Wednesday, August 12, 2009

Konserto Terakhir : Persoalan tentang cinta


Sejauh manakah persoalan tentang cinta terdapat dalam sebuah novel yang telah anda kaji?



.............Novel yang telah saya kaji ialah Konserto Terakhir. Salah satu persoalan yang terdapat dalam novel ini ialah persoalan tentang cinta. Persoalan ini dapat dilihat melalui beberapa aspek. Persoalan pertama adalah berkaitan hubungan cinta yang suci dan abadi di antara sepasang kekasih. Hal ini dapat dilihat melalui hubungan cinta di antara Hilmi dengan Hayati yang sentiasa berkekalan biarpun berhadapan dengan halangan daripada Datin Salmah. Cinta yang suci di antara mereka juga sentiasa berkekalan biarpun Hayati telah berkahwin dengan Mohsin malah sebelum mengikut suaminya ke luar negara, Hayati sempat bertemu Hilmi untuk menyatakan perasaan cintanya kepada Hilmi.


............Persoalan tentang cinta juga dapat dilihat melalui hubungan cinta yang tidak berkekalan di antara suami isteri disebabkan perkahwinan yang diatur oleh keluarga atau orang lain. Sebagai contohnya, perkahwinan Hilmi dengan Azizah tidak kekal setelah mereka mendapat seorang anak. Begitu juga dengan perkahwinan di antara Datuk Johari dengan ibu Hilmi yang hanya bertahan semalaman sahaja akibat perkahwinan yang ditentukan oleh keluarga.


............Persoalan tentang cinta juga berkaitan dengan cinta seorang insan kepada Penciptanya. Sebagai contohnya, Hayati mendekatkan dirinya kepada Tuhan dengan mendalami ilmu agama setelah cintanya terhadap Hilmi berdepan dengan masalah. Begitu juga halnya dengan Hilmi yang tidak pernah meningalkan ibadahnya kepada Tuhan meskipun terlalu sibuk dengan pekerjaan dan latihan muzik.


............Persoalan tentang cinta yang terakhir dapat dikaitkan dengan cinta seorang manusia terhadap pekerjaan yang diceburinya sehingga sanggup berkorban demi mencapai kejayaan. Dalam hal ini, kita dapat melihat bagaimana Hilmi mencintai kerier yang diceburinya sebagai pengubah lagu dan pemain muzik sehingga sanggup meluangkan banyak waktu untuk mempelajarinya, malah memperuntukkan banyak waktu juga bagi menjayakan konsert perdana yang diamanahkan kepadanya.


............