lagi, tak tahulah berapa pula harga durian tu. Ini belum lagi harga durian musang king, black thorn dan Asfa50. Kalau tidak tanam sekarang, tak merasalah anak cucu kita satu hari nanti. Harga raja buah ini sekali pandang memang tidak masuk akal.

          Semoga Covid ini akan segera berlalu dan larangan merentas negeri akan ditarik balik. Jujur saya nyatakan bahawa saya terlalu rindu dengan pokok durian yang saya tanam. Pada masa yang sama, teringin sangat memeluk cucu pertama saya yang baru lahir tiga minggu lepas di Kangar, Perlis, Khaira Saffiyah. Mudah-mudahan cucu saya sihat dan cepat membesar. Amin Ya Rabb.