PERANAN IBU BAPA DALAM MEMBENTUK MASYARAKAT PENYAYANG
Pada alaf baharu ini, ibu bapa diberikan peranan yang penting kepada masyarakat dan negara. Media cetak mahupun media elektronik sering menyiarkan obligasi yang wajib dipikul oleh ibu bapa. Dalam kalangan ibu bapa dalam masyarakat hari ini selalu diberi perhatian oleh orang ramai terutamanya kerajaan dalam hal yang bersangkut-paut dengan pembentukan masyarakat penyayang. Mantan Perdana Menteri Malaysia ke-5 iaitu Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi memberitahu bahawa membentuk masyarakat penyayang amat penting sekali. Masyarakat penyayang merupakan masyarakat yang anggotanya mengamalkan sikap yang sayang-menyayangi, hormat-menghormati, bantu-membantu, dan nilai murni yang lain. Masyarakat seperti ini menjadi impian negara kita untuk merealisasikan Wawasan 2020. Oleh itu, terdapat pelbagai langkah-langkah pragmatik yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk membentuk masyarakat penyayang.
Peranan ibu bapa yang paling signifikan ialah ibu bapa perlu memberikan kasih sayang kepada anak-anak. Ibu bapa seyogianya membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Namun begitu, terdapat kalangan ibu bapa yang mengabaikan anak-anak mereka. Hal ini kerana ibu bapa tersebut lebih mementingkan kemewahan hidup dan kekayaan. Oleh itu, ibu bapa seharusnya lebih banyak meluangkan masa dengan anak-anak mereka pada alaf globalisasi ini. Kasih sayang ibu bapa dapat dilihat melalui kesanggupan ibu bapa meluangkan masa bersama dengan anak-anak. Pada masa itu, ibu bapa harus berkongsi masalah anak-anak dan menjadi pendengar setia kepada setiap luahan hati anak-anak. Contohnya, ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka bercuti semasa cuti sekolah untuk mengeratkan hubungan dan mengurangan tekanan anak-anak dalam aspek pembelajaran. Dengan ini, bibit-bibit kasih sayang akan mekar dalam jiwa anak-anak. Jadi, impian ibu bapa atau negara untuk membentuk masyarakat penyayang akan tercapai jua.
Selain itu, ibu bapa sewajarnya memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak semenjak kecil lagi bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Akan tetapi, ibu bapa kini terlalu mengagung-agungkan kemodenan sehingga mengabaikan tanggungjawab hakiki mereka dalam mencurahkan didikan agama kepada nanak-anak. Hal ini berlaku kerana mereka beranggapan bahawa didikan agama tidak penting dalam arus kemajuan teknologi satelit masa kini. Oleh itu, ibu bapa sewajarnya menerapkan didikan agama kepada anak-anak mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap agama amat mementingkan hubungan baik dengan Pencipta, sesama manusia dan alam sekitar. Hai ini akan tercapai dengan adanya nilai kasih sayang dalam kehidupan. Misalnya, mereka perlu menggalakkan anak-anak mengikuti kelas agama supaya anak-anak akan menjadi insan yang penyayang. Di samping itu, mereka seharusnya memberikan pengajaran yang baik kepada anak-anak mereka ketika anak-anak itu masih dalam buaian lagi. Jelaslah, hasrat ibu bapa dalam melahirkan generasi yang penyayang akan menjadi kenyataan pada suatu hari nanti melalui didikan agama yang teguh.
Seperkara lagi, ibu bapa seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak. Namun demikian, terdapat kalangan ibu bapa yang berperangai buruk seperti menjadi pendera, perogol dan sebagainya. Oleh itu, ibu bapa perlu menjadi entiti mithali kepada anak-anak yang masih belum keras ubun-ubunnya sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa perlu menunjukkan sikap yang penyayang kepada anak-anak sejak kecil lagi seperti sering membawa anak-anak menziarahi orang tua di kampung. Lama-kelamaan generasi muda akan mengikut tabiat yang positif ini dan masyarakat penyayang akan dilahirkan. Ringkasnya, peranan ibu bapa amatlah besar dalam melahirkan masyarakat yang penyayang pada alaf globalisasi ini.
Jika kita tinjau dari perspektif yang berbeza pula, ibu bapa juga harus menjaga keharmonian rumah tangganya. Hal ini dikatakan demikian kerana kerharmonian rumah tangga dapat mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia dan hidup dengan penuh limpahan kasih sayang. Ikatan kasih sayang yang teguh daripada ibu bapa sudah pasti dapat membentuk jiwa anak-anak dengan nilai kasih sayang dan sekali gus mereka akan mencontohi sikap penyayang ibu bapa mereka kerana kepimpinan melalui teladan. Ibu bapa seyogianya memastikan hubungan kekeluargaan sesama ahli keluarga erat bagi melahirkan keluarga yang penyayang. Hal ini dapat dipraktikkan dengan mengelakkan sebarang pergaduhan dan pertengkaran di hadapan anak-anak yang masih belum keras ubun-ubunnya dan sentiasa menghormati pasangan hidup masing-masing. Dengan adanya sikap toleransi dan hormat-menghormati ditambah lagi dengan kasih sayang maka impian kita untuk melahirkan masyarakat yang penyayang dapat direalisasikan.
Bukan itu sahaja, ibu bapa juga haruslah melibatkan anak-anak dalam aktiviti masyarakat. Ibu bapa seyogianya mendekatkan anak-anak mereka dengan masyarakat setempat bagi mewujudkan hubungan yang baik dengan masyarakat. Dengan ini, anak-anak akan dapat mengenali ahli komunitinya dengan lebih dekat lagi dan perasaan sayang akan timbul dalam sanubari mereka kerana kata orang, tak kenal maka tak cinta, sudah kenal baru jatuh cinta. Contohnya, ibu bapa boleh mengajak anak-anak untuk menyertai gotong-royong di kawasan tempat tinggal atau solat berjemaah di surau atau di masjid. Bukan itu sahaja, keprihatinan ibu bapa tatkala jiran kita ditimpa musibah dengan menghulurkan sedikit sumbangan sama ada dari sudut fizikal, material dan sokongan sudah tentu dapat membuka mata anak-anak untuk membuat perkara yang sama apabila mereka dewasa kelak. Secara implisitnya, perasaan kasih sayang akan mekar dalam kehidupan masyarakat kita. Sesungguhnya, hubungan silaturahim yang erat mampu melahirkan masyarakat yang penyayang.
Secara deduksinya, ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam melahirkan masyarakat yang penyayang. Namun begitu, tindakan mengharapkan ibu bapa semata-mata juga tidak akan berkesan kerana tepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Setiap individu dalam kalangan masyarakat harusnya mengambil inisiatif untuk melakukan anjakan paradigma bagi merealisasikan pembentukan masyarakat penyayang dalam kalangan rakyat Malaysia. Dengan cara ini, masyarakat kita akan dipandang tinggi sebagai sebuah bangsa yang bukan sahaja maju dari aspek kebendaannya, malah kaya dengan budaya penyayang. Secara tidak langsung juga, imej negara akan harum di persada dunia dan masyarakat Malaysia akan dianggap sebagai masyarakat kelas pertama kerana ketinggian akhlaknya bak kata pujangga, “Sesungguhnya bangsa akan kekal utuh selagi akhlaknya masih utuh. Jika akhlaknya sudah lumpuh, mereka pun akan lenyap.”